DI Malaysia ada banyak mitos tidak betul. Antaranya Undi18 menjadi milik Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Yang dihebohkan ialah penguasaan media sosial TikTok oleh PN serta gerombolan kumpulan bermotosikal golongan muda-mudi dinyatakan menjadi petunjuk Undi18 menyokong kuat PN.
Undi18 juga disebut lebih beragama. Dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos nanti, Undi18 didakwa sekali lagi memihak kepada PN. Atas sebab ini juga, ada pihak mahu umur minimum pengundi dinaikkan balik kepada 21 tahun.
Fakta sebenarnya tidak begitu. Ahli akademik, Bridget Welsh antara sarjana yang membuat kajian terperinci mengenai politik Malaysia. Kajian beliau mendapati sokongan Undi18 terhadap PN tidak setinggi didakwa. Sebaliknya Pakatan Harapan (PH)/Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh sokongan terkuat Undi18 dalam kalangan pengundi 18 hingga 20 tahun, iaitu kira-kira 40 peratus.
Hanya dalam kalangan pengundi 20 hingga 25 tahun sokongan kepada PN mengatasi sokongan kepada PH/MUDA yang sedikit menurun, iaitu kira-kira 34 peratus. Bila dicampur semuanya, pengundi berusia bawah 30 tahun tidak jauh berbeza antara PN dan PH/MUDA, iaitu kira-kira 37 dan 35 peratus.
Kelebihan dalam PRN ini ialah pengundi berusia bawah 30 tahun menyokong PH/MUDA disebabkan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan, kini bergabung dengan mereka yang menyokong BN, iaitu kira-kira 23 peratus, menjadi kira-kira 58 peratus.
Sedikit komplikasi berlaku bila MUDA tidak lagi bersama PH dalam PRN enam negeri. Tetapi hampir semua penganalisis politik membuat jangkaan bahawa setelah tidak lagi bersama PH dan berada di luar kerajaan, calon-calon MUDA akan kehilangan deposit dalam PRN ini. Tanpa kuasa di Pusat dan di negeri, MUDA tidak akan mampu meyakinkan golongan muda untuk menyokongnya.
Kajian Welsh juga mendapati Undi18 tidaklah lebih beragama. Undian mereka dalam PRU15 bukan atas asas nilai-nilai agama tetapi hasrat untuk berada di bawah kerajaan baharu. Perkara ini sudah berlalu, sebuah kerajaan baharu telah terbentuk di Putrajaya, maka pastilah pertimbangan lain pula yang akan lebih dikira oleh mereka.
Golongan belia sebaliknya mahukan perubahan dan kerajaan yang lebih baik. Mereka mahukan dasar-dasar baharu serta kualiti hidup lebih bagus untuk mereka, keluarga dan rakyat Malaysia lain. Golongan belia juga mahukan sebuah kerajaan yang bersih serta tidak mengamalkan rasuah.
ANWAR IBRAHIM
Sejak menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan banyak intervensi yang menarik golongan belia menjadi pendukung kerajaan perpaduan. Prinsip Malaysia Madani dengan penekanan kepada tata kelola dan tadbir urus baik serta pembanterasan rasuah adalah selari dengan aspirasi golongan muda.
Baru 28 Mei lalu, Ibrahim Suffian dari badan kaji selidik Merdeka Centre menyatakan pihaknya melihat pengundi muda Melayu semakin menyokong Anwar dan PH kerana mereka bimbang dengan fokus berlebihan PN ke atas kaum dan agama.
Mereka juga tidak senang dengan pemimpin PN kerana tidak menawarkan apa-apa cadangan yang boleh dilihat mampu menyelesaikan masalah, khususnya untuk meningkatkan kos sara hidup rakyat. Kerajaan perpaduan sentiasa memantau perkembangan kesejahteraan hidup golongan belia.
Ada Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia. Dalam mesyuaratnya pada 20 Mac lalu contohnya, dibincangkan mengenai perancangan masa depan 2.64 juta pekerja gig melalui program meningkatkan kemahiran serta latihan semula dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) supaya memiliki kemahiran dalam bidang tertentu.
Selain itu, cadangan rumah transit untuk golongan belia supaya mereka tidak menjadi kumpulan gelandangan. Ini adalah bukti kerajaan perpaduan tidak mengetepikan kepentingan malah sentiasa membela golongan belia.
Anwar sendiri menunjukkan komitmen berterusan dalam menyantuni serta mendengar keluhan dan rintihan golongan belia termasuk pelajar dan mahasiswa. Sudah banyak kali beliau bertemu muka dan berdialog dengan golongan ini di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.
Antaranya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Utara Malaysia. Dalam program ini, banyak masalah disuarakan berjaya Anwar selesaikan, antaranya capaian internet, bekalan air, doktor kontrak dan latihan industri (internship).
Sepanjang tujuh bulan berada di Putrajaya, kerajaan perpaduan juga menaikkan kadar beberapa bantuan kepada golongan belia. Antaranya Bantuan Awal Persekolahan yang dinaikkan menjadi RM150; e-dompet dinaikkan menjadi RM200; dan elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dinaikkan menjadi RM1,100 sebulan.
Selain itu buat julung kalinya diberikan beberapa perkhidmatan percuma kepada mereka. Antaranya perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) percuma dan permohonan kemasukan ke universiti menerusi UPUOnline percuma.
Dalam siri ucapan beliau, Anwar juga menekankan kepada golongan belia supaya banyak membaca, mendengar dan menilai dengan matang apa-apa sahaja supaya mereka tidak menjadi ‘macai’ atau ‘walaun.’
Media sosial seperti TikTok dan sebagainya juga dibuat kawalan supaya tidak disalahgunakan untuk menyemai kempen kebencian dalam kalangan mereka.
Ini sekali gus akan mengurangkan permainan emosi dan menjadikan golongan belia lebih menggunakan akal dalam membuat keputusan. Semua ini tentu akan menjadikan golongan belia khususnya Undi18 sebagai game changer baharu dalam politik Malaysia yang lebih sejahtera dan lebih progresif. – UTUSAN
DATUK Dr. Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri.











