Masyaqqah perlukan ijtihad semasa

Masyaqqah perlukan ijtihad semasa

MASALAH khemah dan ruang sempit di Mina bukan sahaja melibatkan Malaysia, malah dihadapi negara lain ekoran sempadannya telah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah sejak dahulu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa hari lalu, muncul isu ruang sempit dalam khemah di Mina. Isu ini mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia dan mahu perkara itu diteliti serta ditangani.

Bermabit di Mina adalah satu daripada wajib haji pada tarikh 11 hingga 13 Zulhijah. Mina adalah sebuah lembah di padang pasir yang terletak kira-kira lima kilometer (km) sebelah timur Mekah. Ia terletak di antara Mekah dan Muzdalifah.

Luasnya kira-kira 7.8 km persegi. Namun, disebabkan sebahagian daripada kawasannya adalah gunung batu, kawasan yang boleh diduduki hanya kira-kira 4.8 km persegi.

Kita pun maklum, bilangan jemaah haji negara meningkat tahun demi tahun kecuali semasa dalam pandemik Covid-19. Tahun ini jemaah haji negara berjumlah 31,600 orang. Barangkali isu ini lebih melibatkan jemaah haji muassasah berbanding mereka yang menggunakan perkhidmatan pakej.

Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), bagi musim haji 1444H, hampir tiga juta jemaah berkumpul di Arafah dan pihak Masyariq telah mendirikan khemah baharu yang mempunyai teknologi pantulan haba di Arafah untuk keselesaan jemaah Malaysia.

Sebanyak 278 khemah di Arafah dan Mina yang boleh memuatkan antara 180 hingga 300 jemaah setiap satu juga didirikan di lokasi tersebut. Selain itu, dapur baharu yang lebih tahan lama dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk memastikan makanan lebih bersih serta selamat juga dibina pada tahun ini.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, TH bersama jemaah menyusun ruang terbaik bagi membolehkan semua orang boleh berada di dalam khemah termasuk memberi sebahagian ruang pejabat dan penginapan petugas kepada mereka.

Bagaimanapun, dalam keadaan jemaah yang ramai, memang akan ada yang tidak dapat sesuaikan diri dan TH membenarkan mereka berulang-alik dari Mekah ke Mina jika ada permintaan, kesanggupan dan atas usaha sendiri

Selain itu, TH juga meningkatkan kadar nafar awal sehingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di Mina berbanding 10 dan 20 peratus sebelum ini.

Semua ini antara inisiatif yang dilakukan untuk memberi keselesaan kepada jemaah haji negara. Bagaimanapun, dengan peningkatan jumlah jemaah haji dan beberapa hal yang di luar bidang kuasa TH, berlaku beberapa perkara termasuk isu ruang sempit di Mina.

Selain menjunjung kasih di atas keprihatinan Seri Paduka, saranan Timbalan Dekan Jaringan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim agar TH dapat memikir jalan penyelesaian menerusi kaedah menambah baik penempatan sedia ada perlu diberi perhatian.

Masalah khemah dan ruang sempit di Mina bukan sahaja melibatkan Malaysia, malah dihadapi negara lain ekoran sempadannya telah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah sejak dahulu. Ia juga adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi.

Cuma soal pengurusan jemaah perlu direformasi dan dibincangkan oleh pakar pelbagai bidang sama ada dalam pentadbiran jemaah haji, ekonomi dan syariah.

Menurut Mohd. Izhar Ariff, jika perubahan kaedah ini terdapat implikasi hukum kontemporari haji, maka TH perlu segera membincangkan hukumnya dan dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

ANGKASAWAN

Dalam hidup, adakalanya kita berhadapan beberapa masyaqqah (kesulitan). Kesulitan ini menghambat ibadah kita kepada Allah SWT. Oleh kerana kesulitan yang kita alami, Allah memberikan keringanan (rukhsah) dalam pelaksanaan beberapa hukum.

Tidak dinafikan bahawa ijtihad dalam konteks semasa adalah perlu.

Ini kerana dalam hidup kita sentiasa berhadapan dengan kemajuan, pembangunan, perubahan sosial, isu-isu ekonomi dan kewangan yang sentiasa wujud, keruntuhan akhlak, keperluan dan kehendak manusia yang berubah dan sebagainya.

Walaupun ijtihad dalam bentuknya yang asal tidak dapat dilaksanakan sebaiknya pada hari ini, ulama kontemporari telah mengariskan bentuk-bentuk ijtihad semasa yang boleh dilakukan bagi memastikan syariat Islam sentiasa boleh dilaksanakan.

Inilah juga yang turut disarankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang memaklumkan beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TH supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu terutama dari aspek bermabit di Mina.

“Seperti yang kita tahu, kawasan di Mina itu tidak boleh diperluaskan dan sudah ditentukan oleh hukum. Jadi, sebanyak mana jemaah yang ada akan ditempatkan di situ hingga me­ngakibatkan kawasan khemah menjadi sesak dan sempit,” katanya.

Di Malaysia, ijtihad dalam isu ibadah: Kaedah Beribadat di International Space Station (ISS) adalah antara contoh permasalahan baharu yang berlaku masa kini yang tidak pernah dibincang dalam kitab fiqh silam.

Ia diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI pada 2006. Fatwa ini diputuskan sebelum angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Syeikh Muszaphar Syukor berlepas ke ISS kerana sebagai seorang muslim, beliau wajib menunaikan solat semasa di sana.

Satu lagi alternatif adalah sebagaimana dicadangkan oleh Datuk Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya agar penempatan jemaah untuk bermalam di Mina boleh dipelbagaikan dengan beberapa pilihan sebagai langkah mena­ngani isu ruang sempit dalam khe­mah.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pe­nasihat Ibadah Haji itu berkata, antara cadangan untuk membantu mengatasi permasalahan sekian lama itu ialah jemaah ditempatkan di kawasan Mina-Muzdalifah atau dikenali sebagai Mina Dua.

Menerusi pilihan ini, jemaah haji boleh berulang alik antara Mina dengan Mina Dua bagi memastikan keselesaan mereka.

“Khemah juga boleh diwujudkan di kawasan Muzdalifah yang lebih luas. Bagaimanapun, perkara ini memerlukan persetujuan daripada kerajaan Arab Saudi sebagai tuan rumah,” katanya.

Beliau menambah, langkah itu perlu kerana sekiranya masih berpegang kepada ijtihad lama, masalah kesesakan dalam khemah di Mina yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji akan berterusan. Ia berikutan keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.

Adalah diharap, ijtihad baharu dapat dilakukan dalam menyelesaikan isu utama umat Islam ketika menunaikan rukun Islam kelima.

Walaupun kita akur dan reda dengan situasi semasa atas keterbatasan geografi, kita berharap jalan penyelesaian dapat dicapai oleh para mufti dan ilmuwan Islam. – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×