PADA 1857, sumber bijih timah mula ditemui di kawasan muara Sungai Gombak dan Sungai Klang. Raja Abdullah Raja Jaafar, ketua orang Melayu bersama Raja Jumaat, pembesar Melayu dari Lukut membawa masuk 87 orang Cina untuk membuka lombong bijih timah. Semenjak itu, di bawah kesepakatan dan keringat peneroka-peneroka berbilang kaum, Kuala Lumpur muncul sebagai pusat perdagangan, ekonomi, pentadbiran dan politik terpenting di negara ini.
Untuk mengenang jasa mereka yang pernah berbakti kepada pembangunan Kuala Lumpur, kerajaan British menamakan jalan-jalan tertentu di ibu negara bersempena dengan nama tokoh-tokoh sejarah tersebut.
JALAN YAP AH LOY
Yap Ah Loy (1837-1885), keturunan Hakka, dilahirkan di Huiyang, Guangdong, China. Beliau tiba di Tanah Melayu pada 1854 ketika berusia 17 tahun.
Pada 1861, beliau menyandang jawatan Kapitan Cina Seremban menggantikan Yap Ah Shak. Namun, Ah Loy tidak kekal lama di Seremban. Di bawah pelawaan Kapitan Cina Kuala Lumpur kedua, Liu Ngim Kong, Ah Loy pergi ke Kuala Lumpur pada 1862 membantu Ngim Kong mentadbir bandar Kuala Lumpur.
Pada 1866, perang saudara berlaku di Selangor. Ah Loy terpaksa terlibat dalam pergaduhan istana itu. Pada 1868, Ah Loy menggantikan Ngim Kong, Kapitan Cina Kuala Lumpur yang ketiga.
Pada November 1873, Perang Saudara Selangor berakhir. Ah Loy ditauliahkan sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur secara rasmi oleh Sultan Selangor. Sepanjang berkhidmat sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur, beliau mengatur pelbagai rancangan dan strategi untuk membangunkan Kuala Lumpur termasuk berusaha menamatkan perang saudara, membangunkan rangkaian jalan raya, mendalamkan sungai, membina jambatan, membuka kawasan perumahan, membina sekolah, hospital dan tempat beribadah.
Sesungguhnya Ah Loy telah merintis kerjasama antara orang Cina dan orang Melayu dalam politik dan ekonomi seawal abad ke-19. Pada 1886, sebatang jalan di hadapan kediaman beliau diberikan nama Jalan Yap Ah Loy.
JALAN YAP AH SHAK
Yap Ah Shak dilahirkan di Zijin, Guangdong. Beliau merupakan Kapitan Cina keempat di Kuala Lumpur. Pada 1870, Ah Shak sampai ke Kuala Lumpur. Ketika itu, perang saudara sedang berlaku di Selangor. Beliau berkhidmat sebagai ketua pegawai di sisi Ah Loy yang sudah menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur.
Selepas Perang Saudara Selangor, Ah Shak membantu Ah Loy memperjuangkan kepentingan pelombong Cina di bawah pemerintahan baharu. Bagi melindungi kepentingan para pelombong Cina, Ah Shak mengasaskan persatuan perdagangan pertama di Selangor pada 1886, iaitu Kesatuan Pelombong Timah.
Kerajaan British menamakan sebatang jalan di sebelah Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur sebagai Jalan Yap Ah Shak untuk mengenang jasa beliau.
JALAN CHIEW YOKE
Chiew Yoke (1843-1892) dilahirkan di Longxi, Guangdong. Pada 1869, beliau menubuhkan satu pasukan keselamatan membantu abang angkatnya, Ah Loy untuk menamatkan Perang Saudara Selangor.
Pada 1883, beliau menghantar 300 pekerja kilang perlombongan bijih timah untuk membantu British dalam pembinaan landasan kereta api.
Harga pasaran bijih timah pada masa itu melambung tinggi. Komitmen kerja amal itu bermakna beliau terpaksa menanggung kerugian besar.
Maka, sebatang jalan berdekatan Jalan Sevoy (kini Jalan Tasik Titiwangsa) dinamakan Jalan Chiew Yoke. Namun, jalan itu kini ditukar nama menjadi Lorong Titiwangsa Dua.
JALAN/LORONG/TEPIAN LOKE YEW
Loke Yew (1846-1917) dilahirkan di Heshan, Guangdong. Beliau seorang pelombong bijih timah keturunan Kantonis yang berwibawa. Beliau bukan sahaja berniaga di Kuala Lumpur, malah perniagaannya diperluas ke Bentong, Tanjung Malim, Kuantan dan lain-lain tempat.
Beliau juga membuka sebuah bank bernama Kwong Yik Bank untuk memberi kemudahan urusan kewangan kepada peniaga-peniaga kecil di Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang dermawan agung yang banyak berbakti kepada masyarakat setempat.
Nama beliau muncul di jalan berdekatan Sekolah Menengah Persendirian Tsun Jin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwok di Kuala Lumpur.
JALAN CHAN SOW LIN
Chan Sow Lin (1845-1927), keturunan Kantonis, dilahirkan di Panyu, Guangdong. Beliau seorang usahawan perkilangan besi yang terkenal di Kuala Lumpur.
Pada 1897, beliau mendermakan sebidang tanah bersama rakan-rakan perniagaan lain untuk menubuhkan Persatuan Chan She Shu Yuen Clan Ancestral Hall bagi memajukan pendidikan Cina.
Sebatang jalan berdekatan kawasan perkilangan di Sungai Besi yang pernah diduduki beliau dinamakan Jalan Chan Sow Lin bagi memperingati tokoh usahawan, dermawan dan pemimpin perniagaan Cina tersebut.
JALAN/LORONG YAP KWAN SENG
Yap Kwan Seng (1846-1901) dilahirkan di Taishan, Guangdong. Beliau merupakan Kapitan Cina terakhir di Kuala Lumpur.
Pada penghujung abad ke-19, Kuala Lumpur melaksanakan pelan pembinaan semula bandar. Rumah-rumah atap ditukar menjadi rumah bata dan jubin. Kwan Seng dengan pintarnya membuka kilang batu bata tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur. Tempat itu kemudian dinamakan Brickfields sehingga sekarang.
Selepas itu, beliau membuka sebuah pusat perubatan Pei Shan Tang bagi memberikan rawatan dan ubat percuma kepada golongan miskin. Pusat perubatan itu kemudian dikembangkan menjadi Hospital Tung Shin. Beliau dan beberapa ahli perniagaan Cina turut menderma sebuah bangunan bernama Bangunan Da Hua untuk dijadikan tempat menampung warga emas yang tiada tempat tinggal.
Akhirnya, sebatang jalan berdekatan Jalan Ampang diberi nama Jalan Yap Kwan Seng untuk mengenang jasa beliau.
Kesimpulannya, pengabadian nama tokoh-tokoh sejarah pada jalan raya merupakan amalan baik untuk mengiktiraf sumbangan-sumbangan mereka kepada pembangunan negara. Malah, ia mendorong generasi muda memahami sejarah dahulu melalui kisah mereka dan meneruskan usaha untuk berbakti kepada negara. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










