Cakap serupa bikin mampuhadapi cabaran PRU16

Cakap serupa bikin mampu hadapi cabaran PRU16

ANWAr Ibrahim semakin menyerlahkan unsur-unsur karismatik hingga mampu menarik perhatian anak-anak muda yang mempunyai saham besar dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA saya mula mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1982 ketika beliau menyertai UMNO dan diangkat sebagai Ketua Pemuda menggantikan Datuk Shuhaimi Kamaruddin, kami dalam pergerakan itu amat mengaguminya kerana kepetahan berpidato. Hujah-hujahnya sentiasa meyakinkan.

Sebahagian besar kami yang berkempen untuk memenangkan beliau dalam perebutan kerusi Ketua Pemuda UMNO sudah tiada atau sudah tidak aktif dalam politik seperti Allahyarham Megat Junid Megat Ayub, Tajuddin Abdul Rahman, Abu Bakar Dewa, Tusirin Jarvanti, Rozali Ishak, Wan Mohd. Najib, Saat Man, Sarit Jusoh, Fauzi Abdul Rahman, Salomon Selamat dan beberapa lagi yang saya sudah lupa nama mereka.

Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO, beliau memberi banyak sumbangan dalam memperkukuhkan parti terutama dalam dasar Islamisasi UMNO sendiri daripada sebuah parti liberal sekular kepada yang menerima Islam sebagai teras dan wadah perjuangannya sehingga ada suara-suara sindiran berbunyi, “Anwar sedang ‘meng-ABIM-kan’ UMNO” dengan hanya tanpa mengheret masuk pemimpin-pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke dalam UMNO.

Dari sudut kedudukan beliau sebagai menteri juga tidak mengecewakan. Setiap kementerian yang dipimpinnya, bermula dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pendidikan; Menteri Kewangan dan beberapa lagi. Kecepatan Anwar mendaki tangga politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) amat mengagumkan dan menarik perhatian pemimpin- pemimpin dunia.

Sebuah memoir hasil tulisan arwah abang saya, Wan Hassan selaku pegawai kanan Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) menyatakan kekaguman beliau terhadap kepimpinam Anwar selain seorang lagi tokoh muda dari Kelantan, iaitu Mustapha Muhammad. Dalam satu keluaran khas Dewan Masyarakat pada 1982, Pengarangnya, arwah Sulaiman Masri tidak ragu-ragu meletakkan label kepada profil Anwar ketika itu yang baru dilantik sebagai menteri penuh portfolio Kebudayaan Belia dan Sukan sebagai ‘bakal Perdana Menteri’, sesuatu yang hanya dapat direalisasikan 40 tahun kemudian, itupun penuh kontroversi dan cabaran.

MINUM AIR

Hari ini, Anwar selaku Perdana Menteri ke-10 muncul kembali dengan suara retorika lamanya penuh bersemangat tetapi terpaksa menangani isu-isu yang biasanya baharu. Namun, beliau tetap meluangkan masa berhadapan dengan anak-anak muda di kampus-kampus di sana sini, setakat yang beliau sempat. Kata pepatah, sambil menyelam minum air. Tentunya anak muda dan remaja adalah kumpulan sasaran untuk meraih undi bagi kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal menjelang. Setidak-tidaknya untuk Pakatan Harapan (PH) kekal berkuasa di tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Hingga saat ini, sosok Anwar selaku tokoh pemimpin politik nasional masih belum luntur dan berada pada kedudukan tinggi seperti pada masa dahulunya dan semakin menyerlahkan unsur-unsur karismatiknya. Ia mampu menarik perhatian anak-anak muda yang mempunyai saham besar dalam PRN mendatang.

Namun, ada dua atau tiga lagi perkara pokok yang memerlukan Anwar menangani untuk menambahkan keyakinan umum terhadap beliau selaku Perdana Menteri. Pertama, hubungan antarabangsa yang pada hemat saya tiada bermasalah kerana beliau sudah lama matang dan bijak dalam hal ehwal hubungan antarabangsa.

Kedatangan pelabur besar pemilik Tesla Inc. dan Space X serta pelabur dari China dan negara jiran, Singapura dijangka memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk turut sama kembali membawa modal mereka ke Malaysia. Yang masih dipertikaikan melalui media sosial berpatisan adalah prestasinya sebagai Menteri Kewangan dikaitkan pula dengan kejatuhan nilai ringgit serta kadar inflasi yang masih belum stabil.

Apapun, satu lagi perkara amat menarik perhatian netizen ialah sikapnya yang tidak akan berkompromi terhadap gejala dan amalan rasuah. Dalam sehari dua atau sebulan dua ini, Anwar semacam meminjam frasa dalam bahasa Inggeris – walk the talk atau cakap serupa bikin. Ini satu lagi perkara pokok dalam membuat penentuan, adakah kerajaan perpaduan mampu menghadapi ujian dan mampu bertahan sehingga akhir tempoh lima tahun menerajui kerajaan hingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)? – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×