Barbie: Baik jadi budaya, buruk jadi pengajaran

Barbie: Baik jadi budaya, buruk jadi pengajaran

ANTARA anak patung mainan Barbie pertama dicipta pada 1959 yang pernah dipertontonkan kepada umum di Las Vegas, Amerika Syarikat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM Hollywood, Barbie yang mula ditayangkan di Malaysia sejak 20 Julai lalu ternyata mendapat sambutan ramai tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang. Masing-masing ada alasan tersendiri untuk tidak melepaskan peluang menonton filem arahan Greta Gerwig berdasarkan skrip yang ditulisnya bersama Noah Baumbach.

Tidak dapat dinafikan penampilan Ryan Gosling sebagai Ken dan Margot Robbie sebagai Barbie turut menjadi daya penarik. Walaupun ada beberapa filem animasi berdasarkan watak Barbie dan Ken, versi filem ini tetap menambat hati orang ramai.

Sebenarnya sambil memperkatakan filem itu, elok juga kita lihat bagaimana anak patung mainan dengan nama penuh Barbara Millicent Roberts yang dicipta oleh Ruth Handler dan diperkenalkan pada 9 Mac 1959 turut memberi kesan kepada budaya orang kita. Selain menerima bulat-bulat pelbagai versi anak patung Barbie keluaran Mattel, beberapa individu di Malaysia menggunakan kreativiti untuk menjadikannya semacam duta untuk memperkenalkan budaya dan busana masyarakat tempatan kepada dunia luar.

Misalnya,pada September 2021, usaha Erpha Ahdayani Othman dari Bintulu, Sarawak menarik perhatian ramai. Sejak 2014, dia menjahit pakaian patung Barbie berkonsepkan fesyen 1960-an. Para pelancong dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, Jerman, Switzerland, Singapura dan Hong Kong tertarik apabila Erpha Ahdayani menampilkan rekaan pakaian penduduk majmuk Malaysia.

Antara pakaian dijahit untuk anak patung Barbie dijual kepada pelancong adalah baju kurung, cheongsam, sari dan kebaya nyonya. Maka Erpha Ahdayani berjaya menjadi duta dengan menggunakan peluang yang ada untuk memperkenalkan Malaysia kepada pelancong luar.

Terdahulu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 2020 akibat penularan Covid-19, seorang pramugara bernama Wesley anak Juntan dari Sibu, Sarawak menggunakan masa terluang menghasilkan pakaian etnik Sabah dan Sarawak untuk dipakaikan pada patung Barbie dan Ken. Pemuda Iban itu menyedari populariti anak-anak patung tersebut dan memutuskan untuk menggunakannya bagi mendidik dan berkongsi maklumat tentang budaya dan busana pelbagai etnik Borneo kepada generasi muda.

Antara busana yang diperagakan patung Barbie dan Ken hasil dandanan Wesley termasuk gaya etnik Lun Bawang, Kayan dan Iban. Selain pakaian, pemuda ini turut menghasilkan hiasan bagi setiap etnik, misalnya sugu tinggi yang cantik dan penuh teliti.

RATU GIMNASTIK

Selain usaha murni duta-duta kecil seperti Erpha Ahdayani dan Wesley, Mattel sendiri mempelbagaikan busana dan penampilan patung Barbie. Dalam hal ini, ratu gimnastik kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi dipilih menjadi model pertama mewakili Malaysia. Pakaian warna merah jambu, putih dan emas yang dipakai Farah Ann semasa Sukan SEA ke-29 dan Sukan Komanwel 2018 diabadikan pada patung yang menyerupai dirinya.

Mattel selaku pengeluar patung Barbie turut berusaha bersikap inklusif dengan menghasilkan patung mewakili pelbagai golongan. Misalnya, pada April lalu diumumkan kemunculan patung Barbie pertama dengan Sindrom Down. Penghasilan patung itu pula bukan sambil lewa, sebaliknya hasil kerjasama dan rundingan dengan Persatuan Sindrom Down Kebangsaan AS. Wajah patung berkenaan berbentuk lebih bulat, mata berbentuk badam, telinga kecil dan hidung sedikit sepet. Pakaian dengan hiasan rama-rama dan bunga warna kuning dan biru pula selaras kempen kesedaran Sindrom Down.

Pada Februari lalu, diperkenalkan pula patung bernama Chelsea mewakili penghidap skoliosis, siap disertakan pendakap warna hijau yang biasa digunakan individu yang menghidap penyakit itu. Ia dihasilkan selepas merujuk pakar bedah saraf dan penyakit tulang belakang kanak-kanak.

Walaupun patung Barbie sinonim dengan penampilan wanita bertubuh langsing dan serba sempurna, Mattel menyahut cadangan masyarakat dunia lalu menghasilkan patung-patung lebih inklusif. Ini sebenarnya suatu sikap dan budaya yang boleh kita pelajari dalam kehidupan seharian.

Antara patung Barbie dihasilkan bagi memenuhi permintaan ramai ialah berkerusi roda, bertubuh saiz besar, berhijab dan pekak. Penampilan patung Barbie juga diubah suai mengikut negara supaya boleh diterima kanak-kanak dari mana-mana pelosok dunia.

Berbalik kepada filem Barbie sedang ditayangkan sekarang, elok juga kita cuba mengenali beberapa watak yang pernah menimbulkan kontroversi. Maklumat dan trivia ini mungkin menjadikan pengalaman menonton filem berkenaan lebih menarik. Misalnya, Sugar Daddy Ken dikatakan membawa pengaruh negatif. Watak Earring Magic Ken pula pernah dikaitkan dengan golongan homoseksual.

Watak Barbie lakonan Margot bertukar menjadi manusia bernama Barbara Handler pada akhir filem. Barbara ialah nama anak perempuan pasangan Ruth dan Elliot Handler. Dialah yang menjadi inspirasi kepada nama patung Barbie. Tidak setakat itu, Mattel kemudian mengeluarkan patung lelaki bernama Ken sebagai pasangan kekasih Barbie. Nama Ken pula sempena anak lelaki mereka, Kenneth. Maka, mustahil adik-beradik bercinta.

Selain watak utama bernama Barbie, ada beberapa lagi watak dalam filem mewakili patung berbeza dengan nama seperti Weird Barbie, Writer Barbie, Lawyer Barbie, Journalist Barbie, Judge Barbie dan Diplomat Barbie. Memang watak-watak wanita ditampilkan sebagai wanita berkerjaya dan berdikari. Mereka tinggal di Barbieland. Watak-watak lelaki yang rata-rata bernama Ken pula melepak dan menghiburkan diri di pantai.

Maka, apabila Barbie dan Ken datang ke dunia nyata, mereka terkejut melihat situasi sangat berbeza dalam hidup manusia. Ada unsur kejutan seperti dalam filem Planet of the Apes (1968), malah unsur keterbalikan dengan filem Wizard of the Oz (1939) di mana watak Dorothy pergi dari alam nyata ke alam fantasi. Penonton yang prihatin akan menyedari pengaruh pelbagai filem lain dalam filem Barbie. Yang baik jadikan budaya, yang buruk jadikan pengajaran. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×