“TETAPI apa pun, menjadi keutamaan kepada kementerian untuk menjaga kesihatan kanak-kanak. Kesihatan anak-anak ini penting.
“Jadi tak ada, tak timbul masalah apabila kita keluarkan nikotin dari Akta Racun – bermakna kita tidak menyatakan perkara itu, nikotin bukan racun dan kita mengabaikan kesihatan kanak-kanak.”
Demikianlah petikan sidang media Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa minggu lalu selepas merasmikan majlis berkaitan diabetes di Seremban.
Ia merujuk kepada kontroversi bahan racun nikotin dalam cecair vape yang kini sedia terhidang kepada seluruh khalayak ramai sejak 1 April lalu, termasuk mereka di bawah usia 18 tahun. Walaupun bahaya keracunan dan ketagihan masih dikhuatiri semua pihak seluruh dunia. Sebab itu jugalah penggunaannya masih diharamkan di hampir setiap negara sedunia. Malaysia amat berbeza, entah kenapa?
Sepintas lalu kata-kata yang kesihatan anak-anak adalah penting serta menjadi keutamaan amat mengujakan. Malangnya, ia tidak menyakinkan apabila membaca ayat dan perenggan susulan!
Malah, ia menimbulkan kecelaruan yang tidak membantu sama sekali. Misalnya, jika betul sebagai dikata bahawa nikotin tetap sebagai bahan racun – mengapa pula ia dikeluarkan dari senarai racun di bawah Akta Racun 1952?
Di sini timbulnya masalah kerana seperti yang telah diakui, zat keracunan nikotin bahkan ketagihannya tidak luak sedikit pun setelah dikeluarkan dari akta berkenaan. Andaikan seekor anjing liar yang ganas menggigit, terpaksa dikurung untuk mengawal keadaan.
Jika ia dikeluarkan dari kurungan itu tidak bermakna anjing itu terus menjadi jinak dan tidak lagi mengganas dan menggigit. Yakni tidak ramai terkesan oleh kerana anjing tidak lagi terkurung. Mungkin ini kekeliruan yang wujud.
Sebaliknya lebih ramai yang tergigit selagi anjing itu terus mengganas. Natijah dari ini, bahan nikotin itu tidak akan selamat apabila dikeluarkan oleh yang berwibawa. Kini ternyata lebih ramai yang teracun (umpama tergigit anjing) dengan lebih mudah ekoran lambakan jualan, sekali gus penyalahgunaan mendadak. Bukankah ini tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap kesihatan kanak-kanak?
Sebagai bukti lihat sahaja pelbagai laporan media cetak atau media sosial yang mengisahkan pelbagai bentuk penganiayaan apakala kanak-kanak yang terlibat jelas mengingkari apa yang dirujuk dalam sidang media. Dengan lain kata, apa yang diucapkan, tidak diikuti dengan perilaku menyakinkan.
Begitu juga dalam membuat keputusan dasar apatah lagi menterjemahkan sebagai suatu yang makruf dan menolak terus sesuatu yang mungkar. Tidak kiralah bagaimana dihujahkan tetapi kesan tidak berubah!
PETISYEN ANAK MUDA
Maka tidak hairanlah ada pihak yang sudah mula resah, terutama anak-anak yang merasai bahangnya. Mereka yang lebih celik dan sedar mula mengambil langkah menyatakan rasa kekecewaan yang lama terpendam. Satu panggilan untuk bertindak dilancarkan hampir sama dengan hari menteri membuat sidang media. Satu kebetulan yang bermakna.
Mereka menyeru agar anak muda dilindungi dengan menarik semula dengan segera keputusan penyahan nikotin dari senarai racun. Petisyen mengutip tandatangan dimulakan untuk semua. Katakan ‘Tidak kepada nikotin’ adalah cogan kata poster yang boleh dicapai di http://bit.ly YouthAgainst-NicotineExemption.
“Bersama kita, membuat perubahan dan melindungi anak muda kita daripada bahaya ketagihan nikotin,” ujar mereka lagi. Dari satu segi, tindak-tanduk seperti ini jelas menunjukkan golongan anak muda yang terkesan dengan apa yang ramai anggap sebagai sikap acuh tidak acuh pihak berwajib.
Apatah lagi Parlimen turut terjebak. Sehingga nikotin terus bermaharajalela. Bagai hantu raya tidak bertuan. Merasuk sehendaknya sahaja. Jika ini diumpamakan berita palsu, sudah kedengaran peringatan untuk menghindar daripada terjerumus. Dalam hal nikotin, semuanya membisu seribu kata.
Tambahan kerajaan sendiri melahirkan rasa bimbang apabila melihat statistik jumlah penagih dadah meningkat kini melebihi satu juta orang di mana 1,051,712 lelaki dan 45,696 adalah wanita.
“Lebih menyedihkan apabila daripada jumlah tersebut, 328,640 adalah berumur 15 hingga 29 tahun.” – Mengikut Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah Bilangan 1 Tahun 2023 bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 10 Julai lalu.
Wajar diambil maklum bahawa ini juga julat usia anak muda yang kini dilaporkan sebagai sasaran penjual vape berikutan ‘pembelotan’ Akta Racun pada 1 April lalu.
Justeru, KDN dan AADK diberi masa tiga bulan bagi merangka, menyusun inisiatif dan program efektif bagi membendung gejala penagihan dadah, tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) masih berkemelut dalam usaha membanteras pengguna dadah nikotin dalam cecair vape. Lebih tiga bulan sudah terbang!
Sayugia diingatkan, nikotin juga mempunyai ketagihan tahap tinggi umpama heroin. Dikenali sebagai gateway substance, yakni gerbang kepada dadah lain yang diperangi AADK dan KDN selama ini.
Apa semakin membingungkan adalah sama ada KDN dan AADK boleh berjaya jika lambakan nikotin yang tidak lagi terkawal termasuk para penagih yang kini boleh rata-rata membeli bahan tersebut sebagai gantian tabiat penagihannya.
Kajian pada 2020 mendapati daripada setiap 100 belia di negara ini, enam orang mengakui pernah mengambil dadah. Kini tersedia pula nikotin sebagai ramuan bebas beracun. Apakah strategi kita sebenarnya? – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











