KEMELUT politik membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa di bawah Akta Hasutan dan pelbagai polemik panas lain membabitkan beliau baru-baru ini menonjolkan satu dilema dalam perjuangan Pas kepada pemerhati politik. Diketahui umum sejak perletakan jawatan Tan Sri Mohd. Asri Muda dalam Muktamar Tahunan Pas pada Oktober 1982, parti itu mengamalkan konsep kepimpinan ulama. Ini membawa makna pemimpin utamanya sepanjang masa seharusnya didukung oleh golongan ulama.
Konsep kepimpinan ulama juga membawa bersamanya penubuhan Majlis Syura Ulama diketuai Mursyidul Am sebagai badan tertinggi yang diberi kuasa luas dalam perlembagaan parti bagi memastikan perjalanan Pas selari dengan dasarnya, iaitu Islam.
Sejak Majlis Syura Ulama ditubuhkan, ia mempunyai Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am pertama, diikuti (kedua) Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum kini Datuk Hashim Jasin mengambil-alih jawatan itu pada 2015.
Waktu Nik Abdul Aziz menjadi Mursyidul Am, beliau begitu berkuasa sekali dalam parti, jauh mengatasi Presiden, Datuk Fadzil Noor mahupun Tan Sri Abdul Hadi Awang dan ini selari dengan peruntukan dalam perlembagaan Pas.
Bagaimanapun, selepas Hashim menggantikan Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am kini dilihat tidak lagi mempunyai kuku. Beliau lebih dilihat sebagai mengiyakan sahaja apa-apa keputusan dibuat Abdul Hadi selaku Presiden.
Justeru, mutakhir ini kata-kata Mursyidul Am tidak lagi berbisa dan hanya dipandang sepi, sekadar pemuat muka surat dalam media massa. Contohnya, bila Hashim menegur Muhammad Sanusi kerana ucapan-ucapannya yang kasar, tiada pihak dalam Pas menyokongnya.
Sebaliknya Muhammad Sanusi terus disanjung sebagai hero dan dengan karakternya suka membuat lawak, bidasan keras serta cercaan pedas kepada lawan-lawan politik menggunakan gaya bahasa tidak melambangkan ciri-ciri Islam yang menjadi teras utama perjuangan Pas.
Dalam perlembagaan Pas ada tercatat bahawa parti itu berperanan menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah rasul-Nya. Ditegaskan juga tanggungjawab Pas memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya panduan berpolitik dan bernegara.
Bagaimanapun, sejak berkawan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), seruan seperti Pas tidak lagi kepada negara Islam. Perjuangan menegakkan Islam sebagai akidah dan syariat hampir tidak kedengaran. Pelaksanaan hukum hudud kini tidak lagi dilaungkan dalam ceramah-ceramah pemimpin Pas.
Dari sudut komposisi pemimpin pula, sudah ramai mempersoalkan kelunturan perjuangan Islam Pas lantaran kini semakin ramai yang bukan dari golongan ulama diletakkan menjadi pemimpin utama, baik dalam parti, kerajaan mahupun sebagai wakil rakyat.
Paling menonjol ialah kedudukan menteri besar di negeri-negeri dikuasai Pas. Sekarang daripada empat negeri dikuasai Pas, hanya Kelantan masih mengekalkan golongan ulama sebagai menteri besar, iaitu Datuk Ahmad Yaakob.
AKTIVIS, JURUTERA, GURU
Di Kedah, menteri besar ialah Muhammad Sanusi, seorang aktivis seperti Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Mahfuz Omar. Di Terengganu, menteri besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, seorang jurutera. Di Perlis pula, menteri besarnya Mohd. Shukri Ramli, bekas guru.
Lantikan tiga menteri besar dalam kalangan bukan ulama menimbulkan tanda tanya kepada kemampuan golongan itu untuk mentadbir negeri dan negara. Apakah tidak ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kemampuan untuk menjadi ketua kerajaan?
Dalam parti pun sama. Tenaga-tenaga penggerak utama di peringkat pusat kini bukan golongan ulama. Ahmad Samsuri adalah Naib Presiden manakala Muhammad Sanusi adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya. Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan juga bukan ulama.
Di peringkat negeri pun tidak berbeza. Jika ditakdirkan Pas menguasai Perak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang akan menjadi Menteri Besar Perak ialah Razman Zakaria, bekas pegawai kastam. Pesuruhjaya Pas Selangor dan Negeri Sembilan juga bukan ulama.
Ahli-Ahli Parlimen Pas pun ramai bukan ulama. Antaranya bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim di Arau dan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib di Maran. Contoh lain, Datuk Awang Hashim di Pendang dan Wan Razali Wan Nor di Kuantan.
Sekarang ini dalam kesungguhan mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu serta merebut peluang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini, pastinya Pas akan menonjolkan lebih ramai calon bukan ulama.
Sesetengahnya adalah bekas pemimpin UMNO yang sewaktu mereka berada dalam parti itu bukanlah diketahui mempunyai rekod peribadi dan kepimpinan yang baik.
Imej parti Islam kini semakin hari semakin luntur oleh penonjolan lebih ramai golongan bukan ulama sebagai wajah utama Pas. Ceramah-ceramahnya kini sudah tidak banyak diserikan dengan huraian hadis, ayat al-Quran dan sirah Rasulullah.
Apakah golongan bukan ulama ini jika terpilih menjadi wakil rakyat, ahli-ahli exco kerajaan negeri, menteri besar dan menteri akan mampu menghayati dasar perjuangan Islam Pas serta menterjemahkannya ke dalam pentadbiran mahupun kehidupan harian mereka?
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah menyentuh perkara ini. Beliau berkata, pemimpin Pas kini tidak tahu menjaga adab dan hemah. Mereka kini bukan produk daripada siri tarbiah Pas. Sebab itu ramai pemimpin Pas disaman di mahkamah.
Pas berdepan dengan krisis yang semakin membesar. Sejarah boleh berulang jika golongan ulama dalam Pas hanya menggunakan golongan bukan ulama dan bila sudah tidak diperlukan, mereka akan ditendang keluar dari parti seperti terjadi kepada pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah). – UTUSAN
DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.










