MUKADIMAH
MASIH kuat ingatan beliau terhadap kisah lalu yang pernah diharunginya sewaktu memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal berturut-turut.
Veteran politik DAP yang dikenali dengan sikapnya yang sempoi dan mampu menulis Jawi ini kini lebih banyak menjadi pemerhati kepada isu-isu politik tanah air terutama kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah DR. TAN SENG GIAW bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDDIN.
UTUSAN: Sebagai ahli politik lama dan berpengalaman, apa pandangan Dr. berhubung pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
SENG GIAW: Saya lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang seperti telur di hujung tanduk. Cuma beliau seorang yang mempunyai pengalaman luas, ditambah pula hubungan baik beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sejak dahulu lagi memberikannya kelebihan.
Akan tetapi, ia bukan bermaksud beliau seorang yang tiada atau bakal hilang pengaruh. Tetapi itulah politik, sentiasa berubah dan membabitkan perebutan kuasa.
Bagaimana jalinan kerjasama antara BN dan PH?
Perlu diingat, apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Musuh ketat pun boleh jadi kawan. Ini semua perkara biasa dalam dunia. Cuma saya tidak mahu gunakan bahasa keras terhadap sesuatu kumpulan atau orang lain sangat kerana semua tahu, suatu hari nanti ia akan berbalik kepada kita semula. Mula-mula bergaduh bagai nak rak, kemudian akhirnya bersatu pula.
Bagaimanapun, perlu diingat, kerjasama ini akan mengambil masa terutama persepsi dan tanggapan orang UMNO terhadap DAP yang telah tertanam dalam minda mereka sejak bertahun-tahun lamanya. Ia tidak akan hilang begitu sahaja.
Kedua-dua pihak perlu ingat, mereka perlu kawal diri. Mungkin ada satu pihak kadangkala suka bercakap bohong sehinggakan penipuan itu menjadi satu persepsi. Sementara satu lagi yang mulutnya jahat. Jadi, perkara-perkara seperti ini perlu dijaga.
Dr. agak lama dalam politik, iaitu dari 1976 sehingga 2018. Bagaimana Dr. melihat transisi daripada satu pemimpin kepada satu pemimpin?
Saya sendiri tidak sangka UMNO boleh pergi pada DAP. Tapi perlu diingat, bukan semua orang jahat-jahat dalam parti politik. Apa pun, saya berpendapat, sebelum kita membuat kenyataan atau memberi pandangan, lebih baik kita siasat dulu.
Misalnya, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sepatutnya siasat juga apa maksud sebenar beliau. Adakah cakap sahaja atau ada unsur provokasi? Kalau dari segi sejarah, memang berlaku macam itu, iaitu Pulau Pinang pernah jadi sebahagian Kedah. Tapi kita nak tahulah juga, mengapa ada dikeluarkan kenyataan sedemikian?
Mampukah gabungan BN dan PH kekal?
Kalau tiada kenyataan melampau, tidak mustahil untuk kekal. Tutup sahaja sebelah mata apa yang kita tidak suka antara satu sama lain. Jadi, hubungan yang sedia ada boleh bertahan. Kalau asyik membidas, memang tidak lamalah.
Kedua-dua pihak (UMNO dan DAP) kalau lihat dari segi sejarah memang bidas membidas sebelum ini. Tapi seperti saya katakan tadi, perlu lupakan sengketa.
Adakah DAP juga perlu berubah dengan naratif politik mereka untuk kekal bersama UMNO dan menarik sokongan orang Melayu terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN)?
Orang Melayu ini terkenal dengan sopan santun. Kadangkala UMNO sewaktu saya aktif pun ada yang kasar dan DAP pun begitu juga. Jadi, macam mana nak berpakat (pada ketika itu)?
Bagaimana Dr. melihat kepimpinan DAP pada masa kini?
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke lebih sederhana. Beliau tidak begitu agresif. Kalau dalam budaya Melayu, perangai beliau lebih disenangi. Apatah lagi orang Melayu, lebih halus dan bersopan. – UTUSAN










