PRN: Pengundi India pilih siapa?

PRN: Pengundi India pilih siapa?

PENGUNDI India dijangka menentukan nasib sejumlah besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUBARAN enam Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan peniupan wisel panjang bagi parti-parti politik untuk bersiap sedia terjun ke gelanggang pilihan raya negeri (PRN) bagi menawan enam DUN di Semenanjung.

Persoalannya, siapakah akan menjuarai dalam perlumbaan PRN pada kali ini? Apakah parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menghadapi gelombang Perikatan Nasional (PN) yang kini melanda Pantai Barat Semenanjung dari Pantai Timur?

Apakah PN akan mampu mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu serta menawan Selangor dan Negeri Sembilan dalam PRN kali ini? Apakah andaian kononnya keputusan PRN pada kali ini akan menentukan survival kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kenyataan?

PRN kali ini melibatkan pertarungan bagi menawan sejumlah 245 kerusi DUN di enam negeri. Negeri-negeri terlibat dalam PRN ini adalah Kedah (36),Terengganu (32), Kelantan (45) yang kini dikuasai PN manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) dikuasai PH.

Kerajaan perpaduan terbentuk hasil daripada kerjasama politik antara PH dan UMNO (BN). Sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, sebahagian ahli UMNO termasuk beberapa veteran melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kepimpinan parti untuk bekerjasama dengan PH. Malah episod pembuangan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO yang popular dalam kalangan ahli didakwa telah menimbulkan keretakan dalam saf utama kepimpinan parti. Malah, menggoncangkan kekuatan UMNO, parti keramat yang mewakili sebahagian besar pengundi Melayu.

Sebaliknya PH adalah sebuah parti berbilang kaum tetapi sering didakwa dikuasai oleh DAP. Sentimen DAP menguasai PH didapati menghantui pemikiran sebahagian besar pengundi Melayu terutama di luar bandar.

Meskipun Anwar disokong oleh hampir 148 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan termasuk 50 orang Melayu Islam, ada pihak yang masih melahirkan sentimen kebimbangan kononnya kekuatan politik orang Melayu semakin terhakis serta keistimewaan dan keagungan agama Islam juga semakin hilang di bumi yang mereka anggap sebagai ibu pertiwi.

Kebimbangan tersebut timbul dalam segelintir orang Melayu khususnya di luar bandar yang dijangka memberi impak kepada keputusan PRN di enam negeri berkenaan. Malah, faktor pemimpin-pemimpin yang kini berada di luar perimeter juga dijangka menjejaskan kekuatan parti di beberapa kawasan yang pernah menjadi deposit tetap kepada UMNO dalam pilihan raya sebelum ini.

BIAWAK HIDUP

Dalam pada itu, antara kawasan dimenangi oleh UMNO yang dijangka mudah ditembusi pihak lawan adalah DUN terletak di utara Kedah berhampiran Perlis, DUN di utara Selangor berhampiran Perak, DUN di timur Negeri Sembilan dan beberapa DUN di Seberang Perai, Pulau Pinang. Majoriti kerusi di Kelantan dan Terengganu pula dijangka kekal bersama Pas atau PN.

Meskipun Pas didakwa membangkitkan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRN pada kali ini, perlu sedar bahawa rakyat kini lebih berwaspada dan bermaklumat terhadap permainan dan percaturan politik. Faktor kaum dan agama didapati tidak lagi kelihatan dominan dalam pola pengundian secara umumnya kecuali di Kelantan dan Terengganu.

Sebaliknya, pengundi kini kelihatan lebih bersifat rasional dalam membuat pilihan. Mereka lebih melihat kepada prestasi parti yang membentuk kerajaan bagi mengurus pentadbiran negara. Sekiranya mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan semasa, maka mereka akan memilih semula parti yang menyertainya.

Dalam hubungan ini, meskipun Anwar menonjolkan kerajaan perpaduan sebagai bersifat inklusif dan menentang fahaman ekstremisme agama serta perkauman, rakyat masih rasa kecewa. Ini kerana harapan besar mereka bahawa kerajaan Anwar akan lebih prihatin terhadap kebajikan rakyat kurang tercapai terutama kaum India. Masyarakat India amat tidak puas hati melihat peratusan kemasukan ke universiti awam dan matrikulasi, tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar India cemerlang amat berkurangan dan tidak seperti dijanjikan dalam konsep kerajaan madani.

Malah, rakyat di seluruh negara turut kecewa kerana mereka masih terjebak dalam permasalahan harian seperti kenaikan harga barang, kenaikan belanja bulanan untuk membayar balik pelbagai bentuk pinjaman kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), nilai ringgit semakin susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras lebih teruk yang memberi kesan kepada import barang makanan.

Malah ada pihak yang celik maklumat ekonomi bimbang melihat rizab antarabangsa BNM semakin susut, iaitu ke paras AS$112.7 bilion pada 31 Mei lalu. Rakyat bimbang terhadap periuk nasi mereka.

Sementara itu, PRN pada kali ini dijangka menyaksikan pengundi Melayu pecah kepada dua parti utama, iaitu gabungan PH-BN dan PN. Pengundi Cina pula dijangka terus bersama PH kerana DAP menyokong pakatan itu.

Bagaimana pula pilihan pengundi India? Pengundi juga pecah kepada dua, iaitu satu pihak menyokong PH dan satu pihak lagi masih terapung dalam menentukan pilihan mereka. Pengundi India yang bersama MIC pula didakwa kecewa dengan PH mahupun BN kerana wakil mereka bukan sahaja tertinggal dalam Kabinet. Malah, baru-baru ini MIC dilabel sebagai parti biawak hidup yang membebankan BN. Dengan itu, sebahagian besar pengundi India dari MIC akan memikir secara mendalam dan teliti dalam membuat pilihan pada PRN kali ini. Memandangkan undi Melayu sudah berpecah, maka pengundi India dijangka menentukan nasib sejumlah besar kerusi DUN di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×