POLITIK Malaysia sudah melalui pelbagai episod dan suasana. Hadirnya dalam bentuk dan wajah berbeza. Segalanya mematangkan rakyat dalam membuat ukuran dan pilihan.
Ya, sepatutnya istilah ‘kematangan’ sudah lengkap dan sebati dimiliki rakyat dalam menentukan masa depan politik negara tanpa perlu diperingati atau dinasihati. Banyak pengalaman dan pengajaran yang mereka lalui.
Ada restoran berjenama hebat dengan menunya yang cukup lazat. Sekian lama restoran berkenaan menjadi pilihan ramai. Namun, malang jika ada tukang masak yang mengabai kualiti sehingga membuatkan pelanggan mendapati tiada lagi rasa yang asli lalu bertekad tidak mahu berkunjung lagi.
Ertinya, kehebatan jenama tidak menjamin berupaya memikat pelanggan secara berterusan jika terdapat sudut kelemahan yang tidak pula dipandang serius untuk diatasi dengan kadar segera.
Pelanggan berhak dan bebas membuat pilihan. Mereka mahu menikmati keenakan hidangan sepadan dengan bayaran yang terpaksa dikeluarkan. Pelanggan tidak berminat dengan pelbagai alasan.
Mereka tidak bersedia mengambil tahu pun tentang adanya pertukaran tukang masak atau dari mana datangnya tukang masak. Pemilik restoran perlu sedar apa diharapkan pelanggan adalah rasa yang sedap dan layanan terbaik, selain harga berpatutan.
Sementara itu, promosi hebat dengan slogan menarik juga tidak menjamin dapat kekal memikat pelanggan. Mungkin pelanggan hanya berkunjung satu atau dua kali, kemudian mereka terus melupakan restoran berkenaan disebabkan indah iklan daripada hidangan. Pelanggan tidak sanggup terpedaya dan termakan dengan sekadar promosi tanpa realiti. Dalam kata mudah, pelanggan mahu janji ditepati.
Kiasan di atas dianggap jelas dan mudah difahami umum tentang kaitannya dengan senario politik negara yang meliputi daya tarikan, memahat keyakinan dan menepati aspirasi sebenar rakyat. Sedia maklum, dunia politik Malaysia bukan sesuatu yang baharu. Sudah lebih tujuh dekad rakyat menemui dan bersama bidang politik. Ini termasuk melalui pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK).
Rakyat sudah berada dan tinggal dalam persekitaran politik yang bermacam rupa. Yakni, mereka pernah di bawah parti politik berbeza jenama dan lambang serta warna bendera. Malah, mereka turut merasai suasana berada di bawah parti politik yang sudah berpeluang berada dalam tadbir urus negeri dan negara. Jadi, susah sangatkah rakyat mahu mengukur prestasi dan kemampuan sebenar dalam kalangan mereka?
Berpeluang berada di dalam pasukan pemerintahan negeri atau negara, para pemimpin parti politik juga dapat mengukur secara jujur sejauh mana mereka mampu memenuhi harapan rakyat apabila sudah diberi mandat. Mereka boleh bertanyakan diri sendiri tentang keupayaan sebenar untuk menemui cita rasa rakyat. Dan, “Apakah apa yang aku berjanji dapat aku tunaikan?”
PENJUAL UBAT
Ada orang memberi kiasan, bagaimana mungkin seorang penjual ubat boleh meyakinkan orang ramai tentang kemujaraban ubat yang dijualnya jika dia sendiri terbatuk-batuk atau termengah-mengah ketika sedang membuat promosi? Maksudnya, sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mereka yang bergelar pemimpin perlu berasaskan logik, berfakta dan meyakinkan.
Antara ciri-ciri menjadi ukuran rakyat ialah dasar yang spesifik dan bukti melalui pelaksanaan. Sudah tentu sebarang janji membuat rakyat sentiasa ternanti-nanti. Rakyat mahu menikmati hasil mengikut spesifikasi dan masa yang ditentukan.
Syukur, pemain-pemain politik di Malaysia dapat bermain di atas padang yang rata. Ertinya, Malaysia berada dalam suasana aman damai yang membolehkan percaturan dan pertelagahan politik masih berjalan secara bebas dan terbuka.
Berbanding di sesetengah negara yang tercetus huru-hara atau sengketa melarat sehingga mengancam keselamatan masyarakat. Justeru, elok dengan suasana yang ada di Malaysia ini, pertelagahan politik tidak dibiar berlarutan sehingga merugikan masa, tenaga dan buah fikiran dalam mencari penyelesaian demi kebaikan. Letakkan matlamat berpolitik itu demi damai, makmur dan kestabilan.
Wajar, jika ada seruan supaya tidak ada tindakan caci-mencaci, kecam-mengecam sehingga memburuk-burukkan peribadi di antara satu sama lain, khususnya dalam kalangan pemimpin politik. Seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan budaya berada dalam kelompok 1Malaysia, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani. Semuanya menjurus kepada memupuk perpaduan dan keharmonian, bukan perpecahan dan persengketaan.
Apa pun, seperti sering diungkap, peranan utama berada di tangan rakyat. Segar atau layu sesebuah parti terletak pada sokongan dan pilihan rakyat. Demikian juga halnya, gagah atau lemah seseorang pemimpin.
Ia berpandukan sejauh mana disukai rakyat. Justeru, rakyat perlu membuat ketetapan tanpa keliru. Katakan ‘tidak’ pada sikap taksub sehingga langsung gagal melihat apa yang buruk.
Membina memakan masa. Sementara, keruntuhan boleh terjadi tanpa disedari. Memintal biarlah di antara tali yang kukuh, agar ikatannya tidak mudah rapuh. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan.











