Pelajar intern jangan rasa diri ‘bagus’ sangat

Pelajar intern jangan rasa diri ‘bagus’ sangat

MAJIKAN seharusnya menyediakan elaun kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri di tempat mereka khususnya bagi menanggung kos perjalanan dan makan minum. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGAT diperkatakan mutakhir ini tentang intern (mahasiswa yang menjalani latihan industri) bukan buruh percuma. Isu ini juga mendapat perhatian Perdana Menteri kita sendiri yang menyarankan syarikat dan organisasi memberikan sedikit elaun kepada para intern ini untuk menanggung kos perjalanan dan makan minum mereka.

Justeru, syarikat dan organisasi terutamanya yang berkemampuan seharusnya menyahut saranan ini kerana para pelajar intern sememangnya belum bekerja dan kebanyakan mereka juga tidak datang dari latar belakang keluarga yang mewah. Berilah juga keadilan biar sekecil apa pun sumbangan mereka semasa tempoh intern ini.

Namun, perdebatan mengenai hal ini sebenarnya telah membuka satu sisi lain segelintir pelajar universiti pada masa kini. Mereka dilihat cenderung memandang diri mereka terlalu tinggi dan terlalu ‘bernilai’ untuk melakukan sebilangan tugasan semasa tempoh intern.

Perkara ini jelas terlihat menerusi rungutan tentang betapa mereka terpaksa melakukan tugasan seperti membancuh kopi, membuat fotokopi, menjadi runner (orang yang diutus), mengemas kini sistem fail serta tugas-tugas perkeranian lain. Mereka menganggap perkara ini sebagai remeh dan tidak berguna. Mereka juga berasa tugasan sebegini tidak membantu diri masing-masing untuk berkembang secara profesional dalam pekerjaan pada masa hadapan.

Kenyataannya, tugasan sebegini sangat penting dalam membina karakter dan kemahiran insaniah mereka sebagai seorang pekerja pada masa depan. Tugasan sebegini menunjukkan kepada bakal majikan tentang kesabaran dan ketabahan dalam menjalankan tugas yang mungkin di luar skop kerja, tentang bagaimana orang lain boleh bergantung kepada mereka, kebolehan mereka mengikuti arahan dan memberi perhatian kepada perincian sesuatu perkara. Kesemua kemahiran ini sebenarnya terlihat sangat berharga kepada para majikan selain kecemerlangan akademik dan pengalaman bekerja.

Lebih menarik lagi, tugasan sebegini juga sebenarnya memberikan mereka peluang kepada pelajar intern untuk bertemu dan berinteraksi dengan para profesional lain. Sambil mempelajari pelbagai perkara baharu daripada para profesional, siapa tahu seberapa luas peluang yang akan terbuka kepada para pelajar intern di dalam alam pekerjaan masa depan mereka setelah interaksi ini?

PEMBANTU RUMAH

Sebilangan pelajar memang menganggap mereka tidak layak untuk melakukan hal-hal sebegini. Entah kerana mereka telah menjalani kehidupan yang terlalu selesa sebelum ini di mana semua dilakukan oleh ibu bapa atau pembantu rumah, entah kerana kerana mereka tidak tahu untuk melakukannya, entah kerana malas atau entah kerana kesombongan semata-mata. Mereka berfikir tugasan ini di ‘bawah’ mereka, dan mereka keberatan untuk melakukannya. Tidak sedikit pula yang dengan lantang menolak daripada melakukannya dan merungut menerusi hantaran di media sosial.

Sebaiknya, seorang pelajar intern perlulah mengelak daripada bersikap sebegini. Berpijaklah di bumi yang nyata. Semua orang juga bermula dari bawah dan melakukan pelbagai tugasan yang dianggap remeh dan kecil ini. Tetapi ketahuilah bahawa hal-hal yang kecil ini jika dilakukan secara konsisten, sepenuh hati dan penuh kesabaran akan terlihat besar pada suatu masa nanti. Dan seperti selalunya, kesabaran pasti akan berbuah yang manis.

ANGIN

Adalah hal yang baik bila mana para pelajar intern ini tahu mengenai nilai diri mereka dan menuntut hal yang lebih baik seperti sedikit bayaran elaun untuk menampung tempoh intern mereka. Namun, perlulah memeriksa ego mereka juga. Bersikap ego tidak membawa mereka ke mana-mana. Malahan ia bakal merosakkan reputasi profesional dan jalan kerjaya mereka sendiri pada masa akan datang.

Maka lakukanlah hal-hal yang betul dan sepatutnya kerana kita semua tahu pelajar yang bertuah mendapatkan pekerjaan selepas tempoh intern ini adalah mereka yang telah tekun dalam melakukan hal-hal yang betul dan sepatutnya. Harus pelajar intern ketahui juga bahawa syarikat dan organisasi ini sebenarnya tidak memerlukan mereka pun untuk terus berkembang dan berjaya.

Pelajar intern ini terkadang dianggap hanyalah sebagai ‘angin’ yang datang dan pergi. Maka, jadilah mereka yang memberi angin nyaman, tenang dan menyegarkan kepada syarikat dan organisasi ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN