DI mahkamah syariah seluruh negara, terdapat 306,454 kes atau bersamaan 73 peratus daripada keseluruhan kes mal sepanjang 2015 hingga 2019 merupakan pembubaran perkahwinan. Daripada jumlah tersebut, 90 peratus difailkan oleh isteri yang bertindak selaku plaintif.
Sering kali kita diketengahkan dengan punca berlakunya penangguhan kes di mahkamah syariah seperti kegagalan penyampaian saman, ketidakhadiran defendan, ketiadaan wakil keluarga untuk menghadiri sidang bersama jawatankuasa pendamai (JKP)/hakam keluarga, permohonan penangguhan oleh peguam ataupun kerana hakim bercuti.
Namun, tahukah anda bahawa kelewatan penyelesaian kes juga sinonim dengan faktor pembubaran perkahwinan? Justeru, faktor bagaimanakah yang mempengaruhi tempoh penyelesaian kes di mahkamah syariah?
FAKTOR
Menurut kajian yang saya lakukan terhadap 669 fail pembubaran perkahwinan di Selangor, terdapat 10 faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga. Faktor-faktor tersebut kemudiannya diperincikan kepada 21 subfaktor bagi memahami faktor utama tersebut dengan lebih bersasar.
Lima faktor dominan keruntuhan rumah tangga adalah disebabkan kewangan (tidak memberi nafkah zahir, gaya hidup berhutang, kewangan belum kukuh dan perbelanjaan melebihi kemampuan), ditinggalkan pasangan, kemahiran interpersonal/akhlak (sikap buruk pasangan, kurang rasa tanggungjawab, kurang komunikasi dan komunikasi tidak berkesan), penderaan dan seksual (tidak menunaikan nafkah batin melebihi empat bulan, tidak mencapai kepuasan, hubungan luar tabii dan kerap melakukan hubungan).
Lima faktor lainnya pula ialah luaran (hubungan dengan perempuan/lelaki lain, campur tangan ibu mentua dan kurang sokongan daripada ibu bapa/saudara mara), poligami, faktor agama (tidak menunaikan kewajipan agama dan kurang pengetahuan agama), kesihatan (pasangan orang kurang upaya, berpenyakit, pasangan lemah/tua dan tiada zuriat) serta disebabkan perkahwinan bawah umur.
TERTUNGGAK
Meneliti faktor pembubaran perkahwinan berkenaan, seterusnya saya menjalankan kajian saintifik menerusi ujian chi square, simple logistic regression, faktor nisbah (odd ratio) dan multiple logistic regression bagi memperhalusi perkaitan antara faktor pembubaran tersebut dengan tempoh masa penyelesaian kes.
Tempoh masa penyelesaian ini pula dibahagikan kepada dua, iaitu kes yang selesai dalam tempoh 365 hari dan selesai melebihi 365 hari. Tempoh masa 365 hari ini pula dijadikan kayu ukur kerana berdasarkan temu bual bersama bekas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan bahawa kes yang diselesaikan melepasi tempoh 365 hari diklasifikasikan sebagai tertunggak.
Hasilnya, kajian ini mendapati empat faktor mempunyai hubungan paling signifikan dan 11 faktor signifikan mempengaruhi kelewatan penyelesaian kes di mahkamah syariah. Faktor luaran serta faktor interpersonal/akhlak merupakan paling signifikan yang menyebabkan kewujudan kes tertunggak. Daripada punca yang dikategorikan luaran tersebut, faktor pihak mempunyai hubungan dengan perempuan/lelaki lain merupakan paling dominan yang mempengaruhi kelewatan penyelesaian kes.
Bagi faktor interpersonal pula, sikap buruk pasangan mempunyai peratusan penyelesaian kes melebihi 365 hari lebih tinggi berbanding subfaktor lainnya.
Keputusan ujian simple logistic regression tersebut juga menunjukkan hubungan dengan perempuan/lelaki lain memberikan nilai nisbah risiko terbesar, iaitu 2.17 kali ganda terhadap kelewatan penyelesaian kes, diikuti faktor luaran dengan 1.90 kali ganda dan sikap buruk pasangan dengan 1.83 kali ganda.
Ujian faktor nisbah pula menunjukkan terdapat empat faktor nisbah risiko pembubaran perkahwinan paling tinggi dan memberi kesan terhadap kelewatan penyelesaian kes iaitu sikap buruk pasangan, kurang sokongan ibu bapa/saudara mara, diikuti dengan pasangan melakukan hubungan luar tabii dan hubungan dengan perempuan/lelaki lain.
Selain itu, 11 faktor signifikan yang menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes adalah seperti kurang rasa tanggungjawab, tidak memberi nafkah zahir, gaya hidup berhutang, perbelanjaan melebihi kemampuan, tidak mencapai kepuasan seksual, kurang komunikasi, komunikasi tidak berkesan, menganiaya/memukul isteri/suami/anak, gangguan emosi, campur tangan ibu mentua dan tidak menunaikan kewajipan agama.
Menariknya hasil ujian ini juga menunjukkan faktor pembubaran kerana ditinggalkan oleh pasangan, kekerapan melakukan hubungan seksual, kesihatan dan perkahwinan bawah umur bukanlah punca kelewatan penyelesaian kes di mahkamah.
Selain faktor pembubaran tersebut, terdapat tiga faktor tambahan lain yang memberi kesan paling signifikan terhadap kelewatan penyelesaian kes, iaitu pelantikan khidmat guaman oleh isteri, kekerapan tempoh prosiding sebutan dan kelewatan perintah bersih dikeluarkan. Ujian tersebut seterusnya menunjukkan bahawa secara statistiknya bagi setiap satu perubahan faktor yang signifikan tersebut akan memberi kesan/pengaruh/perubahan/peningkatan sebanyak 64 peratus.
TEGAS
Justeru, menyedari hasil ujian yang dilakukan terhadap faktor-faktor yang dinyatakan tersebut berkecenderungan untuk melengahkan penyelesaian kes, meremehkan perintah atau mencabar keputusan para hakim, maka pengamal undang-undang dan pihak mahkamah yang berurusan dengan defendan bagi kes berkenaan perlu bersikap lebih teliti dan tegas dalam pengendalian kes.
Hal ini penting agar manipulasi prosedur yang menyumbang kepada lambakan kes tertunggak dapat dielakkan. – UTUSAN
Dr. Roziana Mat Amin ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










