BERIKUTAN pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 22 Jun ini menyebabkan pentas politik negeri itu kembali panas. Penentu kepada kemenangan dalam mana-mana parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan datang daripada anak-anak muda atau golongan belia. Daripada analisis 2022, kira-kira 46 peratus jumlah penduduk negara ini adalah golongan belia.
Ini bermakna Kelantan tidak terkecuali apabila satu perlima penduduknya berumur 30 tahun ke bawah. Analisa menunjukkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, pertambahan anak muda yang baru pertama kali mengundi di 14 Parlimen Kelantan antara 12,000 hingga 40,000 pengundi. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila secara purata anak muda yang keluar mengundi antara 67 hingga 72 peratus pada PRU15 mengikut kawasan Parlimen. Daripada analisa ini menunjukkan anak-anak muda yang pulang sebagai perantau lebih tinggi peratusan mengundi berbanding tidak merantau.
Parlimen Kota Bharu menunjukkan pertambahan sebanyak 40,000 undi tetapi peratusan yang keluar undi adalah terendah sekali, iaitu kira-kira 67 peratus. Parlimen Kota Bharu merupakan kawasan bandar. Jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar, peratusan yang keluar undi adalah lebih tinggi iaitu kira-kira 71 peratus dengan pertambahan 12,000 undi daripada mereka yang baru pertama kali mengundi.
Daripada analisis ini juga menunjukkan gelombang penolakan anak muda ke atas UMNO lebih tinggi di kawasan luar bandar seperti di Parlimen Jeli, Parlimen Kuala Krai dan Parlimen Rantau Panjang berbanding di Parlimen Kota Bharu, Parlimen Kubang Kerian dan Parlimen Pengkalan Chepa. Gelombang penolakan anak-anak muda yang berlaku dalam skala sederhana disumbangkan oleh undi daripada golongan perantau.
Situasi yang berlaku disebabkan anak-anak muda di luar bandar melihat UMNO dengan dua faktor – harapan baharu yang boleh diberikan UMNO dan bukan janji palsu. Kepimpinan UMNO perlu memahami bahawa anak-anak muda mahu melihat parti berejuvenasi sebagai harapan baharu mereka bagi memastikan UMNO terus relevan menempuh cabaran mendatang. Mereka tidak mahu melihat UMNO dalam perspektif lama, iaitu situasi yang masih mengekalkan harapan lama dan cara lama berdialog dengan anak-anak muda.
Anak-anak muda juga ingin melihat nilai baharu yang boleh dibawa oleh UMNO. Nilai baharu ini bermakna menyantuni hasrat aspirasi dan paradigma anak-anak muda Kelantan yang ingin melihat dalam pendekatan baharu. Barisan kepimpinan anak-anak muda UMNO Kelantan perlu diperkasakan dan ditonjolkan keupayaannya untuk memimpin bersama dengan kepemimpinan veteran.
AUKU
Peranan kepimpinan anak muda amat memberikan impak besar dalam menentukan hala tuju negara terutama aspek politik. Umum tahu, golongan berumur sekitar 18 tahun ke atas yang rata-ratanya masih di peringkat pengajian jarang didedahkan dengan politik. Jika dahulu terdapat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang penglibatan golongan pelajar kolej dan universiti terlibat dalam apa jua bentuk aktiviti politik, namun hari ini AUKU telah dipinda dengan membenarkan pelajar untuk terlibat dengan politik di luar dan dalam kampus.
Situasi ini membuka lembaran baharu kepada satu perlima jumlah penduduk Kelantan untuk terlibat bersama dalam kebertanggungjawaban politik – era media sosial, chatting dan sebagainya. UMNO perlu memikirkan rumah yang dibina, apakah kekurangannya untuk anak-anak muda luar bandar di Kelantan. Adakah mengadakan siri panggung rakyat merupakan satu kaedah baharu untuk meningkatkan semangat nasionalisme dan patriotisme anak-anak muda untuk lebih sayangkan abata (agama, bangsa, tanah air)?
Peningkatan bilangan pengundi anak-anak muda di Kelantan sebenarnya mengharapkan satu agenda. Agenda yang boleh membawa kepada peluang ekonomi, pekerjaan dan pendidikan yang sangat diperlukan, bukannya pembangunan material sahaja.
Salah satu sebab penolakan anak-anak muda perantau kerana fenomena undi protes. Gelombang undi protes dalam kalangan pengundi muda – pengundi muda intelektual, pengundi muda atas pagar dan pengundi muda kelas menengah yang dikategorikan sebagai pengundi kontemporari. Golongan ini kurang mendedahkan perasaan tidak puas hati secara terbuka dalam soal politik di media. Ini disebabkan sistem politik negara yang kurang toleran kepada kritikan dan teguran. Akhirnya mendapati tahap minat politik dalam kalangan golongan ini terutama di institusi pengajian tinggi menurun.
Anak-anak muda juga perlu diberikan literasi dan kefahaman tentang politik negara terutama berkaitan isu dan krisis yang berlaku masa kini. Gambaran ini dapat memberikan kefahaman terutama berkaitan kepimpinan Barisan Nasional (BN). Melalui pendekatan ini, mereka tidak lagi keliru dengan agenda politik yang salah.
Apabila banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam hal politik tidak diberikan kefahaman, maka golongan anak muda ini berpendapat mereka masih kurang jelas dalam memastikan ketelusan politik yang dikaitkan dengan BN terutama UMNO. Akibatnya, UMNO Kelantan mendapat tempias apabila berlakunya gelombang penolakan anak-anak muda dalam PRU15. Golongan anak muda yang faham politik akan membentuk mentaliti kelas pertama serta membentuk situasi politik yang harmoni serta bermanfaat kepada semua pihak.
Maka literasi politik merupakan suatu petanda aras kepada keharmonian dan perpaduan dalam jajaran baru BN-PH (Pakatan Harapan) di Kelantan. Hal ini mampu membawa kepada golongan anak muda mempunyai kefahaman yang jitu dan lebih dekat dengan BN-PH. Akhirnya dapat memberikan impak kepada kematangan pemikiran politik yang lebih sedar dan faham akan situasi sedang berlaku di Kelantan. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










