RAMAI terkejut besar apabila Menteri Pendidikan menyatakan di Parlimen baru-baru ini, Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) masih merupakan tanda aras pendidikan. Antara sebabnya, ia dikatakan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 khususnya gelombang ketiga (2021-2025) seperti tertera di dalamnya.
Ini kebetulan pada suatu ketika tetapi banyak perkara telah melangkau PPPM. Dan perlu diambil kira supaya tidak tercicir dalam zaman yang kini sering berubah kerana beberapa laras.
Pertama, PPPM tidak mengambil kira Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Lestari (MPL) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 2015 dan diakui oleh dunia pendidikan khususnya Pertubuhan Pendidikan Saintik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di Forum Pendidikan Sedunia, Incheon, Korea Selatan pada tahun sama. Malah seiring juga dengan Persidangan Antarabangsa Pendidikan untuk Pembangunan Lestari di Achi-Nagoya, Jepun, setahun sebelum itu.
Semuanya setuju bahawa hala tuju pendidikan seantero perlu berubah kerana dunia sudah merosot dan pendidikan tidak selari lagi dengan cabaran masyarakat yang semakin tidak seimbang dan lestari untuk generasi akan datang.
Kedua, PPPM tidak mengambil pandangan generasi anak muda apabila gerakan Fridays for Future dianjurkan Greta Thunberg, seorang pelajar Sweden belasan tahun. Greta melakukan mogok sendirian di Parlimen negaranya seawal 2018 untuk menarik perhatian bahawa pendidikan tidak lagi sesuai untuk masa hadapan mereka.
Greta mencabar di PPB untuk membawa perubahan besar-besaran dan disambut baik oleh tua dan muda seluruh dunia walaupun di Malaysia sambutan terus dingin. Kita disibukkan dengan kempen Undi18, maka pendidikan tidak langsung terkesan sepertimana hari ini, muncul kelompangan besar.
Laras ketiga, berkait serangan pandemik tatkala rata-rata sekolah ditutup di seluruh dunia termasuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Malaysia paling kerap menutup sekolah mengakibatkan jurang besar keciciran pendidikan.
Semua ini jelas menunjukkan ekosistem semasa tidak bersedia dan tidak selaras dengan tuntutan masa hadapan pendidikan serba baharu – hibrid, tanpa sentuhan dan penampilan fisikal, sebaliknya berpaksi sosioemosi, bertimbang rasa dan #kitajagakita. Pelbagai lagi yang tidak terfikir di mana-mana peringkat dunia, apalagi OECD!
Hatta, sekali gus PPPM mula terjejas akibat jurang berkenaan mula memesongkan hala tuju sedia ada. Maksudnya, gelombang ketiga diandaikan telah dibadai ombak-ombak baharu lebih hebat dan mengancam kehidupan.
HIDUP MATI
Persoalan sekarang, bagaimana untuk memupuk kehidupan seimbang dan sejahtera, bukan semata-mata mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan sengsara? Ada kerja tetapi hidup tidak sempurna, kesihatan mental pula duka! Hidup atau mati titik tolaknya. Di mana letaknya PISA, TIMSS dan penarafan apa sahaja dalam semua ini?
Tersemat oleh itu enam aspirasi pelajar anjuran PPPM sebagai matlamat terakhir pendidikan. Berbanding PISA dan TIMSS, kelebihannya adalah aspirasi Etika dan Rohani serta Identiti Nasional sebagai inti pati kenegaraan dalam konteks Malaysia.
Apatah lagi dalam kegusaran politik semasa, bukankah ini juga petanda penting dalam mewujudkan perpaduan yang OECD tidak ambil pusing kerana sudah mantap? Dan aliran pendidikannya stabil dan tidak cacamarba seperti Malaysia. Lebih-lebih lagi nampaknya semua pihak lepas tangan, tidak terkecuali penggubal dasar pendidikan.
Apa yang amat mendukacitakan adalah semacam ada sikap negatif ke atas dua aspek kenegaraan ini. Tegasnya, walau PISA dan TIMSS cemerlang, pendidikan masih kecundang dalam acuan PPPM.
Mungkin juga gagal kerana bab etika dan rohani khususnya dalam membanteras rasuah, tidak terkawal; dan identiti nasional tidak mengikat perpaduan sejati, lebih kepada ‘kahwin paksa.’
Ekoran itu, laras seterusnya mengimbau Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996 susulan Falsafah Pendidikan Negara 1988. Ini penting kerana PPPM disandarkan pada FPK, bukan PISA atau TIMSS.
Persis FPK mampu menyelusuri abad ke-21 sekali gus memanusiawikannya tatkala PISA dan TIMSS dangkal dalam hal ini. Yakni betapa perlunya suatu falsafah pendidikan acuan sendiri dengan sudut pandang cara serta budaya serumpun.
Malangnya ini tidak berlaku angkara minda masih terjajah mahupun selepas 67 tahun merdeka. Masa hadapan bangsa negara masih teraba-raba dalam gelita durjana. Nasiblah Kementerian Pendidikan Tinggi sudah celik apabila dinyahkan dakyah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) dan segala macam lagi.
Melangkah berani menempa kerangka dan acuan tersendiri dan sudah mula pula mendapat perhatian ramai. Maka tiada sebab Kementerian Pendidikan (KPM) masih bertanda aras di takuk lama kerana kesudahan para pelajar sekolah akan ke institusi pengajian tinggi yang telah melonjak jauh ke hadapan.
Oleh itu, laras berikut seolah-olah paling aneh sekali apabila PISA dan TIMSS diakui selaras aspirasi Malaysia Madani. Sedangkan aspirasi yang sudah lama bertahan sebelum PISA dan TIMSS lagi seperti FPK dan MPL dikuis ketepikan begitu sahaja.
Kewajaran ini cukup dangkal, tidak langsung masuk akal waras melainkan minda yang masih terjajah. Kini muncul pula ‘segulai sejalai’ – apa pula agaknya gulai bakal dihidangkan KPM dalam konteks PISA dan TIMSS? Sebelum itu, aspek pencucian tandas diperkenalkan Perdana Menteri.
Di mana pula ukuran PISA dan TIMSS untuk ditanda-araskan? Lebih mencelarukan, mutakhir amalan ranking kononnya dinafikan pula oleh KPM! Apa pula implikasi kepada PISA dan TIMSS?
Kesimpulan ringkas, bak kata seorang bekas naib canselor universiti baru-baru ini, pendidikan kita sudah hilang puncanya. Malahan ramai bersependapat demikian di seluruh dunia dalam menafsir kedudukan masing-masing.
Bezanya, mereka sudah mulai insaf dan cekal mempelopori perubahan bersesuaian sedangkan kita masih selesa di gelagat lama dan terkial-kial mengikut itu dan ini. Misalnya, kedengaran cerita bahawa ujian dan peperiksaan sekolah yang telah dibatalkan akan dihadirkan semula.
Suatu contoh gelagat lama yang sudah pun diduga apabila kehilangan punca. Lantas, terjawablah soalan mengapa PISA dan TIMSS. Dan bukan acuan sendiri. Betapa malang, minda masih terjajah! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










