Malaysia Madani bawa agenda sejagat

Malaysia Madani bawa agenda sejagat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, ramai yang memberikan komen laporan muka depan Utusan Malaysia berhubung beberapa bandar di negara ini bakal hilang dalam peta kerana ditenggelami laut disebabkan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang menyebabkan kenaikan paras laut menjelang 2050, iaitu kurang 30 tahun dari sekarang.

Antara faktor utama mengakibatkan kenaikan paras laut yang berpunca daripada fenomena perubahan iklim itu adalah pencairan glasier Greenland dan Antartika serta faktor paling mendominasi iaitu pengembangan haba lautan. Negeri-negeri yang dikatakan bakal terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Daripada komen-komen dalam media sosial terhadap berita itu, saya tertarik dengan respons dipercayai penyokong parti pembangkang yang mengkritik tiada langkah konkrit diambil kerajaan untuk menanganinya. Mereka memberikan contoh Indonesia yang mengambil langkah drastik memindahkan ibu negara ke Nusantara di tengah-tengah pulau Borneo terletak jauh dari laut.

Negara-negara lain yang turut memindahkan pusat pentadbiran kerana sebab sama ialah Korea Selatan, Mesir dan Equatorial Guinea. Langkah itu sebenarnya mempunyai paradoks tersendiri kerana menebang hutan untuk membina ibu negara baharu akan mempercepatkan peningkatan suhu bumi.

Selain perubahan iklim, ada pihak memberi komen mengenai satu fenomena global lain yang didakwa bakal berlaku iaitu dimensional shift (anjakan dimensi). Pada asalnya dikatakan akan terjadi pada 2012 tetapi sekarang diubah tarikh ke 2050 atau paling awal, 2028.

Jika perubahan iklim berpunca daripada perbuatan manusia merosakkan alam sekitar, anjakan dimensi didakwa akan berlaku apabila majoriti manusia sentiasa memberikan fokus kepada sifat-sifat baik yang mempunyai frekuensi lebih tinggi.

Apabila mencapai jisim genting, iaitu bilangan minimum diperlukan bagi membolehkan perubahan berlaku maka atom yang menjadi binaan asas semua kehidupan di sekeliling kita akan bergetar lebih pantas.

Dakwaan itu bukan baharu kerana sering diketengahkan dalam filem fiksyen sains keluaran Hollywood. Menurut takrif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), fiksyen sains ialah cerita khayalan yang mengambil fakta sains, andaian dan hipotesis sebagai dasar cerita.

Dakwaan terbabit harus kita letakkan dalam kategori hipotesis, iaitu pendapat yang dianggap benar tetapi kebenarannya masih belum dibuktikan sehingga ia benar-benar berlaku.

Bagaimanapun, ahli fizik dari Amerika Syarikat (AS), Albert Einstein (1879-1955) dalam satu temu bual pada saat-saat akhir hayatnya pernah menyebut bahawa terdapat kehidupan di bulan dan planet-planet lain tetapi tidak dapat dilihat oleh mata kasar kerana berada di dimensi lain.

Ahli geologi dari AS, Gregg Braden yang popular dalam YouTube juga pernah mengulas isu ini dengan menyatakan, anjakan dimensi boleh berlaku apabila setiap individu menolak daripada mengamalkan sifat-sifat yang termasuk dalam kategori frekuensi rendah seperti berperang, benci, kemarahan, kemurungan dan ketakutan.

“Saya fikir kita akan melihat keluarga global kita membuat pilihan untuk meninggalkan penggunaan perang bagi menyelesaikan masalah. Saya tidak mengatakan kita tidak akan mempunyai sedikit konflik di sini atau di sana kerana ini sifat manusia.

“Tetapi jenis peperangan yang telah kita lihat pada abad ke-20 dan sebelumnya serta penggunaan perang untuk menyelesaikan masalah kita, saya fikir dengan cepat ia menjadi usang,” katanya.

TEKNOLOGI BAHARU

Pihak terbabit mendakwa, anjakan dimensi membolehkan lebih banyak teknologi baharu yang hanya boleh beroperasi dalam persekitaran berfrekuensi tinggi diperkenalkan. Antaranya pengemudian kereta dan kapal terbang menggunakan kuasa minda, lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak menyebabkan pemanasan global dan rawatan penyakit menggunakan realiti maya.

Apabila berbicara mengenai perubahan iklim dan anjakan dimensi, kita tidak boleh melupakan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menggariskan enam rukun utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Daripada enam rukun ini, ihsan adalah sifat baik yang cukup memberikan kesan bagi mewujudkan masyarakat yang sentiasa berpegang kepada kasih sayang. Ihsan membawa maksud peduli dan belas kasihan.

Maksudnya, kita perlu menjadi manusia yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak tamak dan tahu menghormati hak orang lain.

Rukun-rukun yang terdapat dalam Malaysia Madani sebenarnya adalah agenda sejagat yang turut diperjuangkan pihak-pihak lain. Konsep sama kini diperjuangkan oleh ahli falsafah dari Hungary, Dr. Ervin Laszlo yang telah dicalon sebanyak dua kali untuk menerima Anugerah Nobel Keamanan.

Beliau yang dilantik oleh Kementerian Alam Sekitar Hungary untuk mengetuai kempen bagi meningkatkan kesedaran tentang kesan buruk perubahan iklim dan pemanasan global telah dimasukkan dalam kumpulan 100 orang hidup paling berpengaruh dari segi kerohanian di dunia pada 2019.

Menurut beliau, bumi sedang melalui proses great shift (anjakan hebat) yang boleh menjadi kenyataan jika rakyat di peringkat akar umbi memberikan tumpuan untuk mengamalkan sifat-sifat mulia seperti kasih sayang tanpa mengharapkan sebarang balasan, bekerjasama, berkongsi, belas kasihan dan mempunyai sifat bertanggungjawab untuk menjaga bumi dan semua kehidupan di atasnya.

Tidak dapat dipastikan, adakah anjakan dimensi yang boleh mengurangkan kesan buruk perubahan iklim akan berlaku? Tetapi yang pasti kita tidak rugi untuk mengubah diri terlebih dahulu dengan sentiasa mengamalkan sifat-sifat baik termasuk ihsan dalam hidup.

Ia seperti diungkap ahli sufi abad ke-13, Jalaluddin Rumi, “Semalam saya pandai, jadi saya mahu mengubah dunia. Hari ini saya bijak, jadi saya mengubah diri saya.”

Menurut kajian oleh Institut HeartMath di AS, sifat-sifat baik yang elok diamalkan adalah unconditional love (kasih sayang tanpa syarat), compassion (belas kasihan), care (mengambil berat), appreciate (bertindak dengan perbuatan bagi menunjukkan penghargaan), gratitude (meluahkan perasaan bersyukur) dan forgiveness (memaafkan).

Semua sifat baik itu ada pada Anwar termasuk sifat yang terakhir. Sebab itu beliau pernah mengungkapkan, “Ada pemimpin tertinggi (PKR) bertanya kepada saya, Anwar pandang saya dan beritahu anda sudah maafkan beliau (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Saya pandang dia, dan saya cakap, keutamaan saya adalah negara dan saya sudah maafkan Tun,” kata Anwar. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×