Korbankan ego kalau nak bahagia

Korbankan ego kalau nak bahagia

RUMAH tangga perlu dijalani dengan rasa ihsan, mahu memberi dan berkongsi lebih daripada apa yang dituntut.” – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WACANA fiqah ada banyak yang berkisar tentang perkara halal-haram atau hitam-putih. Kalau tidak A, maka B natijahnya ataupun selain daripada A, bergantung pada jenis hubungan A dengan B, maka sama ada tanaqud atau tadhad.

Namun, ada juga wacana fiqah yang berkisar tentang piawaian minimum.

Bukan gambaran ideal sesuatu perkara, bahkan semata-semata meletakkan had minimum. Hukum-hakam melibatkan hubungan suami isteri adalah antara contoh yang baik dalam hal ini. Jadi, apabila kita membincangkan nilai sosial atau norma budaya dalam perkahwinan dari perspektif agama, haruslah kita fahami dahulu Islam hanya meletakkan had minimum yang wajib disempurnakan pasangan.

Kebelakangan ini sering dipolemikkan apa itu kewajipan suami dan apa pula kewajipan isteri. Ada yang berbalah isteri tidak wajib masak. Ada yang berhujah suami wajib sediakan setiap kelengkapan isteri. Bagi saya, memang benar. Hukum fiqah menetapkan isteri tidak bertanggungjawab terhadap hal ehwal rumah dan nafkah. Malah, benar juga suami yang wajib menyediakan nafkah dan boleh jadi hingga ke tahap wajib juga menyediakan pembantu rumah untuk isteri. Fiqah hanya mewajibkan isteri untuk melayan suami di bilik tidur dan juga wajib meminta izin suami sekiranya mahu keluar rumah.

Pastinya sebuah rumah tangga akan menjadi teramat kontang jika operasinya berjalan seperti yang disebut walaupun dengan alasan ‘inilah hukum.’ Sedangkan hubungan perkahwinan yang diharapkan melangkaui hitam-putih fiqah semata-mata. Takut-takut apabila kita terlalu asyik mendebatkan ‘apa kewajipan dalam fiqah’, nanti timbul pula situasi apabila pasangan menjadi terlalu berkira-kira dalam hubungan mereka.

Hingga terjadi pula insiden bila si suami akan berpada memberi had minimum nafkah.

Daripada hidup bermewah kerana inginkan kebahagiaan, kini si suami hanya terpanggil menjalankan kewajipan memberi isteri makan siang sekali dan makan malam sekali, memberi pakaian sehelai musim panas dan sehelai musim sejuk, sebagai contoh. Isteri pulak tidak mahu mengurus rumah atau mengurus anak-anak dengan alasan ‘hukum fiqah tak kata itu kewajipan isteri.’ Daripada ada isteri yang melengkapi kekurangan suami, risau pula jika nanti isteri hanya cukup ‘pasang badan’ untuk suami kerana kewajipan yang diputuskan fiqah hanya itu.

Kerap juga kini orang ramai memutar kembali isu ‘rogol’ dalam perkahwinan. Isu ini telah pun diulas sebelum ini. Cukup sekadar saya ulangi, dalam fiqah memang tiada istilah ‘rogol’ dalam hubungan perkahwinan yang sah. Namun amat jelik, keji dan hina seorang lelaki Islam mengasari isteri semata-mata atas alasan ‘kewajipan’ sang isteri memenuhi nafkah batin suami.

Dalam perspektif ini, jelas Seksyen 375A Kanun Keseksaan sudah pun memenuhi keperluan melindungi hak seorang wanita Islam yang berkahwin. Selain itu, suka juga saya petik insiden bilamana Fatimah binti Muhammad mengadu kepenatan mengurus rumah dan keluarga pada ayahandanya. Baginda Rasulullah tidak pula menyuruh anak kesayangannya pulang untuk berhujah dengan suaminya, Ali bin Abi Talib dengan hujahan, “Ini bukan tanggungjawab saya.”

TUR SINA

Sedangkan ayahandanya seorang rasul dan hukum pastinya jelas.

Sebaliknya, ayahandanya tahu dalam rumah tangga jika mahu ada manisnya, perlu melepasi hukum fiqah, hak minimum dan kewajipan semata-mata.

Rumah tangga perlu dijalani dengan rasa ihsan, mahu memberi dan berkongsi lebih daripada apa yang dituntut. Baik daripada pihak isteri mahupun suami. Malah, tiada juga hukum yang mewajibkan suami meminta izin ataupun memberitahu ke mana mahu ditujunya. Namun, lihat tauladan daripada Musa a.s, seorang rasul agung.

Ketika dalam perjalanan kembali ke Mesir bersama isteri setelah 10 tahun melarikan diri ke Madyan, baginda ternampak api yang memancar di pergunungan Tur Sina. Baginda meminta isterinya tetap di tempatnya dan sebelum berlalu, baginda memberitahu isteri ke mana dan apa tujuan baginda mahu pergi menurut arah cahaya itu. Inilah yang dipateri dalam surah Taha (20:10). Tidak wajib, tapi itulah akhlak dan ihsan seorang suami yang baik terhadap isterinya.

Tambahan lagi, isu nafkah di mahkamah syariah tidak lari daripada suami culas nafkah anak atau isteri, dan isteri atau ibu yang menghalang anak berjumpa si bapa. Mangsanya, si anak. Ini semua berpunca daripada sikap ego masing-masing. Sehingga wujud syor si anak juga perlu lantik peguam untuk kembalikan haknya.

Sedangkan sunnah yang ditunjukkan Rasulullah itu jauh lebih halus.

Diriwayatkan oleh Sa’ad Ibn Abi Waqqas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan sesungguhnya tidaklah kamu mengeluarkan harta dengan mengharapkan ganjaran daripada Allah kecuali pasti kamu akan diganjari sehinggalah sesuatu yang kamu berikan kepada mulut isterimu.”

Buat isteri pula, hadis yang diriwayatkan al-Tirmizi (1159) menyatakan, “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.”

Justeru, bersandarkan kepada dua hadis ini, hukum fiqah perlu difahami mengikut tema yang bersesuaian. Bila tepat difahami, hidup tidak akan kaku, kering bahkan segar, manis dan ‘hidup’! – UTUSAN

PENULIS ialah peguam syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang; dan aktivis Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×