MUKADIMAH
PENETAPAN tarikh Hari Raya Aidiladha sering mencetuskan perbalahan umat Islam di negara ini apabila ada mempertikaikan mengapa perayaan itu seolah-olah perlu diraikan lewat dua hari selepas wukuf di Arafah.
Mereka mendakwa sebelum 1996, tarikh itu mesti disambut hanya sehari selepas ibadah berkenaan tetapi kemudiannya ditetapkan lambat dua hari sehingga menyebabkan ramai terkeliru, bilakah tarikh sepatutnya puasa sunat Arafah di Malaysia?
Ikuti penjelasan tuntas Penasihat Persatuan Falak Syari’ Malaysia, DATUK DR. AZHARI MOHAMED ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AMREE AHMAD di Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta pernah dilantik sebagai panel rujuk falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
UTUSAN: Bagaimana kaedah penyusunan takwim hijriah dan penentuan tarikh-tarikh penting dalam Islam?
AZHARI: Malaysia agak unik kerana sistematik dalam menentukan awal bulan Hijrah. Bermula 1996, prosedur diseragam menerusi kaedah hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah (KIR) dengan ukuran tertentu.
Cuma untuk tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah, ia ditambah dengan merukyah hilal atau disebut sebagai rukyah dan hisab.
Cara rukyah menggunakan mata kasar dan dibolehkan peralatan optik moden. Kaedah hisab pula berdasarkan konsep KIR MABIMS 1991 diasaskan daripada Resolusi Istanbul 1978, diikuti KIR MABIMS 2021 yang menetapkan selepas ijtimak pada petang hari ke-29 Hijrah dan ketika maghrib, hilal dianggap kelihatan jika ketinggian atas ufuk sekurang-kurangnya tiga darjah dan jarak lengkung dari matahari lebih 6.4 darjah.
Malaysia turut menggunakan konsep matla’, iaitu tempat terbit anak bulan. Semua negara berlainan kedudukan matla’. Kita hanya boleh terima hasil cerapan di negara kita dan bukan negara lain. Pemakaian kaedah ini agak menarik kerana berpotensi menghasilkan empat kemungkinan.
Pertama, hilal tidak kelihatan (negatif) dan hisab berdasarkan KIR juga menunjukkan tiada (negatif). Maka keesokannya 30 haribulan. Keadaan ini sering terjadi dan antara sebab adalah konfigurasi kedudukan bulan.
Kedua, hilal tidak kelihatan (negatif) tetapi hisab KIR menunjukkan ada (positif). Maka kita pakai hasil hisab dan keesokan 1 haribulan. Senario ini banyak terjadi dan faktor utama adalah cuaca tidak mengizinkan.
Ketiga, hilal kelihatan (positif) dan hisab KIR juga ada (positif). Maka keesokannya 1 haribulan. Situasi ini sering berlaku, misalnya Ramadan 1444H (22 Mac 2023) apabila 10 daripada 29 lokasi berjaya mengesan hilal.
Akhir sekali, hilal kelihatan (positif) tetapi hisab menunjukkan tiada (negatif). Maka keesokannya 1 haribulan. Mengikut rekod, situasi ini tidak pernah berlaku kecuali Syawal 1443H (30 April 2022) apabila pencerap di Labuan mengesan hilal. Kenampakan itu diterima pihak urus setia Jakim dan seterusnya umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri secara ‘mengejut’ pada 1 Mei 2022, sehari awal dari tarikh dihisab.
Sebelum 1996, Malaysia maraikan Hari Raya Aidiladha sehari selepas wukuf di Arafah diisytiharkan Arab Saudi, tapi sekarang 10 Zulhijah. Kenapa?
Sebenarnya antara pendapat sokong amalan sehari selepas wukuf kerana Hari Raya Aidiladha asasnya untuk yang menunaikan fardu haji di Mekah dan dikatakan kita perlu menyambut serentak. Bagaimanapun, hujah ini tiada asas kukuh kerana Hari Raya Aidiladha mula disambut pada 1 Hijrah, manakala ibadat haji mula difardukan 6 Hijrah yang terikat tempat dan masa, iaitu sekitar Mekah walhal Hari Raya Aidiladha boleh disambut di mana-mana tanpa terikat. Maka, penetapan Hari Raya Aidiladha di luar Arab Saudi tidak harus bergantung hari wukuf, sejajar ia dikenali hari raya korban dan bukan hari raya haji bagi kita.
Jika dilihat Malaysia dan Mekah terpisah jarak lebih 7,000 kilometer. Faktor geografi bukanlah isu besar masa ini dalam era dunia tanpa sempadan. Namun, jika kembali 1,400 tahun dahulu, keadaan ketika itu tidak memungkinkan umat Islam bertukar-tukar maklumat dengan pantas. Justeru, persoalan timbul, bagaimana tarikh wukuf boleh disampaikan kepada seluruh dunia untuk Hari Raya Aidiladha jika itu merupakan tuntutan syarak? Ini pasti menjadi masalah besar malah mustahil, kecuali tarikh ditetapkan bagi negara-negara di luar Mekah melalui penentuan 1 Zulhijah.
Bahkan ada pendapat menganggap teori Hari Raya Aidiladha sehari selepas wukuf bagi luar tanah Arab adalah ‘fatwa’ baharu dan tiada kaitan langsung dengan syariah. Lagipun, Malaysia terletak di timur Mekah dan terpisah lima zon waktu mendahului Mekah. Sekiranya kita berpegang kaedah penetapan Hari Raya Aidiladha hendaklah sehari selepas wukuf, maka solat sunat hari raya dan ibadah korban di Malaysia mendahului ibadah sama di Mekah. Jemaah haji belum mula wukuf, tetapi kita telah melaung takbir raya. Jadi, siapa ikut siapa sebenarnya?
Isu ini telah lama dibincang dengan diambil kira pandangan syariah serta teknikal malah menjadi resolusi Akademi Fiqah Islam di Jordan pada 1986 yang membuat ketetapan agar semua negara boleh menentukan permulaan bulan menggunakan asas sama bagi Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Sebab itu, ada beberapa siri muzakarah yang berpegang kepada pendapat bahawa negara di luar Mekah, asas tarikh Hari Raya Aidiladha tidak harus berbeza dengan kaedah awal Ramadan dan Syawal, iaitu rukyah dan hisab. Seterusnya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 1994 supaya tarikh ditetapkan pada 10 Zulhijah yang ditentukan melalui rukyah dan hisab. Maknanya, selepas merukyah pada petang 29 Zulkaedah, kita tentukan bilakah 1 Zulhijah agar boleh berpuasa sunat pada 9 Zulhijah dan sambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah, tanpa bergantung tarikh wukuf di Arafah.
Tidak bolehkah seluruh dunia menyambut pada tarikh sama?
Boleh, dengan syarat selesaikan, pertama, semua negara perlu setuju kriteria sama dalam penetapan tarikh awal Hijrah. Kedua, menerima konsep kesatuan matla’. Ironi di peringkat MABIMS, meskipun bersetuju KIR MABIMS 2021, namun penetapan tiga bulan utama di Brunei guna kaedah rukyah; Indonesia pula rukyah dan hisab imkanur rukyah serta hisab wujudul hilal; Malaysia masih rukyah dan hisab imkanur rukyah manakala Singapura dengan hisab imkanur rukyah sahaja. Masing-masing berkeras kaedah tersendiri. Mujurlah sebarang kesilapan penentuan tarikh kalendar Islam tidak dibawa ke depan atau terkumpul untuk bulan seterusnya. Ciri ini menjadikan takwim Islam unik kerana ada mekanisme selaras kendiri.
Sebenarnya ada usaha penyeragaman kalendar Islam secara global menerusi Resolusi Istanbul semasa Kongres Penyatuan Kalendar Hijrah pada 2016. Ia dihadiri negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia yang antara lain mencadangkan KIR baharu iaitu ketinggian bulan ketika maghrib adalah lima darjah manakala jarak lengkung bulan ke matahari adalah lapan darjah.
Selain itu, satu keputusan penting dicapai iaitu pemakaian kalendar Hijri tunggal seluruh dunia. Justeru, kita perlu mula di peringkat MABIMS kerana sudah lebih tujuh tahun kongres diadakan. Ini boleh dibuat menerusi perbincangan susulan mana-mana platform sesuai untuk mencari titik pertemuan. Dengan cara ini, umat Islam di rantau ASEAN dapat menyambut Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha pada tarikh sama. Semua negara kena bersetuju satu kaedah penetapan tarikh awal bulan Hijriah dan penerimaan konsep kesatuan matla’, maka apa jua keputusan mana-mana negara sekali pun secara prinsipnya akan terpakai di negara lain. Ini tentu memberi contoh terbaik kepada negara-negara anggota OIC pula dan seterusnya merintis ke arah penggunaan satu kalendar Hijrah untuk seluruh dunia.
Saya sebenarnya bersetuju dengan pandangan Mufti Perlis supaya perkara ini disemak. Perlu diingat, lebih 30 tahun lalu, Malaysia melalui satu seminar di Pulau Pinang pernah memperkenalkan konsep Garis Tarikh Hilal Universal. – UTUSAN










