MUKADIMAH
ISU tenaga kerja, gaji dan pengangguran membelenggu kerajaan tanpa mengira siapa pun yang memerintah.
Ia antara aspek yang seringkali dilihat dan menjadi perhatian masyarakat lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup semakin tinggi pada masa kini. Apatah lagi ia saling berkait rapat dan
turut menjadi petunjuk kepada tahap ekonomi sesebuah negara.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Menteri Sumber Manusia, V. SIVAKUMAR bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto, FAIZ ALIF ZUBIR.
PENGANGGURAN
MINGGUAN MALAYSIA: Berapakah kadar pengangguran di Malaysia setakat ini dan adakah ia di tahap serius?
SIVAKUMAR: Berdasarkan statistik tenaga buruh Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran pada suku pertama tahun 2023 adalah 3.5 peratus. Ia menunjukkan ekonomi negara berada pada tahap guna tenaga penuh selagi mana kadar tidak melebih empat peratus. Pada kadar ini, ia bukan dianggap teruk dan normal berbanding pandemik yang mencecah 4.5 peratus.
Pasaran buruh di negara ini juga kekal berdaya tahan dengan kadar pengangguran lebih rendah berbanding tempoh pandemik. Saya menjangkakan untuk tahun ini, jumlah peratusan turun lagi. Tetapi tidaklah sampai ke tahap kosong peratus. Ia mustahil.
Kita pun sudah adakan pelbagai program penempatan pekerjaan seperti MYFuture Jobs dan dibuat di seluruh negara. Selain itu, ada pelbagai program latihan dan pembangunan bagi memastikan tenaga pasaran yang kita mempunyai kemahiran tertentu termasuk Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagaimanapun, isu sebenarnya bukan angka 3.5 peratus itu. Apa yang jadi masalah sekarang daripada angka tersebut sebahagian besarnya adalah dalam kalangan anak muda. Kadar pengangguran secara keseluruhan tidak mengira umur. Tetapi, kalau kita pecahkan lagi kadar pengangguran, sebenarnya ia masih tinggi dalam kalangan anak muda. Jadi, saya fokus untuk membantu golongan tersebut.
Ini kerana anak muda lebih suka pilih kerja ‘kolar putih’ berbanding ‘kolar biru’. Tetapi ia bukan satu-satunya punca. Faktor lain adalah terdapat anak muda yang keluar universiti tetapi tidak memiliki kemahiran dan kepakaran yang diperlukan industri.
Ini pun satu isu dan menjadi bebanan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan graduan yang kita hasilkan sama ada dari universiti awam (UA) mahupun kolej adalah mereka yang benar-benar diperlukan industri.
Selain itu, ada peluang lain bagi anak muda di mana mereka boleh mendapat pendapatan walaupun tidak bekerja secara sepenuh masa. Jadi, macam mana kita hendak kategorikan mereka? Adakah mereka bekerja atau menganggur?
Kalau awak kerja dengan seseorang ada majikan, itu bekerja. Bagaimana kalau berniaga dalam talian? Itu belum lagi yang menjadikan sukan e-sport sebagai mata pencarian.
LATIHAN
Adakah kerajaan akan menilai semula program upskilling dan reskilling terutama dengan pengenalan Artificial Intelligence (AI) dan isu pekerjaan dalam kalangan graduan?
Masalah sekarang adalah trend berubah dengan pantas. Jadi, latihan yang kita tawarkan sama ada latihan berbentuk industri, vokasional atau TVET, ia mesti selaras dengan peredaran zaman. Kalau tidak, kita akan buat sesuatu yang tidak mengikut industri. Hari ini, kita sudah cakap mengenai AI dan ia sentiasa berubah. Sebab itu, saya beritahu semua agensi fokus kepada trend apa yang diperlukan industri, bukannya apa yang kita ada.
Justeru, kita juga sentiasa berusaha untuk meningkat dan memperkukuhkan kompetensi sumber manusia bagi menyokong peralihan tiga pekerjaan masa depan dan penggunaan automasi dan mekanisasi sekali gus mengurangkan kebergantungan buruh asing.
Pelbagai program dilaksanakan secara berterusan di pelbagai peringkat dan golongan sasar dengan tujuan mengecilkan jurang kemahiran pekerjaan melalui jabatan dan agensi di bawah kementerian ini.
GARIS PANDUAN GAJI
Adakah kerajaan bersedia melaksanakan langkah khusus seperti garis panduan gaji minimum dan caruman untuk mengawal selia sektor e- hailing dan p-hailing?
Saya sedang melihat perkara ini sebagai salah satu trend global. Ketika pandemik, ramai hilang kerja dan beralih ke sektor ini. Selepas pandemik pun begitu juga dan sektor ini tidak mengecil. Hari ini jumlah pekerja gig sudah mencecah 1 juta. Setakat ini, di bawah Perkeso, mereka boleh membuat caruman untuk skim keselamatan sosial.
Bagaimanapun, kita tidak boleh paksa mereka dan kita tiada undang-undang untuk kawal selia mereka. Ada baik dan buruknya apabila mereka tidak terikat.Apa yang jadi masalah sekarang, ada yang mahukan garis panduan dan undang-undang, tetapi ada pula yang menentang apabila bercakap soal kawal selia.
Dalam kalangan mereka, sudah ada yang tiada persefahaman. Bagaimanapun, sebagai sebuah kerajaan prihatin, kita tidak boleh biarkan ia begitu sahaja. Untuk kita merangka dan melaksanakan undang-undang ini akan mengambil masa dan bukan sesuatu yang mudah. Jadi, penting untuk kita buat garis panduan supaya ia menjadi satu dasar untuk sementara waktu sebelum kita pergi kepada akta sebenar
Saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha saya supaya tidak melambat-lambatkan tentang isu ini. Kalau boleh sediakan garis panduan dalam tempoh terdekat. Saya bagi mereka dua minggu untuk saya dapatkan garis panduan secara kasar.
TENAGA KERJA INDONESIA
Duta Indonesia sebelum ini menuntut janji Malaysia dalam isu berhubung keadilan membabitkan tenaga kerja Indonesia. Bagaimana komitmen Malaysia setakat ini?
Saya mengambil berat isu ini. Tetapi bukan bermakna saya defensif. Dakwaan yang dibuat Indonesia ada asasnya.
Saya tidak katakan ia serius. Tetapi kalau ada satu kes pun ia tetap kes. Setakat ini, saya sudah berjumpa dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Dr. Ida Fauziyah, sebanyak dua kali.
Dalam dua pertemuan itu, isu yang dibangkitkan beliau adalah soal kebajikan pekerja domestik Indonesia (PDI). Beliau bimbang dan takut tentang keselamatan mereka dengan beberapa kes yang berlaku di negara kita. Jadi, saya sudah beri arahan kepada JTK kalau ada salah laku majikan, tindakan tegas harus diambil. Ini jaminan saya.
Kos pengambilan PDI dikatakan tinggi. Adakah kerajaan antara kedua-dua negara sudah mencapai kata putus dalam aspek pengurangan kos?
Sebelum penularan pandemik, kita perlukan sekurang-kurang RM12,000 untuk seorang pekerja. Semasa pandemik, disebabkan kuarantin, maka jumlah ditambah menjadi RM3,000 sehingga mencecah RM15,000. Kadar ini memang tinggi. Jadi, usaha mengurangkan kadar ini akan dilakukan.
Dalam pertemuan saya dan rakan sejawat, kita melihat dua konteks berbeza. Indonesia melihat dalam konteks kebajikan dan kita dalam konteks harga. Indonesia ada alasannya.
Mereka kata PDI datang dari pelbagai wilayah termasuk pedalaman dan bukan dari satu tempat sahaja. Jadi, sebelum mereka dihantar ke Jakarta dan Kuala Lumpur, mereka terpaksa lalui pelbagai agen. Daripada satu agen ke satu agen. Jadi, kos lagi jauh dia datang lagi mahal. Itu alasan Indonesia. Walaupun mereka datang dari jauh, kita akan cuba mencari jalan. Mungkin bayar satu agen sahaja dahulu. Jadi, kita jangka kadar tersebut mampu diturunkan.
Pada Mesyuarat Kerja Bersama Kali Ke-3 yang melibatkan kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia bersetuju menyemak kos pengambilan yang telah ditetapkan sebelum ini berdasarkan kepada kadar berbeza mengikut wilayah-wilayah di Indonesia.
Penyemakan kos pengambilan mengikut kadar berdasarkan wilayah-wilayah di Indonesia akan dibincangkan semula pada sesi Mesyuarat Kerja Bersama Kali Ke-4 yang dijadualkan pada bulan ini atau Julai nanti.
HENTIKAN PENGAMBILAN
Adakah Malaysia bersedia seandainya Indonesia menghentikan pengambilan pekerja dari negara tersebut?
Kalau kita lihat setakat 30 April lalu, terdapat seramai 425,801 orang pekerja Indonesia digajikan dalam pasaran buruh tempatan. Kebanyakan mereka bekerja di negara ini untuk memenuhi sektor pekerjaan asas berkemahiran rendah.
Dalam masa sama, terdapat 15 negara lain yang turut membekalkan tenaga kerja kepada negara kita. Kita akui bahawa Indonesia merupakan salah satu negara sumber utama yang membekalkan tenaga kerja. Bagaimanapun, beberapa negara utama lain seperti Bangladesh, Nepal, Myanmar, India, dan Pakistan boleh membekalkan tenaga kerja yang diperlukan kita. Seandainya kita terlalu bergantung kepada satu-satu negara, ini akan menimbulkan kekangan dan masalah kecekapan pasaran buruh.
Di samping itu, kebergantungan yang tinggi terhadap sesebuah negara juga boleh menyebabkan negara itu mengambil kesempatan untuk mengenakan tindakan drastik seperti moratorium sementara sekiranya terdapat apa-apa isu dan pertikaian di antara dua negara.
LAMBAKAN PEKERJA ASING
Kementerian Sumber Manusia sedar isu lambakan pekerja asing?
Kalau dilihat dalam konteks pekerjaan, sebenarnya pekerja asing dibawa ke negara ini bukan untuk meniaga. Kalau mereka datang untuk berniaga itu salah.
Masalahnya, apabila sudah masuk ke sini, secara perlahan-lahan mereka keluar daripada skop pekerjaan sebenar sehingga ada yang meniaga.
Ada juga yang saya tahu berkahwin dengan orang tempatan dan jalankan aktiviti perniagaan. Tidak dinafikan memang ada tempat berlaku lambakan. Tetapi ada juga tempat yang mereka kurang. Yang jadi lambakan ini kebanyakan mereka ialah pendatang asing tanpa izin (PATI).
Di samping masalah lambakan PATI, kita juga ada masalah lain apabila ada majikan tidak bertanggungjawab dan membiarkan mereka sebaik masuk ke negara ini (secara sah). Ini amaran saya kepada majikan. Ambil pekerja apabila benar-benar memerlukan. Bukan biarkan mereka keseorangan.
Baru-baru ini ada insiden di mana pekerja asing yang masuk ke negara kita dalam jumlah yang ramai, tetapi akhirnya terkandas. Tiada siapa (majikan) yang mahu ambil mereka sebaik sampai ke sini. Syarikat itu kemudian menafikan kata mereka tidak buat dan ini semestinya mendatangkan masalah.Kalau mereka masuk secara sah, kita akan tempatkan di sektor yang diperlukan.
Masalahnya kenapa mereka (majikan) masuk sedangkan tidak diambil untuk bekerja? Kebanyakan mereka yang terkandas dari Nepal dan Bangladesh.
Baru-baru ini di Nilai, Negeri Sembilan, kita serbu tiga rumah kedai. Hampir 400 orang kita selamatkan. Mereka terkandas lebih sebulan tanpa ada pekerjaan. Kita selamatkan mereka dan bawa ke Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) sebelum ditempatkan pada syarikat yang memerlukan.
Jadi, ini salah satu bentuk penganiayaan. Setakat ini, kita telah selamatkan seramai 832 pekerja asing yang dibawa masuk secara sah tetapi tidak diberikan kerja.
Dan daripada jumlah ini, kita berjaya memberikan pekerjaan kepada 375 pekerja melalui proses pertukaran majikan yang masih dalam tindakan untuk dokumentasi keseluruhan
PELAKSANAAN GAJI WAJAR
Mampukah kita melaksanakan gaji wajar?
Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Hari ini kita menggunakan kriteria paras gaji minimum iaitu sebanyak RM1,500. Tetapi apabila saya sebut RM1,500, ia sentiasa disalah erti masyarakat dan majikan atau kadang-kala majikan sengaja tidak faham bahawa gaji minimum ini bukan mandatori.
Kalau awak cakap saya RM1,500, ini minimum. Dalam keadaan paling teruk iaitu kalau tidak mampu bayar lebih sekurang-kurangnya itulah bayarannya (RM1,500).
Akan tetapi hari ini jadi fenomena pula apabila banyak majikan yang bayar pada kadar ini walhal boleh sahaja bayar RM1,600 atau RM1,800. Kalau kita tetapkan paras gaji minimum RM1,700 atau RM1,800 mereka tetap letakkan pada kadar tersebut.
Motif utama sebab mahu buat keuntungan besar. Ini situasi semasa. Pada kadar gaji seperti ini, awak pun faham tiada apa yang boleh dilakukan.
Persoalannya, bagaimana kalau seseorang yang ada TVET? Berapa pula kadar gaji untuk graduan itu apabila mahu masuk pasaran kerja berbanding yang berkelulusan SPM? Kalau mereka yang ada kelulusan TVET pun dibayar RM1,500, ini ada sesuatu yang tidak kena
Sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ada sebut untuk graduan TVET, mereka perlu diberi gaji RM3,000 supaya ada perbezaan. Kalau tidak orang akan fikir cukuplah belajar setakat SPM. Kerajaan serius untuk melaksanakan gaji progresif.
Konsep ini sama seperti mana di Singapura. Ia akan naik berdasarkan tempoh perkhidmatan, pengalaman dan pendidikan. Maknanya, gaji pekerja boleh naik tahun berikutnya dengan mengikut syarat tertentu.
Saya sudah beritahu bahagian dasar untuk membentuk satu jawatankuasa bagi melihat dan mengkaji secara terperinci tentang perkara ini.
Dalam Ogos nanti saya akan bentangkan gaji progresif pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Ini tugasan penting untuk saya dan kementerian meneliti kaedah dan formulanya. Boleh jadi pelaksanaannya nanti mengikut wilayah dan kawasan serta bukan lagi standard seperti sekarang iaitu RM1,500 untuk semua. Ini komponen yang diperlukan.
Ini memang agak kompleks tetapi lagi bagus berbanding gaji minimum yang kita lihat tidak praktikal. Mengapa saya katakan begitu?
Saya bagi contoh, katakanlah sekarang gaji minimum RM1,500 dan Chin bekerja dengan saya lima tahun. Dia bermula dengan gajin RM800. Kemudian selepas beberapa tahun gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,500. Dua hari selepas itu, ada pekerja baharu masuk dengan gaji sama dengan Chin iaitu RM1,500. Kalau saya naikkan RM1,700 gaji Chin iaitu RM200 lebih sedikit daripada pekerja baharu tadi pun, ia tidak adil. Sebabnya, pengalaman dan kepakaran.
Maka sebab itu, kita sedang merangka segala pelan dengan terperinci berhubung gaji progresif. – MINGGUAN MALAYSIA










