Gaji kurang RM3,000 selesakah hidup di Kuala Lumpur? - Utusan Malaysia

Gaji kurang RM3,000 selesakah hidup di Kuala Lumpur?

KDNK pada S2 berkembang sebanyak 2.9 peratus dan menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama 2023 kepada 4.2 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“GAJI bawah RM3,000 boleh hidup selesa di Kuala Lumpur? Boleh lagi ambil insurans perubatan dan simpan duit?” Tanya seorang kawan sambil menunjukkan kandungan TikTok seorang lelaki yang mengelar dirinya sebagai penasihat kewangan.
Pada saya, kalau bujang, mungkin bolehlah. Tetapi kalau sudah berkeluarga, ada anak-anak yang masih belajar, memang perit.
Sewa rumah bagi yang sudah berkeluarga sudah tentu melebihi RM1,000 di bandar besar. Sewa bilik pun RM400 ke atas. Selepas itu hutang pinjaman kenderaan, duit makan, belanja persekolahan anak-anak dan macam-macam lagi bil utiliti.
Macam itukah dapat hidup dengan selesa? Pada saya, itu sesak. Agaknya, penasihat kewangan ini sebenarnya hanya mahu jual insurans perubatan?
Ramai saja boleh menggelar diri mereka penasihat kewangan atau ekonomi. Kadang-kadang yang bercakap itu pun hanya pandai berteori dan berformula saja. Mereka pun tak pernah melalui kehidupan orang bergaji rendah di bandar. Bolehlah sembang macam-macam.
Apa pun, bila bercakap pasal kos sara hidup, kita tak boleh membandingkan hidup di luar bandar dengan di bandar. Di luar bandar, kebanyakannya RM3,000 sudah lebih daripada mencukupi. Apatah lagi duduk di rumah sendiri dan harga barangan serta makanan murah.
Dan kita pun jangan membandingkan pula kos sara hidup 20 atau 30 tahun dulu dengan sekarang. Mengimbau kembali kenangan tentang dulu gaji kecil tak sampai RM1,000 pun boleh hidup di Kuala Lumpur dan mengata orang muda sekarang suka merungut gaji tak cukup-cukup.
Mana hendak sama dengan duduk zaman sepotong kuih masih dijual 10 sen dan nasi lemak paling mahal pun 50 sen. Sekarang nasi lemak pun ada yang berharga RM20 ke atas.
Dulu dengan RM150 boleh menyewa sebuah bilik di Bangsar, kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur. Sekarang lebih RM1,000 untuk sebuah bilik kecil.
Kadang-kadang bila suka sangat bermain dengan nostalgia silam dan tak move on itu yang membuatkan sesuatu dasar itu susah untuk berubah. Mahu ikut cara lama dan semua orang kena melalui kesusahan yang sama.
Hakikatnya, zaman sudah berubah. Yang tak berubah kadar gaji pekerja saja yang masih di takuk lama sebab mungkin majikan masih bermentaliti di zaman purba?
Akhbar ini pun sebelum ini pernah melaporkan majikan di Malaysia disifatkan paling kedekut di Asia Tenggara dari segi bayaran upah apabila hanya membelan­jakan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk gaji.
Angka itu adalah antara yang terendah di rantau ini berban­ding Singapura (40 peratus), Indonesia (84 peratus) dan Filipina (76 peratus) di bandar-bandar utama negara berkenaan.
Persoalannya, selain menunggu formula-formula kerajaan untuk menangani harga barangan yang tinggi, apa saja menu dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan Rahmah, dan menanti pelaksanaan gaji progresif, apa perlu dilakukan untuk meredah hidup dengan gaji sistem purba ini?
Mahu tak mahu terpaksalah berjimat. Hanya kita saja boleh menolong diri sendiri. Hendak tunggu kajian demi kajian pasal gaji atau menurunkan harga barang memang lambatlah. Lepaskan dulu mana-mana yang tidak perlu. Makan di luar atau menggunakan khidmat penghantaran makanan contohnya boleh dikurangkan.
Kalau mahu bercuti bersama keluarga kena menabung dari awal. Jangan guna duit gaji yang mengheret menangguhkan pembayaran bil-bil lain dan selepas bercuti banyak pula hutang tertunggak.
Memang mengubah gaya hidup dan mengurus perbelanjaan dengan cermat adalah perit bagi kebanyakan yang bergaji rendah. Selalu yang kita dengar, baki gaji sebulan hanya tinggal RM200 atau kurang daripada itu setelah ditolak semua hutang, jadi macam mana hendak berjimat dan simpan duit?
Tetapi daripada terus merungut dan menghitung berapa hari lagi nak gaji setiap bulan, adalah lebih baik mengubah dulu gaya hidup dan mengutamakan yang perlu. Apa lagi pilihan yang ada?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya