MUKADIMAH
ADAKAH DAP ‘bumbung’ yang selamat bagi orang Melayu? Pertanyaan itu seringkali diungkap sejak penubuhan parti yang ditubuhkan pada 1966 ini.
Apatah lagi cakap-cakap mengenai DAP semakin kuat diperkatakan apabila Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, lebih banyak persoalan timbul membabitkan parti ini.
Sehubungaan itu, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) SYAHREDZAN JOHAN yang juga Ahli Parlimen Bangi bagi mendapatkan perspektif beliau.Turut membantu jurufoto, AMIR KHALID.
MINGGUAN MALAYSIA: Ramai keliru dengan pendirian DAP pasca PRU15 terutama selepas menjalinkan kerjasama dengan UMNO. Komen saudara?
SYAHREDZAN: Pendirian kita jelas. Sebagaimana kita jelaskan dan telah dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan kita jelaskan akan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Dan pada masa sama, apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, kami DAP menjunjung titah tersebut.
Sebab itulah juga, kami ketepikan perseteruan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan politik.
Justeru bagi saya tiada lagi kekeliruan tentang hala tuju atau pendirian DAP. Kami jelas meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan kami sendiri atau perseteruan sebelum ini.
Adakah saudara melihat terdapatnya pertambahan keyakinan dalam kalangan orang Melayu terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan?
Saya rasa rakyat rata-rata mahukan kestabilan. Kita sudah lihat perubahan kepada pentadbiran kerajaan yang begitu banyak dalam tempoh lima tahun dengan lima Perdana Menteri bermula daripada Datuk Seri Najib Tun Razak sehinggalah Anwar.
Dengan adanya Kerajaan Perpaduan ia dapat menjamin kestabilan politik yang akhirnya memberi kesan positif kepada negara dan rakyat.
Atas dasar itu, saya percaya sokongan bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi dengan kaum lain akan berada bersama-sama Kerajaan Perpaduan.
MELAYU SENSITIF DENGAN DAP
Orang Melayu terutama penduduk luar bandar begitu sensitif dengan DAP yang mengangkat konsep Malaysia Malaysia sebelum ini. Komen saudara?
Sudah tentu masih ada lagi kesangsian itu. Apa yang penting kesangsian itu dapat diatasi menerusi khidmat terbaik daripada Kerajaan Perpaduan.
Kalau hendak diikutkan DAP ada empat menteri dalam Kerajaan Perpaduan dan jumlah yang hendak dibandingkan dengan jumlah kerusi Parlimen yang kita menang dalam PRU15, ia tidak berkadar (setimpal).
Tetapi dengan empat menteri ini, kita mahu tunjukkan prestasi dan pencapaian di samping menepis apa yang dimomokkan kepada DAP hanyalah propaganda politik oleh musuh kami semata-mata.
Lagipun, apabila kita mendapat peluang menjadi menteri dalam Kabinet, kita tidak kisah pasal bangsa dan agama.
Sebab, yang penting kita boleh beri perkhidmatan terbaik untuk maju dan bergerak ke depan. Daripada situ, saya rasa sedikit sebanyak dapat kurangkan kesangsian dalam kalangan orang Melayu terutama masyarakat luar bandar.
Inilah peluang untuk kita buktikan bahawa kita satu parti yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan bukan jadi ancaman kepada mana-mana bangsa termasuk orang Melayu.
BOLEH BERTAHAN
Kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu kekal bertahan?
Saya yakin ia mampu kekal bertahan. Saya berada dalam backbencher Parlimen. Apa yang saya lihat hubungan antara parti yang ada amat baik. Kita tiada isu berkaitan kerjasama dan perbezaan pendapat semua kita uruskan dengan baik
Pengalaman saya sendiri tiada masalah antara PH dan BN. Saya lihat dalam Kerajaan Perpaduan ada satu sinergi melibatkan semua menteri yang ada. Tiada pergeseran atau satu permusuhan atau salah faham dalam kalangan mereka.
Ia berbeza berbanding pengalaman kami ketika kali pertama dalam kerajaan sebelum ini (semasa 22 bulan).
Semasa itu, kita ada dengar perbezaan pendapat dalam kalangan menteri yang akhirnya ‘runtuh’ PH pada masa itu.
Kali ini berbeza. Kita tidak dengar isu-isu seperti itu. Saya juga yakin parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan memang mahukan kestabilan politik dan atas dasar itu saya yakin ia kekal
MAIN ISU AGAMA DAN KAUM
Ada pihak melihat PN seringkali memainkan isu agama dan perkauman terutama menjelang PRN. Komen YB?
Saya setuju. Sebenarnya, kita ada barisan pembangkang yang tidak dapat tawarkan alternatif daripada segi dasar ekonomi, reformasi institusi, kewangan dan sosial. Mereka hanya bawa isu kaum dan agama sahaja.
Saya sendiri alami pengalaman ini apabila kempen PRU tahun lepas apabila PN terutama Pas memainkan isu perkauman. Semasa saya umumkan jadi calon lagi mereka kata saya ke masjid untuk sebarkan racun, walhal saya nak solat. Ia berlarutan sampai sekarang dengan penyebaran fitnah.
Ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan kita akan sampai satu peringkat mungkin boleh sebabkan ancaman ketenteraman awam. Kalau kita tidak berhati-hati, ia boleh jadi satu situasi yang mencetuskan permasalahan kaum.
Adakah DAP mampu menarik sokongan orang Melayu menjelang PRN?
Saya yakin (tarik sokongan). Buktinya, di Bangi apabila saya bertanding sebagai calon DAP. Dan ini menunjukkan kita memang ada sokongan orang Melayu secara berterusan.
Sebabnya, rakyat mahukan kestabilan tanpa mengira kaum selain keyakinan mereka terhadap Anwar sebagai pemimpin yang mampu membawa ke satu peringkat dan dikenali di persada dunia.
Faktor ketiga pula dengan melihat konteks di Selangor. Kita ada rekod baik dalam tempoh 15 tahun memimpin negeri ini. Penduduk dan rakyat di Selangor sedar perkara ini.
Bagaimana dengan konsep Malaysia Malaysia yang ditekankan DAP sebelum ini?
Dalam apa jua kenyataan atau deklarasi, semua ucapan yang dibawa pemimpin DAP apa yang jadi asas adalah bahawa kita junjung Perlembagaan Persekutuan.
Pada pandangan saya apabila hendak cakap apa-apa atau polemik, kita perlu berbalik semula kepada asas perjuangan parti itu.
Kalau kita ulangi untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan asas kenegaraan, saya tidak lihat ia membawa masalah dengan slogan yang kita bawa.
Perkara ini turut ditekankan Anthony dalam Konvensyen Perpaduan Nasional baru-baru ini bahawa DAP berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan.
Kalau DAP tidak menjunjung Perlembagaan Persekutuan, saya tidak masuk parti ini. – Mingguan Malaysia










