Caping dan araimudi

Caping dan araimudi

ORANG Melayu berketurunan Bugis di negara ini amat wajar membaca novel Sandera dan Sudara karya Arena Wati untuk lebih mengenali sejarah, identiti, budaya dan jati diri yang semakin luntur dan dilupakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali saya mengetahui tentang ‘caping’ adalah menerusi novel Sudara (1994) karya Sasterawan Negara, Datuk Arena Wati. Novel berkenaan yang baharu terbit terus dijadikan teks walaupun tidak dikaji sepenuhnya sewaktu saya mengikuti pengajian di Universiti Malaya dahulu.

Saya tertarik dengan usaha gigih watak Raja Hamidah dan Sallehudin melakukan kajian dan penyelidikan mendalam menggunakan caping itu untuk mengetahui asal usul keluarga mereka yang berketurunan Bugis.

Salah satu perkara yang amat saya suka dan kagumi tentang Arena Wati @ Muhammad Dahlan Abdul Baing adalah keberanian beliau memperkatakan secara terus-terang beza antara Melayu dan Bugis dari sudut sejarah dan budaya. Orang Melayu berketurunan Bugis di Malaysia amat wajar membaca novel Sandera (1971) dan Sudara karya Arena Wati untuk lebih mengenali sejarah, identiti, budaya dan jati diri yang semakin luntur dan dilupakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebuah lagi buku ilmiah yang seronok dibaca ialah Persepsi Orang Bugis Makassar Tentang Hukum dan Dunia Luar (1983) tulisan Andi Zainal Abidin Farid. Pasti ada banyak lagi bahan bacaan, khususnya terbitan di Indonesia yang kurang diketahui oleh kita di Malaysia.

Berbalik kepada kisah dalam novel Sudara, ibu kepada Raja Hamidah ialah Dr. Raja Hamisah. Beliau memiliki belahan separuh daripada sekeping caping yang diterima daripada moyangnya, Daya Mulli. Dikisahkan bahawa orang itu pula menerimanya daripada nenek moyangnya yang berasal dari Makassar, Sulawesi Selatan.

Perkara paling menarik perhatian saya ialah perihal objek bernama caping itu. Dalam novel Sudara, caping disebut sebagai ‘lambang kesucian wanita kerana wanita adalah sumber zuriat dan pembina tamadun bangsa.’

Saya langsung tidak pernah tahu tentang caping sebelum membaca novel berkenaan. Saya mula mencari buku dan jurnal yang mungkin boleh membantu saya menambah ilmu kerana saya percaya, caping merupakan satu objek budaya yang mewakili identiti dan sejarah sesuatu bangsa.

Salah satu buku yang berjaya ditemui ialah Caping: Modesty Disc (1983) tulisan Mohd. Kassim Haji Ali. Ternyata caping yang pernah menjadi amalan dalam kalangan orang Melayu di negara ini sudah hampir pupus dan dilupakan. Kalau mahu melihat artifak caping, perlulah ke muzium. Atau mungkin ada penggemar barangan antik yang masih menyimpannya dalam koleksi peribadi.

BANGSAWAN

Bagaimanapun, mujurlah maklumat mengenai caping didokumentasi dalam bahan arkib yang masih boleh diakses oleh sesiapa yang berminat untuk mengambil tahu tentang sejarah, budaya, amalan dan adat masyarakat silam. Hasil pembacaan membantu saya melihat pada skop yang lebih luas dan menyeluruh berkaitan asal usul caping dalam budaya Melayu di Nusantara. Rupa-rupanya, budaya pemakaian caping adalah pengaruh Indianisasi sewaktu kerajaan Hindu-Buddha seperti Srivijaya dan Majapahit berkuasa di rantau ini dahulu.

Caping sebenarnya budaya dan amalan dalam kalangan orang Tamil di Tamil Nadu, India pada zaman dahulu. Istilah dalam bahasa Tamil ialah araimudi iaitu gabungan kata arai (alat sulit) dan mudi (penutup).

Dalam budaya Tamil (India), araimudi dipakai oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan manakala dalam budaya Melayu, caping hanya dipakai oleh kanak-kanak perempuan.

Caping merupakan kepingan logam yang dibuat menyerupai daun pohon ara, jantung atau daun sirih. Lazimnya diperbuat daripada emas atau perak jika dipakaikan pada kanak-kanak golongan diraja dan bangsawan. Di India, ada pula araimudi diperbuat daripada tembaga, kulit kerang dan tempurung kelapa jika melibatkan keluarga pedagang, petani dan nelayan.

Dalam konteks Malaysia, caping yang diperbuat daripada logam juga disebut selaka iaitu istilah bahasa Jawa bagi logam perak. Caping juga disebut capelin dalam bahasa Jawa tetapi kini lebih merujuk kepada tudung kepala yang tirus dan diperbuat daripada buluh dianyam.

Perubahan makna yang berlaku juga menyebabkan kita semakin tidak mengetahui kewujudan caping. Tambahan pula dalam konteks semasa, istilah ‘caping’ digunakan apabila merujuk objek yang dijadikan pelapik pada buku lali semasa bersukan seperti sepak raga.

Hasil pembacaan pelbagai buku dan artikel jurmal, saya mendapat maklumat bahawa caping sebagai alat perhiasan bagi menutup bahagian anggota sulit kanak-kanak perempuan dalam kalangan orang Melayu mula berkurangan sejak kedatangan Islam. Namun begitu, didapati pemakaian caping masih diamalkan kelompok tertentu sehingga awal 1900-an.

Selain daripada amalan di tempat asal iaitu India, caping atau araimudi turut mendapat tempat di Ceylon (Sri Lanka). Masyarakat Moor yang berdarah Arab tetapi mengamalkan bahasa dan budaya Tamil didapati masih mengamalkan pemakaian caping bagi kanak-kanak perempuan sehingga 1960-an.

Dalam kalangan orang India, semua upacara dianggap penting dan diraikan secara besar-besaran. Begitulah juga dengan upacara memakaikan araimudi bagi bayi perempuan. Adat dan upacara itu didapati menyerap masuk ke dalam budaya orang Melayu di negara kita pada masa dahulu. Misalnya, upacara mengikat araimudi pada pinggang anak perempuan bagi menutup bahagian alat sulit tidak lengkap tanpa persembahan sajian seperti tiga ulas nangka, tiga jenis buah-buahan tempatan, tiga genggam garam dan tiga sisir pisang dari spesies berbeza seperti pisang raja, pisang nangka dan pisang tanduk.

Sebagaimana dinyatakan tadi, dalam budaya orang Tamil di India, araimudi dipakaikan pada kanak-kanak perempuan dan lelaki. Corak yang diukir adalah berbeza mengikut jantina, status sosial dan bahan digunakan.

Caping di Kepulauan Melayu pula menggunakan motif ukiran setempat.

Malah, didapati hanya kanak-kanak perempuan dipakaikan caping. Tradisi ini juga boleh dikatakan sudah pupus sepenuhnya.

Namun begitu, sebagaimana dalam novel Sudara, caping dan araimudi boleh membantu kita mengkaji dan mengenali ketinggian budaya dan susur galur keturunan nenek moyang. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini