KEHILANGAN pengundi sehingga 3.2 juta oleh Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu wajar dijadikan kayu ukur kepada pengaruh tokoh yang hendak dijadikan sandaran oleh Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti. Sudah pasti mereka adalah bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dianggap sebagai ‘panglima perang’ PN untuk menawan negeri itu.
Kedua-dua sosok itu sebelum ini pernah menganggotai Kabinet dalam pelbagai portfolio dan bertanding dalam siri PRU termasuk di Selangor. Noh sebelum ini bertanding di Tanjong Karang dalam enam penggal sejak 1995 hingga 2018 dan memenangi kesemua pertandingan.
Sementara Khairy Jamaluddin atau KJ mula memasuki gelanggang pada 2008 dan menyertai empat siri PRU selepas itu, iaitu tiga tanpa kalah di Rembau, Negeri Sembilan dan satu di Sungai Buloh, Selangor pada 2022, namun tewas.
Noh dan Khairy yang ‘dipuja’ PN dan cuba diletakkan oleh parti itu dalam barisan panglima perang mereka bersama bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Malah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, baru-baru ini optimis dengan menyatakan kedua-dua figura itu akan menyertai PN sama ada melalui Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang boleh memberi impak positif kepada gabungannya.
Bagaimanapun, tanggapan Ketua Majlis Syura Ulama Pas itu yang cuba disamakan dengan penyertaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama PN pada PRU lalu sehingga memberikan kemenangan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis adalah tidak tepat. Jika dinilai dari sudut prestasi, Perlis sebelum ini sememangnya kubu kuat UMNO dan pengaruh
Shahidan di negeri itu tidak dinafikan oleh penyokongnya di peringkat akar umbi.
Namun, situasi yang ada pada Noh dan Khairy pula adalah sebaliknya. Noh yang dikatakan sebagai pemimpin berpengaruh di Selangor gagal memastikan kemenangan BN atau sekurang-kurangnya menurunkan jumlah kerusi Pakatan Harapan (PH) sejak parti itu menawan negeri berkenaan pada 2008. Jika dilihat dari sudut prestasi individu, Noh berdepan isu peratusan merudum sokongan selepas beliau bertanding di Tanjong Karang bermula 1995 apabila jumlah dan peratusan undi tertinggi hanya dicatatkan pada pertandingan kali pertamanya, iaitu 20,962 undi (76.48 peratus) dengan 15,818 majoriti.
Kemudian dalam siri PRU seterusnya, sokongan terhadapnya terus menurun pada 1999 (2,075 undi majoriti), 2004 (9,008), 2008 (3,820), 2013 (4,394) dan 2018 (1,970). Noh sebelum dipecat daripada parti pernah memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Selangor sebanyak dua kali, iaitu 2014 hingga 2018 dan 2020 hingga 2022.
Situasi lebih kurang sama juga dialami bekas Menteri Kesihatan, Khairy, walaupun menang di Rembau sebanyak tiga kali dengan peningkatan undi sebanyak dua kali, namun penurunan ketara terhadap peratusan sokongannya jelas pada kali terakhir bertanding di sana. Pada 2008, Khairy memperoleh 26,525 undi atau 55.47 peratus majoriti sebanyak 5,746 dan angka tersebut mencatatkan peningkatan pada PRU seterusnya, iaitu 43,053 undi, 63.01 peratus dan 18,357 majoriti.
Namun, pada PRU14, sokongan terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO itu merosot ketara kepada 36,096 undi atau 48.87 peratus sokongan dengan 4,368 majoriti. Ketika bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15, gambaran awal kemeriahan sokongan terhadap kempennya lari daripada hakikat sebenar apabila tewas kepada Datuk R. Ramanan (PH) dengan 48,250 undi (30.5 peratus).
Bagaimanapun, tanggapan PN terhadap mereka sebagai ‘ayam tambatan’ bagi meraih sokongan tidak salah, namun tiada jaminan untuk memastikan kemenangan parti itu di Selangor dalam PRN yang dijangka berlangsung Julai ini.
Untuk rekod, pada PRU13, BN memperoleh 693,650 undi di peringkat DUN dan 685,502 undi bagi Parlimen. Pada PRU14, angka tersebut menurun kepada 493,826 dan 435,941 undi. Namun, pada PRU15, undi terhadap BN meningkat kepada 509,862 undi, tetapi tewas di kesemua 22 Parlimen dan hanya menang di DUN Permatang dan Paya Jaras by default. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.











