APAKAH ia boleh dianggap sebagai jenaka dan seloroh daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkait kenyataan Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana menurut hujahnya, tidak wujud sempadan rasmi di antara kedua-dua negeri jiran tersebut masih menjadi tanda tanya.
Sukar juga untuk dikatakan sebagai jenaka kerana kenyataan tersebut dikeluarkan ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah-Perlis di Wisma Darul Aman, beberapa hari lalu. Keadaan menjadi lebih ironis kerana turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Mohammad Zaki Mohd. Ghazali. Jupem adalah agensi kerajaan yang bertanggung jawab dalam hal penentuan sempadan sebesar antara negeri hinggalah sekecil-kecil lot tanah individu.
Malah mengguna pakai hujah Muhammad Sanusi, maka tidak keterlaluan jika Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa pula Kedah sebenarnya milik Pulau Pinang. Mungkin jua ada yang menganggap isu ini remeh dan tidak perlu diperbesarkan kerana semua sudah sedia maklum, Muhammad Sanusi sememangnya suka berlawak dan memperli.
Mungkin jua Ketua Pengarah Jupem boleh mengeluarkan kenyataan sama ada wujud atau sebaliknya sempadan di antara dua negeri jiran ini kerana ia tidak lebih daripada isu teknikal. Tetapi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengeluarkan kenyataan balas, maka ia sudah menjurus kepada isu politik.
Tetapi hakikatnya, apa jua isu berkait sempadan atau kewujudan sesebuah negeri walaupun melibatkan negara sama, kedaulatan sesebuah negeri bagaikan sudah tercabar kerana kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dipersoal oleh kerajaan sebuah negeri lain.
Apabila Perdana Menteri menegur Menteri Besar Kedah menggunakan hujah perlembagaan, ia berkait dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dimeterai di London pada 8 Februari 1956 mengesahkan Pulau Pinang adalah salah satu negeri yang membentuk negara bernama Tanah Melayu atau Malaya bersama-sama 10 negeri lain.
Berkait juga dalam hal perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu ialah kes 12 rakyat Malaysia dari Sarawak yang mengemukakan saman sivil memohon mengisytiharkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai terbatal dan tidak sah. MA63 yang ditandatangani pada 31 Julai 1963 di London mengiktiraf Tanah Melayu (yang terdiri daripada 11 negeri), Sarawak, Sabah (Borneo Utara ketika itu) dan Singapura membentuk sebuah negara dinamakan Malaysia.
Walaupun saman sivil itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuching tetapi alasan hujah penolakan itu amat berkait rapat dengan isu perlembagaan seperti ditekankan oleh Perdana Menteri. Hakim berpendapat, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini menetapkan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian Malaysia dan kedua-dua negeri tidak boleh terhenti daripada menjadi sebahagian daripada persekutuan tanpa pindaan diperlukan dalam perlembagaan.
HAWAII
Hakim juga berpendapat, plaintif tidak mempunyai locus standi, iaitu hak untuk mengemukakan saman kerana hanya kerajaan negeri yang mempunyai hak dalam hal ini. Sebab itu dihujahkan juga kenyataan Menteri Besar Kedah itu tidak boleh dianggap sebagai jenaka kerana beliau mewakili kerajaan negeri dan setiap kenyataan daripadanya boleh dianggap sebagai dasar pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam hal perlembagaan, menarik juga diambil contoh pembentukan Amerika Syarikat (AS) yang berlaku secara berperingkat. Bermula dengan 13 negeri yang isytihar bebas daripada jajahan British pada 1787 dan negeri terakhir menyertai AS,
Hawaii pada 1959, perlembagaan AS dengan jelas memperuntukkan negara itu terdiri daripada 50 negeri. Masalah persempadanan sememangnya wujud terutama sekali di antara 13 negeri asal yang membentuk AS. Umpamanya, masalah sempadan New Jersey dengan Delaware diselesaikan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2008.
Selain penyelesaian dari sudut perundangan, penyelesaian politik juga sering dilaksanakan, iaitu melalui keputusan Kongres ataupun cara lebih mudah, persetujuan secara bersama negeri-negeri bertelingkah. Iktibarnya, penyelesaian isu sempadan antara negeri sebenarnya boleh diselesaikan dengan pelbagai kaedah mengikut situasi tertentu.
Malaysia sebenarnya mempunyai sistem penentuan sempadan antara negeri atau daerah hinggalah kepada sempadan lot tanah lebih kecil yang agak menyeluruh dan boleh dipercayai. Agensi bertanggungjawab dalam hal penentuan sempadan dan penyimpanan rekod ukur sempadan ialah Jupem.
Jika sempadan antara negara jiran kita seperti Thailand, Brunei, Indonesia dan Singapura walaupun dalam keadaan mencabar secara fizikal, teknikal atau politik dapat diurus dengan baik oleh Jupem, maka agak pasti isu sempadan Kedah dan Pulau Pinang sepatutnya bukan masalah besar.
Cumanya isu sempadan menjadi polemik apabila ia menjadi isu politik atau digunakan sebagai senjata politik. Tidak kira sama ada isu sempadan dimaksudkan sebagai bahan gurauan, leteran atau kempen politik, sepatutnya tidak berlaku kerana sempadan ini berkait dengan sensitiviti setempat dan menjadi lebih tidak elok bila ia dipolitikkan. – UTUSAN
Penulis ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).











