Program Literasi Pertahanan tingkatkesedaran mengenai pertahanan negara

Program Literasi Pertahanan tingkat kesedaran mengenai pertahanan negara

MOHAMED Khaled Nordin menyempurnakan gimik pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Program Literasi Pertahanan Nasional yang diperkenalkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjadi antara inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran
dan kefahaman masyarakat mengenai peranan mereka dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program berkenaan penting bagi mengubah persepsi bahawa tanggungjawab mempertahankan negara hanya terletak pada pasukan keselamatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut beliau, bentuk ancaman terhadap negara kini semakin berubah dan tidak lagi hanya melibatkan ancaman ketenteraan secara konvensional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertahanan hari ini sudah sangat berbeza. Ancaman yang kita hadapi pula sentiasa berubah. Jadi, kita juga mesti mengubah pemahaman tersebut.

“Paling penting, kita mesti sedar bahawa tanggungjawab memelihara kedaulatan negara tidak lagi boleh dikhususkan kepada pasukan pertahanan atau angkatan tentera secara
bersendirian.

“Pertahanan dan kedaulatan negara sudah dan mesti menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua SetiausahaKementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Laksamana Madya Datuk Yusne Mokhtar; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Awang Ashaari dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut berkata literasi pertahanan perlu dilihat sebagainsatu kesedaran, ilmu dan kemahiran yang perlu dimiliki setiap warganegara, selain
menjadi nilai bersama dalam usaha memperkukuh ketahanan negara.

Katanya, masyarakat perlu memahami bagaimana pertahanan negara berkait dengan kehidupan seharian, termasuk kesan aktiviti mereka terhadap keselamatan negara serta cara mereka boleh menyumbang kepada usaha berkenaan.

“Program Literasi Pertahanan yang kita lancarkan pada hari ini bukan sekadar sebuah program rasmi Kementerian Pertahanan dan ATM semata-mata.

“Ia sebetulnya adalah satu anjakan minda, satu panggilan kesedaran bahawa pertahanan negara bukanlah milik eksklusif warga beruniform sahaja,” katanya.

Beliau berkata, antara peranan masyarakat termasuk mengambil peduli isu pertahanan, memahami rasional dasar kerajaan, mengelakkan penyebaran fitnah atau kandungan yang boleh mencetuskan kepanikan serta tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan provokasi.

Menurutnya, ancaman terhadap kedaulatan juga boleh berlaku melalui ruang digital termasuk komputer riba, telefon bimbit, platform digital dan media sosial sekiranya digunakan secara tidak matang atau tidak berhati-hati.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Sabah dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan Program Literasi Pertahanan Nasional sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Kita memilih negeri Sabah sebagai lokasi pertama pelaksanaan dan tempat meluncurkan program ini. Insya-Allah, selepas ini ia akan dianjurkan di seluruh negeri di dalam negara.

“Sebelum ini, program seumpama ini di peringkat komuniti memang belum pernah diadakan,” katanya dalam sidang media selepas program berkenaan.

Beliau berkata, pemilihan Sabah mengambil kira kedudukan negeri itu yang bersempadan dengan dua negara jiran serta terdedah kepada cabaran keselamatan di Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Katanya, selain peranan ATM dalam memastikan pertahanan dan kedaulatan negara, ketahanan masyarakat turut perlu diperkukuh bagi mewujudkan daya rintang pertahanan yang kredibel.

“Apabila rakyat mempunyai daya tahan yang tinggi di samping peranan optimum yang dimainkan oleh angkatan tentera, negara kita akan mampu mewujudkan daya rintang yang kredibel (credible deterrence).

“Usaha ini perlu diteruskan secara berterusan,” katanya.

Program Literasi Pertahanan Nasional itu diterajui Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Program berkenaan turut disertai hampir 700 peserta terdiri daripada kakitangan awam kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan, pelajar dan pendidik institusi pendidikan, anggota tentera serta veteran ATM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×