T20 pun tonton siaran TV percuma

T20 pun tonton siaran TV percuma

Berdasarkan data dipamerkan SKMM, purata setiap bulan hampir 10,000 pelanggan di seluruh negara menamatkan perkhidmatan siaran televisyen berbayar sepanjang tahun lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali pulang dari tugasan liputan di Putrajaya, saya lazim memandu kereta mengikut jalan ‘tikus’ dan bebas tol terus ke rumah sewa berdekatan pekan Bangi Lama. Perjalanan santai dengan suasana kampung, namun apa yang saya tertarik ialah melihat banyak bumbung rumah penduduk di situ dipasang cakera parabola televisyen (TV) satelit.

Dari bentuk luar kediaman itu, kita boleh anggar yang penghuninya tentu bukan golongan ‘kayangan’ sama ada T20 atau M40 kerana tampak tipikal gaya marhaen kelompok B40. Ironinya, piring parabola di bumbung bangunan itu bukan tertera logo sebuah operator siaran TV satelit berbayar terkenal tempatan tetapi yang terpapar ialah lambang MYTV.

Mesti ramai pelik dan akan bertanya, bila masa pula penyedia prasarana TV terestrial digital (DTT) secara percuma itu boleh menawarkan siaran satelit terus ke rumah (DTH)? Bukankah lebih 6.4 juta isi rumah di Malaysia yang menonton TV tanpa kena bayar langganan bil itu wajib pasang dekoder dan antena jenis tetulang ikan atau telinga arnab?

Sangkaan itu salah dan kebetulan saya ada menyertai beberapa forum sembang sosial berkaitan hal ehwal penyiaran tanah air, dimaklumkan yang MYTV ada siaran DTH tersendiri. Bezanya, pengguna kenalah memasang dekoder jenis penyiaran video digital (DVB) satelit generasi kedua (S2) dan bukannya peranti DVB model terestrial generasi kedua (T2).

Saya difahamkan daripada rakan maya bahawa fenomena itu bukan baharu tetapi sudah jadi universal. Malah jangan terkejut yang T20 dan M40 sudah mula beralih kepada cara ini. Tidak hairanlah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada awal bulan ini melaporkan jumlah pelanggan siaran berbayar di negara kita merosot teruk setiap bulan.

Isu itu turut dipersetujui oleh pakar geostrategis terkenal tanah air, Dr. Azmi Hassan yang mengakui rakyat tidak lagi teruja melanggan perkhidmatan TV satelit atau kabel berbayar.

“Kita tidak pelik jika golongan berpendapatan rendah atau B40 sudah tidak langgan siaran TV berbayar tetapi kini trend itu ‘menjangkiti’ juga M40 dan T20,” katanya ketika dihubungi.

Bahkan, beliau menjangkakan Malaysia akan mengikut jejak negara-negara maju apabila cuma premis kedutaan asing masih lagi ‘setia’ melanggan perkhidmatan berbayar bulanan.

Berdasarkan data dipamerkan SKMM itu, purata setiap bulan hampir 10,000 pelanggan di seluruh Malaysia bertindak menamatkan siaran berbayar tersebut sepanjang tahun lepas. Terdapat dua operator perkhidmatan berkenaan, antaranya Astro yang ditubuhkan pada 1996 dan memerlukan cakera parabola bagi menerima isyarat TV secara satelit. Syarikat tersebut menyediakan hampir 100 saluran tempatan dan antarabangsa, namun pelanggan perlu membayar lebih untuk pakej premium tertentu yang ditawarkan eksklusif.

Sementara Unifi TV yang dikendalikan secara kabel internet oleh Telekom Malaysia sejak 2010 pula mengandungi puluhan saluran dengan bil daripada serendah RM30 sebulan.

SENYAP

Tambah Azmi, senario kemerosotan itu bukan sahaja di negara ini, malahan di seluruh dunia pun ramai menghentikan langganan ketika era permulaan wabak Covid-19 pada 2020. Sebahagian besar pelanggan sedia ada khabarnya ‘menyesal’ dengan perkhidmatan siaran berbayar itu.

“Bayangkanlah, sebelum ini ada ura-ura satu syarikat yang mahu lancar siaran TV satelit berbayar baharu tetapi sampai sekarang ‘senyap’ kerana trend pasaran negatif,” jelasnya.

Bahkan ujar beliau, sebelum pandemik bermula pun, ada sebuah operator TV kabel terpaksa menutup ‘kedai’ dek tidak mampu bersaing walhal caj bilnya jauh lebih murah.

Situasi sekarang amat berbeza berbanding lima tahun lalu apabila warga B40 turut memiliki alternatif menerusi dekoder jenis T2 yang menawarkan banyak saluran domestik percuma.

Justeru katanya, jutaan isi rumah merebut peluang beralih menggunakan MYTV selepas projek pendigitalan penyiaran nasional itu dilancarkan oleh kerajaan pada 2017 lalu. Paling menarik, pengguna dekoder MYTV jenis S2 yang menerima isyarat DTH melalui satelit meraih ‘bonus’ dengan puluhan saluran secara percuma dari negara jiran serantau.

Jika trend sedemikian berterusan, sektor penyiaran negara akan berbalik seperti stail dekad 1990-an apabila hanya orang yang betul-betul kaya melanggan TV dengan bil bulanan. Perkara ini bukanlah mustahil malah semasa pulang ke kampung halaman di Johor, saya boleh congak 99.9 peratus rumah saudara dan rakan langsung tiada pun siaran berbayar.

Penduduk negeri selatan tanah air itu dianggap bertuah kerana ‘mewah’ dengan menerima hampir 30 saluran Indonesia manakala enam lagi dari Singapura selain 17 saluran TV tempatan. Begitu juga mereka yang tinggal di empat negeri di utara Semenanjung bersempadan dengan Thailand apabila meriah menikmati lebih 20 saluran negara jiran dalam pelbagai tema.

Mereka sudah lama tidak hairan pun dengan puluhan saluran luar negara waima dianggap ‘internasional’ jauh lebih awal berbanding warga Lembah Klang dalam bab televisyen.

“Keadaan sekarang ‘terbalik’ dengan ramai M40 dan T20 teruja tidak perlu pening kena bil setiap bulan sebab ada alternatif dapat tonton TV tanpa bayar apa-apa pun,” kata Azmi.

Terima kasih atas peralihan format daripada analog kepada digital yang membolehkan siaran percuma dapat dipancarkan dengan lebih banyak saluran dan standard kualiti terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN