MELAYU telah lama dianggap sebagai bangsa teras di negara ini. Ia adalah fakta berdasarkan sejarah dan warisan sosiobudaya serta sosiopolitik. Justeru, di dalam perlembagaan kita ada dimasukkan atau dimaktubkan elemen warisan yang mengangkat kedudukan orang Melayu, Islam, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai fasal-fasal penting.
Namun, apa yang berlaku sejak sedekad lalu, setelah berlaku perubahan politik dan pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri, hal-hal berkaitan kemelayuan termasuk hak-hak istimewa orang Melayu tidak lagi menonjol atau diberikan tumpuan sewajarnya. Malah, dalam belanjawan tahunan juga didapati peruntukan berkaitan agenda Melayu dan bumiputera dalam sektor-sektor tertentu semakin kabur dan mengecil.
Hakikatnya, hal-hal kemelayuan ini tidak begitu dikisahkan atau dipedulikan lagi. Ini termasuk budaya, bahasa, warisan dan seni Melayu yang tidak lagi menampakkan kesungguhan kerajaan mempertahan dan memperkukuhkannya. Hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam perlembagaan seolah-olah sudah mencair melalui dasar-dasar yang semakin kabur dan liberal.
Perkara-perkara berkait hal ehwal Melayu seolah-olah sengaja dibiarkan terhakis dan mencair bersama perubahan politik yang cenderung ke arah kesamarataan dan liberalisasi. Negara ini seolah-olah tidak bertuan dan tidak perlu lagi agenda untuk Melayu dipertahankan.
Pemimpin-pemimpin politik Melayu yang sepatutnya memelihara dan mempertahan segala berkaitan hal-hal kemelayuan semakin melupakan amanah mulia ini. Politik tidak lagi digunakan atau dimanfaatkan untuk kepentingan bangsa dan agama.
Justeru, hari ini semakin banyak isu berkaitan orang Melayu diabaikan menyebabkan ada pihak tertentu menganjurkan Proklamasi Orang Melayu.
Proklamasi tersebut dicetuskan atau diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan disambut dengan baik oleh Pas di mana Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menandatangani proklamasi itu. Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan beberapa pemimpin lain parti itu turut menyokong.
Soal pemimpin berkenaan mempunyai agenda politik atau tidak bergantung pada persepsi dan sikap pihak terbabit. Yang pasti, pada hemat saya, memang telah terzahir tanda-tanda sejak berlakunya perubahan politik dan pertukaran kerajaan sedekad lalu menampakkan agenda Melayu juga semakin terhakis.
Justeru, pada saya, proklamasi ini adalah usaha untuk mempertahan, memperjuang dan memikirkan masalah serta masa depan orang Melayu. Ada usaha pihak terbabit mahu menganjurkan himpunan proklamasi tersebut tetapi setakat ini belum dapat dilaksanakan.
Namun, kempen Proklamasi Orang Melayu tetap digerakkan secara dalam talian yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu. Apa pun, Melayu itu punya sejarah, punya tanah air dan punya warisan yang sangat signifikan dalam ketamadunan negara ini, malah dalam wilayah Nusantara sendiri.
RENTAK
Justeru, mengapa kita perlu alpa dan lupa semua ini? Kita kehilangan jati diri disebabkan sengketa dan permainan politik kebencian yang memecah-belahkan kita. Kealpaan dan kelemahan ini menyebabkan golongan anti-Melayu Islam semakin berani mempertikaikan soal-soal berkaitan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera sehinggakan sejarah orang Melayu di negara ini turut dipertikaikan dan dipersoalkan.
Tidak keterlaluan jika saya katakan, orang Melayu dicabar dengan keras oleh mereka yang mempunyai agenda untuk melumpuhkan kedudukan Melayu-Islam. Pemimpin-pemimpin Melayu harus ingat, kita bernegara dan berpolitik bukan semata-mata untuk memajukan negara dan ekonomi tetapi juga memelihara dan menjaga amanah bangsa dan agama.
Amanah memelihara bangsa dan agama juga adalah wajib kerana jika bangsa kehilangan tanah leluhurnya, maka bagaimana mahu ditegakkan syiar, syariat dan kedaulatan Islam? Atau kita lebih rela bangsa dan agama kita dikawal lebih ketat melalui pentadbiran yang menekan daripada kaum lain yang berkuasa?
Bila kuasa bangsa Melayu semakin lemah maka kita terpaksa mengikut rentak orang lain yang mencaturkannya. Bukan sahaja pengguasan ekonomi dan politik dilemahkan tetapi polisi bahasa dan pendidikan juga akan berubah mengikut acuan dan kehendak mereka.
Sebab itu hari ini sekolah-sekolah Cina swasta mula dilayan dan diberikan peruntukan sedangkan sistem pendidikan vernakular ini langsung tidak menepati akta pendidikan nasional.
Sesetengah orang Melayu masih terbuai dengan kata-kata, “Tidak Melayu hilang di dunia.” Kata-kata keramat ini dianggap orang Melayu adalah kata-kata diucapkan oleh Laksamana Hang Tuah. Mari kita berfikir sebentar, apa maknanya kata-kata itu jika kita hanya wujud pada zahir fizikal tetapi kehidupan di bumi sendiri bagikan melukut di tepi gantang?
Hari ini, kita bukan sahaja lemah kuasa politik dan ekonomi, malah budaya kita juga bagaikan cacamarba. Tulisan Jawi sudah dimatikan secara perlahan-lahan sejak 1966. Ucapan orang Melayu sendiri pun sering bercampur aduk separuh bahasa Melayu, separuh bahasa Inggeris.
Ini berbeza dengan kaum lain yang memperkukuh bahasa, tulisan dan budaya melalui sistem pendidikan mereka. Anak-anak mereka diasuh untuk mengekalkan budaya dan bahasa ibunda. Ini terbukti apabila beberapa tahun lalu mereka menentang habis-habisan usaha kerajaan untuk memasukkan sehelai muka surat sahaja bagi tulisan khat Jawi dalam sistem pelajaran mereka.
Kesimpulannya, orang Melayu terus berdepan kemelut ekonomi, politik, bahasa, budaya dan warisan. Justeru, apa salah jika ada usaha untuk memperjuangkan Proklamasi Orang Melayu supaya sekurang-kurangnya dapat mengingatkan kembali seluruh orang Melayu terutama pemimpin- pemimpin politik daripada terus alpa untuk meneruskan dan mempertahankan agenda Melayu kerana ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negara. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










