MANTERA baharu dijaja oleh kepimpinan UMNO kepada pendukung dan ahli parti adalah memulih, memperkukuh serta mengembalikan kekuatan kepada asal bagi mempertahankan semangat serta perjuangan sebagai sebuah parti keramat untuk orang Melayu. Mampukah kepemimpinan sekarang mengembalikan UMNO di zaman kemuncaknya dengan masalah dalaman yang kian bertimbun tambah? Antaranya perpecahan yang sedang berlaku kesan daripada penyingkiran dan penggantungan tokoh-tokoh besar di dalam parti.
Jelas apa yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak Hussein berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Presiden UMNO sekarang. Abdul Razak membentuk pakatan baharu ketika UMNO serta Perikatan masih kuat. UMNO yang memimpin Barisan Nasional (BN), bukan sebaliknya. Begitu juga kerajaan dipimpin Abdul Razak bukan daripada kepimpinan komponen parti lain dalam BN.
Kini UMNO telah turun pangkat dan jatuh darjatnya. Dari sebuah parti yang memimpin kepada sebuah parti pengikut. Sampai bila UMNO akan berada di taraf pengikut? Adakah jalan keluar yang boleh ditunjukkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden? Bersediakah pendukung dan ahli UMNO menjunjung taraf sebagai pengikut sedangkan sebelum ini sebagai ketua?
Apakah UMNO sepertimana pendapat Ibn Khaldun tentang sebuah kerajaan, melalui proses lahir, kanak-kanak, mendewasa, tua dan mati? Kini, UMNO terlibat dalam membentuk kerajaan perpaduan, kemudian pengaruhnya semakin menirus yang akhirnya turut menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) sepertimana Parti Amanah Negara (Amanah).
Adakah perhimpunan parti-parti dalam kerajaan perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, kubu UMNO itu daripada kehendak rakan-rakannya? Atau sememangnya atas kehendak UMNO sendiri, sebagai petanda UMNO sudah tunduk dan menyembah kalah kepada PKR dan DAP? Menjemput DAP yang selama ini menjadi musuh tradisi. Apakah makna ucapan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, “Lawan sehingga menjadi kawan”? Maksud tersirat adalah menyatakan UMNO telah kalah serta menyerah kepada DAP kerana jumlah kerusi UMNO jauh lebih kecil daripada DAP? Atau sebagai menunjukkan UMNO sudah mengalah dan diajar menyerah, if you can’t beat them, join them? Begitukah maksud tersirat?
Cungkillah yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Terdapat suara-suara dalam kalangan akar umbi UMNO yang tidak selesa mendengar kepimpinan DAP memasuki Dewan Merdeka, WTC. Tidak boleh marahkan mereka kerana enam dekad ahli UMNO dan rakyat diajar memusuhi serta menolak DAP. Baru lima bulan UMNO di dalam kerajaan, sudah menjemput DAP ke Dewan Merdeka. Kemudian ahli-ahli UMNO mendengar tempikan ‘reformasi’ oleh ahli dan pendukung PKR. Selama ini perkataan itu menjadi alergik kepada ahli UMNO.
Meminjam kaedah Abdul Razak menjemput musuh politik dari pelbagai ideologi kepada UMNO itu suatu kebijaksanaan. Mengikat musuh-musuh menjadi kawan hasil kepintaran, suatu yang baik. Membentuk kekuatan bersama lawan lagi seteru bagi menggempur musuh bersama sepertimana berlaku semasa Perang Dunia Kedua terhasil daripada pemikiran di luar kotak itu suatu yang luar biasa. Soalnya, adakah tepat bagi UMNO menjemput DAP dan PKR, musuh politiknya ketika UMNO begitu lemah dan hanya ‘menumpang’ meminjam bahasa Timbalan Presiden UMNO di dalam kerajaan perpaduan?
UMNO perlu menawan DAP dan PKR ketika UMNO gagah perkasa, bukan sekarang. Sepatutnya kedua-dua parti tersebut diheret ke WTC ketika UMNO berkuasa dan Presidennya menjadi Perdana Menteri. Ketika itu, barulah UMNO yang menentukan wajah perhimpunan, UMNO yang menggariskan hala tuju perjuangan serta gerak kerjanya.
GAMBAR PRESIDEN UMNO
Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menimbulkan apa yang diperkatakan oleh ahli UMNO bahawa gambar Presiden UMNO sebelum ini ‘dihilangkan.’ Persoalan ditimbulkan ahli UMNO, apakah itu sebagai petanda menjaga hati Lim Kit Siang serta gerombolannya?
Adakah Kit Siang masih bersikap sepertimana kepemimpinan DAP semasa berkempen pilihan raya umum (PRU) 1969? Beliau adalah generasi awal DAP sezaman dengan Goh Hock Guan, Chen Man Hin, Fan Yew Teng, Devan Nair dan lain-lain.
Apakah beliau memasuki WTC dan Dewan Merdeka membawa semangat di era Goh Hock Guan, Chen Man Hin serta gerombolan mereka semasa menghadapi PRU 1969?
Difahamkan, selepas usai acara tersebut, Jalur Gemilang bertaburan di luar dan di dalam dewan, seolah-olah bendera itu tidak punya nilai kepada negara. Mengapa terjadi begini kepada perhimpunan melibatkan kerajaan madani? Apakah perkara biasa kepada majlis-majlis anjuran DAP dan PKR, selepas mengibarkan Jalur Gemilang, maka bendera itu akan dibuang serta dibiarkan bertaburan?
Terdapat sungutan daripada ahli UMNO terhadap apa yang berlaku. Suatu senario yang tidak pernah terjadi pada acara UMNO di Dewan Merdeka. Jadi, apakah kejadian itu membawa maksud kubu atau markas UMNO sudah ditawan dan suatu budaya baharu diperkenalkan kepada anggota UMNO? Maka itu, UMNO perlu menerima apa sahaja didatangkan oleh PH yang jauh lebih kuat lagi perkasa?
Meminjam perkataan Timbalan Presiden bahawa UMNO hanya menumpang di dalam kerajaan perpaduan, beliau mengingatkan sekiranya kesemua ahli Parlimen BN seramai 30 orang menarik diri, kerajaan perpaduan tidak akan jatuh. Natijah daripada peringatan beliau ialah ahli UMNO kena menerima apa sahaja ditentukan oleh parti yang mendominasi kerajaan iaitu PH. Bermakna UMNO hanya boleh menadah dan terima apa sahaja yang ditentukan oleh ‘abang besar’ dalam kerajaan perpaduan.
Apakah amalan ini akan terjadi semasa pembahagian kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada Julai atau Ogos nanti? Bolehkah UMNO menuntut dikembalikan jumlah kerusi yang pernah ditandinginya semasa PRU14 lepas?
Sekiranya UMNO diberikan bertanding hanya di kerusi yang dimenanginya pada PRU14 semata-mata manakala PKR, DAP, Amanah kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi pada PRU14, maka itu kerusi yang dimenangi oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa PRU14, dibahagi berdasarkan peluang kemenangan. Maka sudah tentu UMNO kehilangan peluang untuk kembali meraih kekuatannya yang telah pudar lagi malap. Apakah UMNO boleh bertanding di lima kerusi dimiliknya sekarang dan mempunyai peluang bertanding di lima kerusi yang berada di tangan Perikatan Nasional (PN)? Beginikah nasib UMNO Selangor nanti? Masa akan menentukannya. Kiranya terjadi begitu, benarlah kata-kata Timbalan Presiden bahawa UMNO hanya menumpang. Sedar-sedarlah diri. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis politik.











