KAUM Cina didapati mengekalkan kebanyakan warisan budaya tradisional mereka setelah menetap lebih dari satu abad di negara ini. Antara paling ketara ialah soal pemakanan. Sebahagian besar tabiat makan orang Cina diwarisi dari tempat asal nenek moyang mereka di China. Yang lain pula bergabung dengan budaya tempatan.
Saya melanjutkan pelajaran ke Taiwan ketika berusia 19 tahun. Saya tinggal di sana selama lima tahun. Walaupun Taiwan didiami masyarakat Cina dan penduduk utamanya terdiri daripada etnik Minnan (salah satu puak Hokkien), rasa makanan Taiwan mempunyai perbezaan agak ketara berbanding makanan Cina di Malaysia. Makanan Taiwan didapati kekurangan unsur-unsur nanyang (bermaksud Asia Tenggara) seperti kari, sambal dan cili sebagai penambah rasa pedas.
Pada 2000, saya dihantar oleh majikan untuk bekerja di Suzhou, China. Kemudian saya meneruskan pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Xiamen. Sepanjang berada di China, saya berpeluang menghayati dan membandingkan secara dekat kepelbagaian budaya dan adat resam tempatan.
Masakan Cina Malaysia secara amnya dikategorikan mengikut kumpulan dialek, yakni Hokkien, Fuzhou, Guangdong, Teochew, Hakka, Putian dan sebagainya. Setiap puak dialek mempunyai hidangan istimewa yang diwarisi dari tempat asal mereka di China.
Lazimnya, cara masakan sesuatu puak berkait rapat dengan keadaan hidup di wilayah masing-masing. Sebagai contoh, orang Putian (Heng Hua) mendiami kawasan berdekatan laut, maka mereka mudah untuk mendapatkan hasil makanan laut.
Justeru, orang Putian sering menggunakan makanan laut untuk menambah kemanisan dan kesedapan masakan mereka.
Puak Hokkien di kawasan pedalaman seperti wilayah Fujian pula biasanya bertani untuk meneruskan kehidupan. Kerja harian mereka memang memerlukan banyak kekuatan fizikal. Oleh itu, mereka perlu mengambil makanan berkarbohidrat seperti nasi.
Selain itu, orang Hokkien suka menambah banyak minyak masak dan kicap pekat dalam masakan agar dapat membangkitkan selera menjelang cuaca panas. Lama-kelamaan, gaya memasak ini menjadi ciri keistimewaan masakan Hokkien.
Namun, selepas beberapa generasi hidup bersama bangsa lain di Tanah Melayu, budaya pemakanan kaum Cina menyaksikan penyesuaian dan asimilasi. Budaya pemakanan orang Cina Malaysia kini terpengaruh dengan elemen-elemen Barat,
Melayu, India dan sebagainya. Misalnya, roti canai dan teh tarik menjadi makanan kegemaran ramai di seluruh negara. Selain itu, kopi dan roti bakar Hainan juga disambut baik oleh orang Melayu dan India. Orang Cina pula jatuh hati dengan nasi lemak dan kuih-muih Melayu.
Di Fujian, terdapat sebuah ladang orang Cina terletak di daerah Yongchun. Tempat itu dihuni lebih 2,000 orang Cina dari seberang laut bersama generasi baharu mereka. Kumpulan tersebut pulang ke China dari Indonesia sekitar 1950-an setelah pergolakan politik di Indonesia.
PESTA MAKANAN
Orang Cina di ladang itu mahir membuat beberapa jenis kuih yang dibalut dengan daun pisang. Antaranya kuih lapis lemak manis, chang nyonya berwarna dua, kuih lapis legit Indonesia dan lain-lain.
Seterusnya, mereka menambahkan biji lada, serai dan santan kelapa ke dalam hidangan nasi kunyit. Bukan itu sahaja, mereka juga menghidangkan sate berserta kentang lembut dan timun segar. Kesemua makanan itu berasal dari Asia Tenggara. Itulah rasa lidah yang kita biasa kenali.
Mengikut tinjauan saya, asalkan ada pergerakan populasi dari satu tempat ke tempat lain, maka pertembungan dan adaptasi budaya pemakanan pelbagai etnik akan berlaku.
Kini, orang Cina Malaysia semakin meminati makanan kaum lain. Misalnya, mereka suka menikmati kari masakan India, khususnya kari kepala ikan dan kari kambing. Selain itu, orang Cina juga gemar mengunjungi restoran nasi daun pisang, gerai cendol dan rojak yang kebanyakannya diusahakan oleh orang India. Bahkan orang Cina menghidangkan snek kaum India seperti muruku untuk menjamu tetamu semasa Tahun Baharu Cina.
Di samping itu, cara masakan orang Melayu dengan menambahkan santan kelapa juga sering ditiru oleh kaum Cina. Bubur caca adalah antara hidangan pencuci mulut popular peranakan Cina yang menggunakan santan kelapa. Keluarga Cina biasanya suka menyediakan pencuci mulut ini di rumah untuk menghilangkan rasa panas.
Lazimnya, kelihatan pelanggan Cina berduyun-duyun ke gerai Melayu untuk membeli nasi lemak. Hal ini kerana mereka berpendapat bahawa nasi lemak yang dimasak oleh tukang masak Melayu lebih asli dan sedap.
Pengiktirafan mereka ini terhadap makanan sesuatu kaum tidak berdasarkan kepada penglihatan mata, tetapi berlandaskan deria perasa yang dikawal oleh otak manusia.
Ketika anak saya sedang mengaji di luar negara, setiap kali sebelum dia bergegas kembali ke universiti, isteri saya pasti akan memasukkan sos cili, serbuk santan kelapa dan mi segera berperisa kari ke dalam bagasinya. Kata anak saya, itulah makanan Malaysia yang dapat meredakan emosi kerinduan kepada keluarga dan kampung halaman.
Sementara itu, kelihatan pula orang Melayu menjual makanan Cina seperti yong tau foo dan pau di pasar malam. Yong tau foo pada asalnya adalah makanan lambang etnik Hakka. Pau pula snek yang dihasilkan oleh etnik Hock Chew. Sekarang, orang Melayu bukan sahaja mahir menyediakan makanan-makanan ini, malah mereka berjaya menggabungkannya dengan ciri-ciri Melayu Islam.
Melalui makanan dan masakan, kita saling mempelajari dan menyerap unsur-unsur yang sesuai ke dalam budaya masing-masing. Dengan ini, kita dapat menghormati kelainan dan keunikan budaya kaum lain.
Pada pendapat saya, pesta makanan Malaysia boleh dipertimbangkan sebagai aktiviti untuk memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum. Warga Malaysia berlainan kaum boleh duduk semeja dan menikmati makanan setempat sambil berbual-bual untuk mengeratkan hubungan. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










