SEBELUM saya mula menulis, marilah semua seluruh rakyat mendoakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang masih bersemayam berehat agar segera pulih daripada pembedahan buku lali dan kaki kanan baru-baru ini dan dilimpahi kesejahteraan.
Hari ini, tanggal 17 Mei, Tuanku Syed Sirajuddin menyambut ulang tahun keputeraan baginda ke-80 yang disifatkan cukup signifikan. Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Baginda juga baru sahaja menyambut ulang tahun ke-23 sebagai Raja Perlis pada 17 April lalu.
Sejak dari dahulu, Tuanku Syed Sirajuddin sangat disayangi oleh seluruh rakyat jelata berikutan sifat prihatin baginda yang sentiasa mengambil berat soal rakyat.
Malah, selepas menjalani pembedahan dan dalam proses sembuh, Tuanku Syed Sirajuddin masih sempat mendoakan semoga Perlis serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa, kesihatan diri dan keluarga tersayang.
Itulah sifat baginda. Dalam keadaan apa sekali pun, baginda tidak pernah sesaat pun melupakan rakyatnya yang cukup dikasihi.
Bagi rakyat Perlis, baginda umpama payung yang menjadi tempat berteduh dan kasihnya rakyat terhadap Raja Perlis tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sikap pengasih dan keprihatinan baginda itu membuatkan rakyat berasa cukup bertuah mempunyai seorang raja berjiwa rakyat.
Malah, keakraban Tuanku Syed Sirajuddin dengan seluruh rakyat selain rutin baginda yang sering turun ke kampung-kampung menyelami permasalahan dan mengambil tahu keluh-kesah rakyat menjadikan Raja Perlis cukup disayangi.
Dalam soal pemerintahan, baginda juga dilihat seorang yang tegas dan cermat apabila membuat sesuatu keputusan demi kepentingan Perlis yang sangat dicintai ini. Baginda amat cakna terhadap negeri dan rakyat.
Baginda juga sangat menitikberatkan soal perpaduan dan sering mengulangi titah supaya rakyat di negeri ini dan seluruh negara agar sentiasa hidup dalam keadaan aman damai dengan mengelak daripada cuba ‘mencurahkan minyak ke dalam api’ terutama apabila bangkitnya sebarang isu perkauman yang mampu meruntuhkan semangat perpaduan.
Titah baginda pada masa itu, seluruh masyarakat perlu lebih mengenali latar belakang semua kaum bagi menyemai semangat perpaduan yang tinggi untuk lebih bertoleransi. Tuanku Syed Sirajuddin turut mengulangi titah agar isu-isu sensitif tidak terus dijadikan modal politik untuk menjadi popular sehingga mampu menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.
BERBASIKAL
Selain itu, baginda juga sangat menitikberatkan soal pembangunan yang boleh merancakkan ekonomi rakyat di negeri ini sekali gus mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis khususnya golongan muda.
Malah, baginda juga menyeru kepada kerajaan negeri yang baharu agar terus meningkatkan usaha bagi mewujudkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar. Dalam hal tersebut, baginda menegaskan bahawa kepentingan rakyat perlu diberi keutamaan dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing.
Dalam pada itu, keprihatinan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat juga sentiasa diteruskan oleh pewaris tahta baginda, iaitu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Malah, baru-baru ini, ketika Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang menyertai program ikonik cetusan idea baginda, iaitu berbasikal memasuki seluruh pelosok kampung dalam menyantuni rakyat juga menzahirkan rasa kagumnya melihat kemesraan Pemangku Raja Perlis itu bersama rakyat jelata.
Zaliha berasa amat kagum melihat sendiri Tuanku Syed Faizuddin bersama rakyat jelata yang sungguh baginda kasihi. Selain dapat memantau keadaan rakyat dengan lebih dekat di kampung-kampung, kayuhan basikal itu juga merupakan cara unik baginda untuk menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada mereka yang memerlukan.
Malah, sepanjang tahun lalu, sebanyak 83 program kayuhan MAIPs dilaksanakan dengan sejumlah RM1.88 juta disalurkan menerusi program kayuhan tersebut.
Sememangnya rakyat Perlis sangat bertuah mempunyai seorang raja dan puteranya yang sentiasa ada bersama rakyat.
Mengambil kesempatan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-80, sebagai anak jati Perlis, saya mendoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi Perlis di samping Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Di kesempatan sama, saya juga menitipkan doa agar Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melindungi rakyat di negeri ini.
Daulat Tuanku! – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










