Produk negara LIMA kini di tahap baharu

Produk negara LIMA kini di tahap baharu

SEBANYAK 525 pempamer yang mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia menyertai LIMA ‘23. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAMERAN Antarabangsa Maritim dan Aeorangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) secara rasmi melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu selepas lima hari berlangsung bermula 23 Mei. Bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia, LIMA ’23 menjadikan Langkawi sekali lagi tumpuan dunia apabila ‘berkumpul’ pelbagai jenis aset pertahanan, aeroangkasa dan maritim berteknologi tinggi serta terkini.

Memasuki edisi ke-16 dianjurkan sejak kali pertama pada 1991, LIMA ’23 berjaya meletakkan penanda aras baharu kepada kemampuan negara dalam menganjurkan pameran bertaraf antarabangsa. Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan pemain industri dan negara luar untuk menyertai sesebuah pameran, tetapi jenama dan prestij LIMA yang dianjurkan Malaysia telah membuktikannya.

Memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada hari terakhir LIMA ‘23, pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani dengan RM10.1 bilion dalam 43 kontrak berkaitan pertahanan.

Malah beliau turut menyatakan terdapat keperluan untuk Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menempatkan pameran aeroangkasa dan maritim diperbesarkan sebagai persediaan penganjuran LIMA pada 2025.

“LIMA 2025 dijangka mampu menarik lebih banyak penyertaan dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, kita berhadapan kekangan dari segi logistik bagi menyediakan lokasi pameran.

“Maka kita akan memohon Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperluas ruang pameran di MIEC ini memandangkan banyak juga syarikat yang menyertai LIMA mempunyai kepakaran dalam kedua-dua segmen maritim dan aeroangkasa.

AEROBATIK

“Jadi, sekiranya pempamer dipisahkan mengikut segmen, maka ia akan menyukarkan urus niaga syarikat yang dimaksudkan,” katanya.

Diiktiraf sebagai pameran aeroangkasa dan maritim terkemuka di rantau Asia Pasifik, sememangnya LIMA edisi kali ini dianggap pameran terbesar dan paling berjaya dalam sejarah penganjurannya. LIMA ’23 berjaya membawa 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia berkampung di Pulau Langkawi.

Selain itu, hebat dan gah juga kerana kemampuan ‘menarik’ 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara serta penyertaan pasukan aerobatik dari Russia, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China selain Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membuat persembahan.

Pujian harus diberikan kepada Kementerian Pengangkutan (Industri Komersial Maritim dan Aeroangkasa) kerana berjaya membawa kembali LIMA dengan lebih gah dan hebat selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019. Pada 2021 pula ia ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Sesungguhnya penganjuran LIMA ’23 memberi impak yang amat besar kepada pembangunan industri aeroangkasa negara. Malaysia mempunyai sumbangan dan peranan yang penting terhadap pertumbuhan industri aeroangkasa dan marin di peringkat global kerana kedua-dua sektor ini menyumbang lebih RM2 trilion pada 2021.

Bukan sahaja memberi peluang merancak dan memperkukuh hab sektor aeroangkasa dan maritim, penganjuran pameran berskala besar seperti ini sebenarnya turut memberi kesan limpah kepada sektor pelancongan dan ekonomi domestik.

Saya juga melihat LIMA tidak sekadar sebuah pameran jet pejuang, kapal perang, senjata dan pelbagai lagi aset dan teknologi aeroangkasa dan maritim sahaja, LIMA hakikatnya menjadi suatu jenama besar ‘produk’ Malaysia yang telah membawa nama negara lebih dikenali, dihormati dan disegani dunia. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PRAGMATIS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×