KAMPUNG saya di Bukit Pasir, Muar, Johor merupakan sebuah pekan yang mempunyai penduduk melebihi 10,000 orang. Mengikut catatan sejarah, pekan itu dibuka pada 1884. Tempat itu terletak 11 kilometer (km) dari bandar Muar dan tiga km dari pekan Jorak.
Dalam lingkungan tiga km dari pekan Bukit Pasir, terdapat tiga batang anak Sungai Muar, iaitu Sungai Raya, Sungai Terap dan Sungai Merbudu. Bot kecil atau sampan boleh berulang-alik di saliran tersebut. Anak-anak sungai itu juga berfungsi sebagai sumber pengairan untuk aktiviti pertanian di situ.
Dipercayai pada penghujung kurun ke-19 sudah ada peneroka awal yang cuba menanam pokok getah di Bukit Pasir. Bagaimanapun, perladangan getah secara besar-besaran cuma dilaksanakan menjelang awal kurun ke-20.
Penubuhan sekolah dan tanah perkuburan sering dijadikan bukti penerokaan sesuatu petempatan oleh ahli sejarah. Mengikut catatan minit mesyuarat Pertubuhan Perkuburan Eng Teck, jirat Cina terawal dibina pada 1906. Sekolah Cina Yu Jern di pekan pula diasaskan pada 1923 dengan meminjam premis pertubuhan Eng Teck sebagai bilik darjah untuk menyampaikan pengajaran.
Akan tetapi, tidak dinafikan sekolah Melayu di Sungai Terap, dua km dari Bukit Pasir dibuka jauh lebih awal daripada sekolah Cina, iaitu pada sekitar 1910.
Penduduk Melayu di Bukit Pasir kebanyakannya berketurunan Jawa. Sememangnya di sebelah Pantai Barat Johor terdapat banyak petempatan yang menjadi tumpuan peneroka Jawa, misalnya Parit Jawa yang terletak 10 km menghala selatan dari bandar Muar.
Sehingga sekarang, saya masih belum sempat menemui apa-apa rencana kajian yang melaporkan secara lengkap berkenaan pergaulan orang Melayu dengan Cina pada zaman awal.
Namun, dipercayai pada masa itu, orang Cina sudah mula membeli hasil pertanian seperti buah pinang dan ubi kayu dari perkampungan Melayu berdekatan untuk diperdagangkan di bandar.
Walaupun para peneroka awal Cina rata-rata tidak pernah menerima pelajaran formal dalam bahasa Melayu, tetapi lambat-laun mereka dapat juga menguasai sebilangan kosa kata asas yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan orang Melayu.
Pada 1926, penerbit buku di Singapura, iaitu Kedai Buku Zheng Xin pernah menerbitkan sebuah daftar kata bahasa Melayu yang dieja dalam sebutan dialek Hokkien. Dipercayai orang Hokkien bertutur bahasa Melayu pasar berpandukan daftar kata bahasa Melayu-Hokkien tersebut.
Keberkesanannya dan ketepatan sebutan mungkin dipersoalkan mengikut piawaian zaman sekarang. Namun, itu merupakan usaha yang pernah dilakukan oleh generasi tua pada suatu ketika dahulu.
Bilakah sebenarnya dan bagaimanakah orang Cina awal mempelajari bahasa Melayu masih tidak dapat dikesan kini. Yang menarik, dalam halaman permulaan buku catatan sejarah Pertubuhan Perkuburan Eng Teck, Bukit Pasir tercatat sebaris tulisan Cina, “….beruntung sekali tanah perkuburan ini telah mendapat kelulusan daripada Laoduangu…”
Istilah Laoduangu itu sesungguhnya bermaksud ‘tuanku tua’ dalam sebutan dialek Hokkien, iaitu merujuk kepada baginda sultan tua Johor.
ATAP
Pada zaman silam, orang Cina rajin meneroka hutan untuk menanam pokok gambir, lada hitam, getah dan sebagainya. Dalam perjalanan ke kawasan pertanian, mereka sering melintasi perkampungan Melayu, maka tidak mustahil mereka dapat berkenalan dengan orang Melayu.
Sekitar 1970-an, hampir 90 peratus rumah penduduk Cina di Bukit Pasir masih berbumbung atap. Keluarga Cina perlu menggantikan bumbung lama dengan kepingan atap baharu yang dihasilkan oleh orang Melayu, maka timbullah interaksi perniagaan antara kaum.
Kemahiran menganyam kepingan atap merupakan satu warisan turun-temurun orang Melayu. Pada ingatan saya, hanya keluarga Melayu di pekan Jorak memiliki kepakaran dalam menghasilkan kepingan atap bermutu tinggi.
Dalam pada itu, kedai-kedai pemborong getah telah lama wujud di pekan Bukit Pasir sejak zaman pra Perang Dunia Kedua lagi. Begitu juga kedai-kedai runcit dikendalikan oleh pengusaha-pengusaha Cina. Kedua-dua jenis kedai ini sering menjadi tempat kunjungan orang Melayu.
Di perkampungan Melayu di Bukit Pasir, hampir semua keluarga menetap dan bertani di atas tanah sendiri. Kegiatan menoreh getah merupakan mata pencarian utama.
Mereka menjual hasil getah dalam bentuk kepingan getah kering kepada pemborong getah Cina di pekan. Sebaliknya, mereka akan membeli sedikit bahan keperluan hidup dan makanan utama dari kedai-kedai runcit di pekan untuk dibawa pulang.
Bagi saya, kerja penulisan sejarah setempat bukan sahaja menggali apakah yang telah disumbangkan oleh masyarakat kaum tertentu pada masa lampau, malah ia perlu didalami dengan mengkaji secara terperinci penglibatan bersama kaum-kaum lain dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan.
Di Bukit Pasir, orang Melayu keturunan Jawa merupakan tunjang masyarakat Melayu setempat. Tenaga kerja golongan ini sering menjadi rebutan para pemborong getah kerana mereka sangat tahan lasak dan tekun bekerja.
Sayang sekali, tidak ramai orang Cina setempat yang fasih bertutur dalam bahasa Jawa. Mungkin ini disebabkan pergaulan yang terhad antara kaum kerana masing-masing hidup di tempat jauh terpisah.
Untuk beberapa ketika, orang Melayu di kampung saya hidup aman bersama orang Cina yang lazimnya menetap di pekan. Kedua-dua kaum utama ini saling melengkapi dalam kehidupan harian.
Kajian sejarah mikro merupakan penelitian intensif ke atas peristiwa tunggal, individu dan kumpulan masyarakat yang berada di lapisan bawahan sesebuah masyarakat.
Saya yakin, sekiranya lebih ramai pengkaji muda sanggup tampil ke depan untuk mengkaji lebih menyeluruh tentang hubungan etnik antara kaum Melayu dan bukan Melayu pada zaman lepas, ia tentu dapat memupuk persefahaman antara kaum yang lebih kukuh. – UTUSAN
PENULIS ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.











