SELAMA lebih seabad, pengakap sebagai sebuah gerakan pendidikan belia global telah membawa transformasi kepada kehidupan ramai golongan muda. Dengan lebih 50 juta ahli di seluruh dunia, ia merupakan antara pergerakan belia terbesar serta paling berpengaruh di dunia.
Sepertimana ditekankan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM), misi berpengakap adalah untuk menyumbang kepada pendidikan golongan muda menerusi sebuah sistem nilai berdasarkan Persetiaan dan Undang-undang Pengakap bagi membina sebuah dunia yang lebih baik di mana orang ramai dapat memenuhi diri sebagai individu dan memainkan peranan membina dalam masyarakat.
Dalam pergerakan pengakap, sebanyak 30.8 juta atau 75.36 peratus daripada keahlian global itu adalah di rantau Asia Pasifik. Rantau yang luas ini memiliki pelbagai budaya, bahasa dan tradisi. Namun, di sebalik kepelbagaian ini, pergerakan pengakap menjadi antara kuasa penyatuan di rantau ini dengan menghimpunkan golongan muda dari semua lapisan masyarakat serta memperkasakan mereka untuk bekerjasama ke arah matlamat sama.
Rantau Asia Pasifik sendiri memiliki sejarah yang panjang dan kaya dalam pergerakan pengakap. Pengakap memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan golongan muda di Asia Pasifik. Hari ini, rantau ini terus menjadi antara tonggak utama kepada pergerakan pengakap global dengan penglibatan jutaan ahli secara aktif dalam aktiviti dan program dianjurkan.
Sehubungan itu, dari 25 hingga 28 Mei ini, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) akan menganjurkan satu forum kerjasama peringkat rantau Asia Pasifik di Kuala Lumpur. Antara objektif forum ini adalah untuk menjalin hubungan, komitmen semula dan melakukan penyelarasan dalam kalangan pertubuhan pengakap kebangsaan (NSO) dengan organisasi rakan kongsi. Perkara-perkara ini adalah kritikal kepada kejayaan program-program kepengakapan di rantau ini.
Usaha membina kolaborasi dan perkongsian adalah penting untuk membolehkan NSO mengadakan program serta aktiviti bermanfaat kepada orang muda terutama di rantau yang seluas dan pelbagai seperti Asia Pasifik. Salah satu manfaat utama langkah menjalin hubungan dan komitmen semula adalah dapat membantu dalam pembinaan rangkaian kepercayaan dan memupuk semangat ke arah matlamat bersama dalam kalangan NSO dan organisasi rakan kongsi.
Selain itu, forum ini merupakan platform untuk meneroka peluang-peluang kerjasama dan amalan terbaik terutama melibatkan pengurusan geran, pendanaan khalayak, kerjasama strategik dan mobilisasi sumber.
Forum ini melibatkan penceramah-penceramah berpengalaman supaya para peserta dapat memperoleh perspektif lebih meluas berhubung bidang-bidang tertentu. Forum ini juga diharap dapat mewujudkan komuniti untuk rangkaian, berkongsi sumber, kaedah dan pengetahuan bagi mengembangkan lagi perkongsian berdasarkan Panduan Pembangunan Kerjasama WOSM.
WWF, UNICEF
Pengarah program tersebut, Muhammad Naufal Othman berkata, forum kerjasama ini selaras dengan hasrat PPM dan WOSM untuk menyumbang ke arah Pelan Pembangunan Mampan (SDG) ke-17, iaitu menjalinkan kerjasama untuk mencapai matlamat.
Katanya, WOSM dan PPM khususnya telah mewujudkan hubungan baik dengan rakan kongsi dan organisasi lain seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam memastikan lebih banyak program berimpak tinggi dapat dianjurkan bersama.
“Forum kerjasama rantau Asia Pasifik ini akan menjadi peluang pembelajaran dan pembangunan bagi semua NSO terutama mereka yang berminat untuk mengoperasikan strategi dan pengurusan inisiatif kerjasama. Forum kerjasama ini akan menjadi penanda aras bagi inisiatif dan amalan kerjasama di negara-negara serantau,” katanya.
Setakat ini, jelas Muhammad Naufal, seramai 40 peserta dari pelbagai negara rantau Asia Pasifik telah mengesahkan penyertaan mereka ke forum ini. Menurutnya, forum ini bakal menjadi landasan kerjasama dan rangkaian PPM serta batu loncatan untuk pembangunan golongan belia remaja agar menjadi lebih yakin dan berkebolehan merancang dan menguruskan program di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Berdasarkan tentatif, antara topik yang akan diketengahkan adalah berkaitan asas kerjasama, nilai-nilai bersama, mengenal pasti kepentingan serta pengaruh pihak berkepentingan; bercerita, advokasi dan kempen; perkongsian amalan terbaik NSO, mobilisasi sumber; asas perundingan serta pengurusan perhubungan.
Sementara itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berpandangan, momentum daripada forum kerjasama Asia Pasifik juga perlu diteruskan dengan penganjuran program serupa di peringkat ASEAN. Beliau menarik perhatian, gerakan kepengakapan adalah penting dalam memupuk disiplin dan kerjasama antara satu sama lain.
“Sebab itu adalah penting terutama sekali dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk menjalin kembali kerjasama kepengakapan antara negara-negara rantau ini supaya sikap kerjasama, toleransi dan usaha memahami antara rakyat berbeza negara dapat dipupuk melalui pasukan seperti ini.
“Jadi bagi saya, jika dilakukan forum seperti yang akan diadakan dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik ini, lebih baik juga selepas ini dijuruskan kepada kalangan negara-negara ASEAN dan dalam Malaysia sendiri supaya kesedaran (terhadap gerakan kepengakapan) itu lebih menonjol lagi,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Setiausaha Eksekutif Komunikasi Korporat, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).










