Negara ini bertoleransi, saling menghormati

Negara ini bertoleransi, saling menghormati

TINDAKAN kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran tidak sepatutnya menimbulkan keributan. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membolehkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran tidak sepatutnya menimbulkan keributan. Jika diteliti keputusan kes Jill Ireland bt. Lawrence Bill lwn. Menteri bagi KDN Malaysia & Anor. pada 10 Mac 2021, didapati keputusan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin hanya menyentuh soal Undang-Undang Pentadbiran dan Penjalanan kuasa pentadbiran.

Isunya mudah, seorang warganegara Malaysia dan bumiputera beragama Kristian dari suku Melanau, Sarawak bernama Jill Ireland telah dirampas lapan cakera padat audio (CD) pendidikan Kristian di bawah Seksyen 102 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mempunyai kalimah Allah pada tajuk-tajuknya.

Jill Ireland mendakwa lapan CD tersebut untuk kegunaan peribadinya kerana selama ini beliau dan keluarganya menggunakan Bahasa Malaysia dan AlKitab (perkataan Allah digunakan) serta bahan-bahan bertulis dan audio visual dalam bahasa Indonesia dalam amalan kepercayaan Kristian mereka.

Setelah melalui perbicaraan awal, mahkamah tinggi hanya membenarkan perintah certiorari dan mandamus dan menolak kesemua prayer lain dengan alasan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian tidak dapat dicabar secara kolateral dalam prosiding semakan kehakiman tetapi hanya dengan mencabar secara spesifik undang-undang yang mengenakan larangan tersebut.

Setelah dirayu oleh Jill Ireland, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut tetapi mengembalikan permohonan semakan kehakiman semula ke Mahkamah Tinggi kerana permohonan tersebut tidak berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah tetapi terhadap dakwaan pelanggaran hak perlembagaan pemohon.

Setelah kes ini dibawa kepada beliau, keputusan Nor Bee adalah arahan KDN pada 5 Disember 1986 menyalahi undang-undang dan terbatal kerana bertentangan dengan Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penerbitan) (No. 4) 1982 (Perintah 1982) yang secara jelas tidak melarang pemilikan atau penggunaan AlKitab di gereja di seluruh negara.

KESAL

Jelas Nor Bee, KDN dan Kerajaan Malaysia juga tidak menunjukkan bukti mencukupi, boleh dipercayai dan berwibawa mengenai kekeliruan atau salah faham atau gangguan atau kemungkinan gangguan terhadap ketenteraman awam yang telah terjadi atau boleh berlaku sekiranya kalimah Allah digunakan oleh masyarakat Islam dan Kristian.

Tambah beliau lagi, komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak juga telah menggunakan kalimah Allah dalam Bahasa Malaysia untuk perkataan Tuhan selama beberapa generasi dan tiada keterangan di hadapan mahkamah bahawa amalan tersebut telah menyebabkan masalah kekacauan awam selama bertahun-tahun.

Arahan KDN pada 5 Disember 1986 tersebut juga tidak konsisten dengan keputusan polisi Kabinet yang tercatat dalam memo Perdana Menteri bertarikh 19 Mei 1986 dan memo Timbalan Perdana Menteri bertarikh 16 Mei 1986 yang tidak mengenakan larangan menyeluruh pada kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan solat sedangkan arahan KDN tersebut mengenakannya.

Oleh itu, terang lagi bersuluh bahawa keputusan Nor Bee hanya menyentuh soal Undang-Undang Pentadbiran dan Penjalanan kuasa pentadbiran.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan akhbar menyatakan kesal dengan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes yang dikatakan melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

Menurut Muhyiddin, antara hujah utama KDN yang diketuai oleh beliau dahulu untuk menolak cadangan penyelesaian kes Jill Ireland di luar mahkamah ialah penyebaran risalah Kristian mengandungi kalimah Allah yang didakwa boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

RAPUH

Muhyiddin juga berkata, rayuan tidak perlu ditarik balik kerana sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi kerajaan meminda undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, hujah Muhyiddin ini terlalu rapuh. Kes Jill Ireland akan mengambil masa lebih panjang, mungkin bertahun-tahun untuk diselesaikan sepenuhnya di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Maka cara terbaik dan terpantas untuk menyelesaikannya adalah melalui perubahan pada Undang-Undang Pentadbiran dan Penjalanan kuasa pentadbiran.

Oleh sebab itu, pengumuman KDN bahawa ia sedang mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan lebih menyeluruh agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama adalah terbaik.

Ia membuktikan kerajaan perpaduan, tidak seperti kerajaan-kerajaan sebelumnya mempunyai iltizam politik yang kuat untuk menyelesaikan setuntasnya masalah ini dengan tidak perlu menunggu sehingga selepas proses rayuan selesai kerana ini hanya akan membazir masa.

Dalam masa sama, jaminan KDN akan memastikan kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan serta kebebasan beragama masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan/negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam, akan memastikan kegusaran dalam kalangan umat Islam tidak akan berlaku.

Inilah Malaysia Madani sebenarnya, negara yang bertoleransi dan saling menghormati. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN