MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini menyarankan pihak universiti selaras keterlibatan ahli-ahli lembaga pengarah masing-masing memulihkan semula tahap kepercayaan, hatta amanah yang telah mula pudar kebelakangan ini. Menurut beliau, ia bukan sekadar tanggapan tetapi kenyataan yang jelas dirasai oleh masyarakat umum buat sekian lama.
Apatah lagi tatkala pandemik menjelma, tiba-tiba dan menjarakkan lagi pelbagai bentuk hubungan yang wujud antara anggota institusi pengajian tinggi dan masyarakat sekitarnya. Begitu juga pemegang taruh lain termasuk kementerian sendiri. Maksudnya, satu kesefahaman dan kerjasama wajar diurus dengan tertib untuk merapatkan lagi dan mengesahkan pertalian antara semua pihak yang dipertanggungjawabkan.
Malangnya, pertanggungjawaban dimaksudkan sering terabai berpunca daripada kefahaman tata urus tidak selari sama ada secara sengaja ataupun tidak. Ini banyak bergantung kepada cara dan gaya langkah setiap lembaga diertikan oleh pengerusi serta ahli-ahlinya. Oleh itu, menyeragamkannya adalah satu pendekatan walaupun tiada jaminan akan berlaku sedemikian.
Bagi Mohamed Khaled, ia merupakan satu kewajiban murni (sacred duty) yang perlu dizahirkan demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan tanah air. Tidak dapat tidak sehingga menggesa melawan dan membanteras apabila amanah tersebut dibelakangkan atas apa jua alasan supaya dapat melonjakkan lagi potensi serta prestij pendidikan demi menguntungkan negara serta rakyatnya.
Maka pengalaman, jaringan, perhubungan serta pengaruh khususnya di peringkat antarabangsa dipandang penting bagi memperkasa serta memperbetulkan lagi keadaan. Apa pun, ia tidak dapat ditangguhkan oleh mana-mana universiti seantero kerana seperti yang disarankan, gambar keseluruhan (big picture) sudah pun berubah. Malah sudah lama berlaku sedemikian tetapi ramai yang tidak mengambil berat atas pelbagai sebab munasabah atau tidak. Utama antaranya melibatkan perubahan besar-besaran dalam memaknakan semula matlamat asal pendidikan sesuai peredaran zaman amnya.
Namun begitu, ekoran serangan pandemik tempoh hari, ia cukup jelas membawa kesedaran yang pendidikan telah lama terpesong daripada tujuan membulatkan azam bagi masa hadapan lebih cerah untuk semua.
Betapa tidak, apabila terlalu banyak tuntutan baharu dikenakan sehinggakan soal jati diri dalam membentuk serta mengawal perasaan, emosi serta nilai kerohanian setiap individu terganggu-gugat dengan lebih dahsyat. Yakni tidak dapat mengertikan apa itu ‘kehidupan’ dalam mendahului soal-soal ‘menyara hidup’ – atau sepertimana sering disebut sebagai ‘kebolehpasaran.’
Walhal dalam mengharungi cabaran pandemik, ungkapan seperti kebolehpasaran terus dikesampingkan dan sebaliknya aspek kehidupan menjadi sasaran pilihan. Maknanya, persoalan tentang nilai yang mampu memakmurkan kehidupan diketengahkan sebagai sesuatu yang mutlak.
Angka, nombor, peratusan dan sebagainya ditolak ke tepi kerana tidak memberi apa-apa gambaran bererti. Penekanan diletakkan atas kepandaian menguruskan dengan bijak supaya hal ehwal berkaitan penyaraan hidup tidak menghancurkan kehidupan yang diilhamkan.
Perkara ini menjadi tersangat penting kerana sudah terbukti pendidikan semasa atau pra Covid-19 tidak menghiraukan erti kehidupan sebagai matlamatnya. Lantaran ramai yang gagal mendamaikan kehidupan semasa Covid-19.
Bahkan ramai pula mulai cenderung meragut nyawanya sendiri. Tidak terkecuali, nama-nama besar lagi terkenal berserta penyaraan hidup cukup lumayan tetapi tidak kesampaian. Inilah antara gambar keseluruhan yang tidak mendapat apa-apa tumpuan jika tidak kerana pandemik seolah berfungsi mengejutkan kelekaan senantiasa mengambil jalan keluar yang mudah untuk rnenyuluh masa hadapan.
Dengan lain perkataan, tata urus pendidikan perlu diperkemaskini terdahulu. Satu cara rang dikenali sebagai tata urus insani yang membawa kepada langkah menginsani pendidikan agar dapat menyediakan diri mendepani teknologi semakin canggih dan pintar daripada apa dijangka oleh dunia sebelum ini. Ramai cukup selesa dengan gambar keseluruhan seadanya sehingga rela bergelar asalan digital (digital native), sekali gus bertindak dalam bayangan digital tanpa berfikir panjang di mana letaknya sifat insani tadi.
Terkini, sudah pun terdapat ramalan akan terbit satu kerangka manusia baharu yang digelarkan transhuman – yakni gabungan insani dan teknologi terbuka untuk semua. Transhuman sebagai gubahan perantaraan dikatakan bakal akan muncul seawal 2050 nanti. Sungguhpun begitu, ada juga menjangkakan lebih awal dari itu.
Apa pun, ini mencabar pemikiran yang ada, serentak membawa renungan tata urus hari muka bermula dengan makna dan tujuan pendidikan itu sendiri. Soalnya, apakah tata urus yang ada sesuai dengan perkembangan pantas semasa? Inilah tempat dan masa untuk merekayasa apa yang wajar untuk memupuk rahmah bagi keseluruhan dunia jelata. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










