BENARKAH massa Melayu tersepit atau ahli-ahli politik Melayu terpinggir – sepertimana dicanangkan oleh sebahagian parti Melayu? Perlukah satu data kajian atau undi di media sosial melalui portal dibuat untuk pantas merungkai persoalan ini?
Setiap kali lepas pilihan raya umum, akan ada sahaja rancangan politik untuk menggugat kestabilan sedia ada. Itu lumrah politik, mesti ada kawan, mesti ada lawan.
Dalam ‘krisis yang dicetus’ ini, siapa yang pandai menangguk di air keruh akan meraih keuntungan. Pergolakan politik yang berkisar di sekeliling tokoh-tokoh pemimpin ini biasanya adalah secara peribadi. Kurang berdasarkan isu-isu kepentingan umum.
Seperti dalam hikayat-hikayat, apabila pemimpin berperang, selalunya atas urusan peribadi, massa Melayulah yang menanggung beban. Ramailah yang akan digembleng dan diadu dombakan. Sayangnya, pergolakan politik bukannya libatkan prinsip-prinsip menyentuh kehidupan mereka. Tapi kebiasaannya tercetus dari perebutan kuasa dan jawatan.
Masih ada pemimpin parti politik Melayu yang menganggap massa Melayu cuma sekadar ‘anak-anak tangga’ untuk mereka naik ke atas. Apabila masyarakat lain mendengar atau membaca ucapan-ucapan mereka, sebilangan berasa segala-segala dilakukan untuk memajukan massa Melayu.
Kerana mereka menilai cuma berdasarkan ucapan berkobar-kobar dengan ‘formula, statistik itu ini, cercaan melukut di tepi gantang, terpinggir dan macam-macam’. Namun tanpa diketahui mereka, sebenarnya kata-kata ‘indah’ itu tidak diterjemahkan kepada bentuk tindakan yang jitu, serius sewaktu mereka dahulunya berkuasa.
SENSASI
Yang kita khuatirkan lagi, pendekatan meledak dan sensasi ini cuma merugikan orang Melayu. Massa Melayu pula yang terpaksa tanggung beban tuduhan dari dalam dan dunia luar bahawa mereka ‘anak emas’ kerajaan. Walhal, mereka tidak pula menerima bantuan sebesar yang disangkakan.
Lebih merugikan lagi, mengikut nasionalisme palsu, kemajuan dan pembangunan orang Melayu tersekat dek perbuatan si polan si polan. Malah, kita tidak harus bincangkan sebarang kekurangan dan kelemahan orang Melayu. Tidak boleh mengkritik atau menegur walaupun secara ikhlas, jujur dan membina. Sebarang usaha ke arah itu ditohmah mengkhianati bangsa.
Apabila pendapat sedemikian diselidiki, terdapat juga udang di sebalik batu. Yang tidak disenangi itu sebenarnya ialah agenda untuk memburuk-burukkan pihak lain demi jawatan dan kuasa. Selalunya pendapat sebegini dimajukan atas nama ‘nasionalisme’ oleh mereka yang tidak pernah pun mengenal nasionalisme tulen.
Bahkan, masih ada lagi pemimpin politik yang menganggap sedikit sebanyak yang mereka sumbangkan lebih kepada belas ihsan, bukannya satu tanggungjawab dan amanah. Massa Melayu perlu meminta-minta dan merayu-rayu untuk dapat perkhidmatan mereka, bukan sebagai hak terhadap pemimpin yang mereka pilih.
Yang cukup dibimbangi adalah pemain politik tertentu ini cuma melihat massa Melayu sebahagian dari ‘peralatan dan perhiasan’. Baik secara nyata atau terpendam, mereka ini berpendapat wajar dikekalkan sistem patronage bagi massa Melayu.
Sebab itu ‘porak-peranda’ jadinya politik orang Melayu kita ini. Pada mulanya mungkin tidak terfikir langsung di benak fikir akuan bersumpah (SD) boleh dijadikan kaedah untuk memperoleh kuasa. Seingat kita hanya berlaku semasa penyelesaian krisis politik di Perak 2009. Namun, kira-kira sedekad lebih sedikit dicetuskan semula menerusi Langkah Sheraton Februari 2020.
Andai SD dan lompat parti itu bermain cepat dalam fikiran pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) sebaik sahaja keputusan PRU14 diumumkan tempoh hari, barangkali tidak berlaku tragedi politik Melayu hari ini.
BN waktu itu pasti agresif mencari sekutu untuk mencukupkan baki hanya 33 kerusi dari 79 kerusi diraih BN, demi mencukupkan 112 majoriti mudah. Malangnya belum ada garapan ‘kedinamikan’ itu dek kerana sasaran majoriti dua pertiga lebih ‘membelenggu’ BN tika itu.
HARAPAN
Apa yang terus berlaku di depan mata massa Melayu hari ini adalah tidak terkejar dinamiknya politik Melayu. Sejak Langkah Sheraton, dengan SD dan lompat parti habis huru-hara, jadi cacamarba politik Melayu.
Apakah masih ada harapan untuk politik Melayu bertaut dan sejahtera, menjadikan nanti hanya tinggal satu atau dua parti berteraskan Melayu – sepertimana di Semenanjung cuma kelibat DAP sahaja yang kompeten untuk masyarakatnya?
Dan bilakah akan tiba masa penamat untuk jawatan politik tidak lagi dijadikan lubuk mengaut dan mengumpul kekayaan? Bilakah keinsafan diri akan muncul dalam percaturan politik? Mungkin ini tidak akan terjadi selagi dia masih dalam lapangan politik.
Waima apa pun, kembalilah ke pangkal jalan. Perjuangan mesti ada harga diri. Perwatakan positif perlu tampak dilihat dan dinilai rakyat. Jika tindak-tanduk seseorang lebih banyak berkisar laba peribadi tingkah lakunya, tidak akan sudah tompok-tompok titik negatif ini bermain di mata, berlegar di telinga rakyat.
Yang teramat dibimbangi kelak tiada lagi natijah bagi orang Melayu diserlahkan oleh parti Melayu. Isu-isu berkaitan bahasa, kedaulatan Raja-Raja Melayu, budaya, agama dan pendidikan dikhuatiri tidak lagi diangkat sebagai isu-isu survival bangsa. Dan dipandang sepi pula keazaman untuk agihan kepentingan ekonomi sekurang-kurangnya 30 peratus yang harus dianggap hanya permulaan bagi Melayu dan bumiputera.
Politik moden biarpun hakikatnya memang kurang bersih namun jangan terlalu awal kita kotorkannya dengan politik sogok untuk mendapatkan sokongan. Lantaran kekuatannya bersandar kepada duit dan bukan sifat-sifat asas kepimpinan, jadilah seperti perumpamaan burung terbang dari genggaman, tahinya tinggal di tangan.
Pandai main politik tidak semestinya pandai memimpin dan pandai mentadbir. Mesti dicari pemimpin yang bukan sahaja pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah, tetapi harus cari dan dapatkan pemimpin yang bersifat elok dan bijak.
Klise kan apa yang saya (penulis) hujahkan dan ngomelkan tadi? Seingat saya sudah berulang kali topik cacamarba atau kebangkitan politik Melayu saya jadikan bahan tujahan untuk kita orang Melayu saling mengingati iktibarnya.
Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya satu dua parti Melayu terbesar itu sendiri diperkasakan perjuangannya, insya-Allah sudah tentu bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ditepuk dada ditanya selera.
Dan laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan merit. – UTUSAN










