Mahukah orang Cina undi Pas?

Mahukah orang Cina undi Pas?

PAS pernah berganding bahu dengan DAP bersama PKR dan Parti Rakyat Malaysia membentuk Barisan Alternatif pada 1998, kemudian bersepakat dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat bagi melawan BN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sesungguhnya kebanyakan pengundi Cina di seluruh negara dan pengundi di kawasan bandar mengundi Pakatan Harapan (PH). Namun, PH hanya menang 82 kerusi. Kutipan kerusi PH lebih kurang sama dengan PRU lepas. Semasa PRU 2018, Barisan Nasional (BN) masih gagah terutama UMNO memiliki kekuatan yang tinggi. Akan tetapi dalam PRU15, tiada mana-mana gagasan berjaya memperoleh majoriti lebih 50 peratus dalam pertandingan kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Perikatan Nasional (PN) cuba membentuk kerajaan pada malam pengiraan undi PRU15 dengan menarik beberapa wakil rakyat BN. Dilaporkan 10 daripada 30 ahli Parlimen yang menang di bawah tiket BN telah membelot ke PN. Akan tetapi disebabkan wujudnya undang-undang antilompat parti, maka mereka akhirnya kembali ke pangkuan BN.

Difahamkan sebelum hari penamaan dalam PRU15, semua calon BN yang dilantik telah menandatangani satu dokumen yang wajib akur dengan perintah parti dan presiden.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akhirnya, atas muafakat antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), BN dan PH, terbentuknya kerajaan perpaduan buat kali pertama di negara kita. Kemudian, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa calon Bebas turut menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Dengan itu, kini kerajaan perpaduan memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

Bagi PN pula, mereka sebenarnya memperoleh kemenangan yang agak besar di semua negeri di Semenanjung kecuali di Negeri Sembilan. Di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, PN memenangi kebanyakan kerusi Parlimen. Di Johor, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas juga mendapat kemenangan dikagumi, khususnya wakil rakyat Pas berjaya memecah legasi keluarga Anwar di kerusi Parlimen Permatang Pauh sejak 1982.

Melalui keputusan PRU15, PN mendapati mereka berjaya muncul sebagai pilihan utama pengundi Melayu, malah populariti dan sokongan parti itu semakin meningkat.

Semasa PN memegang tampuk pemerintahan kerajaan, Pas merupakan salah satu anggota gagasan parti itu dengan menerajui beberapa kementerian dalam Kabinet. Namun, bagi pengundi Cina, hujah-hujah pemimpin Pas yang tidak toleran sering kali menyinggung perasaan kaum bukan Melayu. Malah, polisi-polisi yang dilaksanakan di negeri-negeri pemerintahan Pas dikatakan mengabaikan kehendak kaum bukan Melayu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap ramai sebagai seorang ahli politik yang kecil hati dan kurang keyakinan.

Lain cerita pula di Kelantan dan Terengganu. Disebabkan penduduk Cina di kedua-dua negeri ini tidak ramai, maka undi mereka tidak signifikan sehingga boleh mempengaruhi keputusan PRN. Maka, Pas tidak begitu mengambil berat tentang kepentingan mereka.

PINTAR BERPOLITIK

Pada teorinya, dengan sokongan padu daripada pengundi Melayu, Pas sudah cukup untuk mencapai kemenangan dalam PRN. Maka bagi Pas, mereka hanya perlu menumpukan sasaran di utara Semenanjung dan negeri-negeri Pantai Timur yang telah lama mereka bertapak.

Selain itu, Pas juga memperoleh kemenangan baharu di beberapa kawasan Parlimen tumpuan pengundi Melayu di bahagian timur Pahang, utara Perak, Selangor dan Melaka pada PRU15. Kemenangan ini menambahkan lagi keyakinan Pas dalam PRN akan datang. Barangkali Pas dan PN akan memberi tentangan hebat kepada kerajaan perpaduan di kerusi-kerusi berkenaan.

Sesungguhnya hasil keputusan PRU15 yang cemerlang sudah banyak memberangsangkan Pas dan PN. Jikalau undang-undang antilompat parti tidak dilaksanakan, pucuk pimpinan kerajaan sekarang mungkin sudah berada di tangan PN.

Pada pandangan saya, Pas memang pintar berpolitik dan bekerjasama dengan parti-parti lain. Parti ini biasanya menggunakan strategi berpakat dengan musuh kedua untuk menumpaskan musuh utama. Pas pernah menjadi anggota BN dan merupakan rakan segagasan dengan UMNO. Kemudian Pas berganding bahu dengan DAP, PKR dan Parti Rakyat Malaysia bagi membentuk Barisan Alternatif (BA) pada 1998 untuk melawan BN. Tidak lama kemudian, Pas bersepakat dengan PKR dan DAP membentuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Seterusnya, Pas bersekutu dengan Bersatu menjadi anggota PN. Baru-baru ini, Pas menyokong dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang dianjurkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bagi saya, Pas merupakan sebuah parti yang mengamalkan dasar fleksibel dan sanggup melakukan sesuatu demi kepentingan parti dan pemimpinnya.

Orang mungkin beranggapan Pas sebuah parti yang kurang berprinsip. Akan tetapi sememangnya itulah pendekatan lazim diamalkan oleh Pas demi kelangsungan parti. Semasa Pas memerlukan undi Cina, mereka akan mendekati pengundi Cina dengan kata-kata manis bahawa kehidupan umat bukan Islam tidak akan tergugat sama sekali sekiranya mereka memerintah.

Untuk mengukuhkan kemenangan mereka pada PRN di enam negeri, Pas kini memujuk anak-anak negeri yang bekerja di luar Kelantan dan Terengganu agar pulang ke kampung halaman untuk mengundi mereka.

Pada suatu ketika dahulu, apabila Pas masih seiring dengan PR, pengundi Cina memang tergerak untuk mengundi Pas. Akan tetapi, kini tanggapan pengundi Cina terhadap Pas sudah banyak berubah.

Pas sesungguhnya tidak menaruh apa-apa harapan terhadap undi bukan Melayu. Barangkali Pas hanya akan merenungi permasalahan mereka sekiranya mengalami kekalahan pada PRN di enam negeri nanti, bak kata pepatah sudah terhantuk baru tengadah. – UTUSAN

DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×