SAYA tertarik dengan laporan akhbar ini berkenaan sasaran graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebanyak 60,000 orang sejak awal bulan ini. Benar, sasaran ini memerlukan masa untuk dicapai. Bukan sahaja kerana faktor-faktor yang telah dilaporkan tetapi juga satu lagi unsur, iaitu isu-isu berkaitan penyeliaan pelajar PhD di universiti tempatan.
Menurut laporan berita berkenaan, tidak realistik dalam menetapkan jangkaan 60,000 graduan PhD menjadi punca sasaran itu gagal dicapai pada tahun ini. Hal ini kerana Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati nilai kumulatif keluaran PhD dalam negara dari 2015 hingga 2021 adalah sebanyak 17,379 orang sahaja manakala Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 menyasarkan 60,000 graduan menjelang 2023.
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose ketika bercakap kepada Utusan Malaysia menjelaskan, antara punca lain kegagalan itu adalah tiada geran penyelidikan dan penangguhan program MyBrain bagi menaja individu untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Katanya, tiada minat dalam kalangan belia sendiri untuk belajar sehingga tahap PhD setelah melihat prospek yang tidak memberikan impak besar kepada peluang kerjaya dan pendapatan lebih lumayan.
Tidak sedikit pelajar PhD terpaksa menghabiskan pengajian mereka dengan bimbingan penyeliaan yang minimum. Segelintir penyelia PhD selalu memberikan alasan sibuk dengan pelbagai komitmen universiti lain untuk meminimumkan tanggungjawab mereka kepada pelajar-pelajar ini. Jika penyelia ini sudah terlalu sibuk, mengapa mereka masih lagi menerima pelajar baharu untuk diselia?
Sudahlah ramai pelajar ini kadangkala hanya dapat bertemu muka dengan penyelia sekali dalam setiap semester, sekarang dituntut pula untuk memahami kesibukan para penyelia mereka? Mengapa pula pelajar PhD yang perlu bertolak ansur, memahami serta berkorban dalam hal ini? Sedangkan mereka sebenarnya adalah ‘pelanggan’ kepada penyelia serta universiti.
Apabila para pelajar ini belum dapat mencapai standard yang penyelia mahukan, mereka dianggap sebagai tidak mempunyai daya usaha dan hanya mahu disuap semata-mata. Lebih malang lagi, para pelajar ini diminta untuk tidak menganggap penyelia sebagai sumber ‘Youtube’ atau ‘Google’ mereka. Pelajar dituntut untuk mencari segala-galanya secara bersendirian dan penyelia hanya berperanan sebagai seorang penyemak. Adakah ini yang sepatutnya berlaku dalam penyeliaan pascasiswazah?
YURAN
Seterusnya, mungkin kerana kekurangan ilmu daripada pihak penyelia ini sendiri, para pelajar pula diminta untuk menyertai kelas-kelas panduan penyelidikan berbayar yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan bagi menyiapkan kajian PhD mereka. Timbul persoalan lain di sini, apakah fungsi yuran dibayar oleh pelajar ini yang mencecah belasan sehingga puluhan ribu ringgit jika mereka tidak mendapat khidmat nasihat daripada para penyelia ini? Sebaliknya harus membayar kepada pihak lain pula?
Apa pula peranan penyelia dalam memperkasa ilmu penyelidikan pelajar PhD ini? Adakah penyelia ini dibayar hanya untuk berkata, ‘Baca lagi’ dan ‘Cari lagi’ pada setiap kali perjumpaan bersama pelajar mereka, tanpa para pelajar ini diberitahu secara khusus tentang apa yang perlu ‘dibaca’ atau ‘dicari’ lagi? Mestikah proses pencarian dan pembacaan ini dilakukan secara sepihak semata-mata, atas alasan yang sedang melanjutkan pelajaran itu adalah pelajar dan bukanlah penyelia?
Bukankah lebih baik kedua-dua pihak berusaha bersama-sama untuk memperkayakan bidang ilmu masing-masing?
Ini bukanlah bertujuan menyalahkan mana-mana pihak tetapi untuk membuka mata tentang sisi lain sistem penyeliaan pascasiswazah di universiti di negara ini. Perjalanan pelajar pascasiswazah memang tidak mudah. Namun, sangat tidak adil jika segalanya diserahkan kepada para pelajar ini dan penyelia hanya bertindak sebagai penyemak semata-mata.
Kita juga tidak mahu kitaran toksik penyeliaan pelajar PhD ini terus berulang. Pada masa depan, pelajar PhD ini bakal menjadi seorang penyelia juga, dan mereka juga akan melakukan hal yang sama. Sambil mendabik dada tentang bagaimana mereka berjaya melakukannya, tanpa memikirkan aspek-aspek lain yang mempengaruhi kejayaan pelajar PhD seiring perubahan masa dan dunia.
Isu-Isu ini jika tidak diberi perhatian akan terus menghambat pelajar PhD sedia ada untuk menghabiskan pengajian mereka dalam tempoh sepatutnya. Ia juga bakal menghindarkan bakal pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD kerana mereka berasa tidak mendapat sokongan yang sepatutnya. Perkara ini bakal dampak kepada sasaran penghasilan graduan PhD negara pada masa depan.
Tahniah kepada para penyelia PhD yang sangat membantu pelajar di bawah seliaan mereka. Buat yang lain pula, tanyalah hati nurani anda. Dan pastinya belum terlambat untuk melakukan tanggungjawab kepada pelajar anda dengan sebaik-baiknya. Membantu pelajar PhD tidak akan menjadikan mereka tidak berdikari. Membantu mereka sebenarnya akan menunjukkan jalan bagaimana mereka boleh menjadi lebih baik. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.










