Kita juga perlu pandang ke India

Kita juga perlu pandang ke India

KERAJAAN kepimpinan Anwar Ibrahim juga perlu menoleh ke India yang kini menjelma sebagai negara gergasi ekonomi dunia setanding China. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHINA merupakan sebuah kuasa besar ekonomi di Asia Timur dengan mengeksport barangan bernilai RM2.14 trilion, melayakkan diri sebagai negara pengekspot nombor satu di dunia. Maka lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini adalah wajar malah strategik dalam usaha mengeratkan bukan sahaja hubungan diplomatik, malah meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia-China ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

Pada masa sama, kerajaan perpaduan kepimpinan Anwar juga perlu menoleh ke India yang kini menjelma sebagai negara gergasi ekonomi setanding China malah dijangka mengatasi China dalam sedikit masa lagi. Malah India yang mempunyai penduduk berjumlah 1.39 bilion berpotensi menjadi pasaran pengguna terbesar di dunia seperti China. India juga berpotensi menjadi kuasa gergasi ekonomi dunia setanding Amerika Syarikat (AS) selain China.

Dalam pada itu, perlu ambil maklum bahawa India kini dilantik sebagai Presiden Kumpulan 20 (G20) bagi tahun ini. G20 adalah gabungan 20 negara kuasa besar ekonomi dunia yang meliputi dua pertiga penduduk dunia serta 90 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. Malah G20 juga menguasai lebih 80 peratus daripada jumlah nilai perdagangan dunia.

Selain itu, India juga kini dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO). Dengan itu, New Delhi, ibu kota India, dijangka menjadi pusat diplomasi dunia. India selaku negara yang menerajui G20 dan SCO sudah pasti akan menarik perhatian pemimpin-pemimpin seluruh dunia, sama ada negara besar atau kecil, membanmgun atau sedang membangun, terhadap kedudukan vantage (baik) dan peranan India dalam diplomasi global.

Negara-negara kuasa besar ekonomi dunia terutama yang memainkan peranan penting dalam politik global seperti AS, Russia, China dijangka menumpukan perhatiannya untuk mendekati India dalam usaha mengekalkan, meningkatkan dan menguatkan hubungan demi kepentingan negara masing-masing.

Memandangkan hubungan antara Malaysia dan India dalam bidang ekonomi berputik, mengembang dan segar sejak berabad-abad lalu, maka kerajaan pada ketika ini perlu menoleh perhatiannya kepada India dalam usaha mengambil peluang serta manfaat. Pada masa lepas, hubungan antara Malaysia dan India bukan sahaja berlandaskan diplomasi kedua-dua negara, malah hubungannya lebih erat dalam bidang politik dan ekonomi berteraskan hubungan rapat yang unik antara penduduk India dan Malaysia sejak zaman pentadbiran British lagi.

DIASPORA

Lebih-lebih lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang sosiobudaya pula lebih mampan dan kukuh kerana wujudnya rakyat yang terdiri daripada komuniti diaspora atau PIO (people of India origin) di negara ini yang bilangannya agak besar juga.

Dalam pada itu, pelaburan India di Malaysia didapati mencecah RM4.97 bilion melibatkan lebih 150 syarikat. Malaysia pula didapati telah melabur lebih RM31.06 bilion di India dalam projek-projek telekomunikasi, perdagangan petroleum, pembinaan lebuh raya, lapangan terbang, transit aliran ringan (LRT), jalan raya dan lain-lain kemudahan infrastruktur.

Projek-projek raksasa infrastruktur tersebut dibina oleh syarikat serta kontraktor dari Malaysia atas hasil usaha Tun S. Samy Vellu, bekas Presiden MIC yang dilantik sebagai Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan pada 2011. Pelantikan Samy Vellu telah membantu membuka lebih banyak peluang untuk diterokai oleh ahli perniagaan Malaysia di India.

Seterusnya, Tan Sri S.A. Vigneswaran, Presiden MIC yang dilantik sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan pada 2021 juga telah memainkan peranan dalam merapatkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan India. Bahkan, Vigneswaran juga telah membuka banyak peluang bagi peniaga kedua-dua negara melabur dan menjalankan perniagaan dan perdagangan serta projek-projek dalam bentuk kerjasama demi kepentingan rakyat negara masing-masing.

Sehubungan ini, kerajaan perpaduan digesa mengambil kira perkembangan politik dan ekonomi global mencabar khususnya pembangunan drastik yang diperoleh India pada dewasa ini. Melantik semula Vigneswaran selaku Presiden MIC untuk meneruskan peranannya sebagai Duta Khas ke India dalam menyambung semula tugas-tugas yang tertinggal dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India demi kepentingan ekonomi Malaysia adalah wajar.

Memandangkan tidak ada wakil MIC dalam kerajaan perpaduan atau kerajaan Madani Malaysia, maka masyarakat India di negara ini akan berasa gembira dan lega dengan lantikan semula seorang pemimpin sebuah parti politik yang mewakili sebilangan besar komuniti India sebagai Duta Khas ke India. Malah kerajaan India kepimpinan Narendra Modi juga dipercayai berasa selesa dengan lantikan Vigneswaran kerana hubungan beliau dengan pemimpin-pemimpin kerajaan India adalah amat mesra dan rapat, khususnya dengan pemimpin-pemimpin kerajaan Tamil Nadu. Kerajaan Tamil Nadu baharu sahaja meluluskan pelaburan bernilai RM18.19 bilion dalam pelbagai projek petroleum di Tamil Nadu. – UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×