Gelombang perpaduan ganti gelombang hijau?

Gelombang perpaduan ganti gelombang hijau?

BIBIT-BIBIT ‘gelombang perpaduan’ dikatakan sudah kelihatan melalui kejayaan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri yang bakal berdepan PRN, tidak lama lagi. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh kira-kira dua bulan lagi, pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung di enam negeri. Tiga negeri adalah milik Pakatan Harapan (PH), iaitu Pulau Pinang (DAP) serta Selangor dan Negeri Sembilan (PKR). Tiga negeri lagi adalah milik Perikatan Nasional (PN), iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu (Pas).

PRN ini sebenarnya tidaklah kritikal. Keputusannya tidak akan menjejaskan kerajaan perpaduan di peringkat nasional. Walau menang, walau kalah di enam negeri ini, kerajaan perpaduan tetap kukuh dengan majoriti dua pertiga atau 148 kerusi di Parlimen.

Walaupun tidak kritikal, PRN ini tetap penting sebagai satu maklum balas atau referendum ke atas penerimaan umum rakyat terhadap kerajaan perpaduan. Jika kerajaan perpaduan mampu mengekalkan status quo apa lagi merampas negeri tertentu milik Pas, maka ini boleh ditafsir bahawa rakyat menerima kerajaan perpaduan. Sebaliknya jika PN pula merampas negeri tertentu milik PH atau menguatkan kedudukan mereka di negeri tersebut, maka bermakna rakyat bermasalah dengan kerajaan perpaduan.

Perlu diingat iktibar lalu betapa kerajaan PH runtuh pada 24 Februari 2020 hanya kerana satu keputusan pilihan raya kecil (PRK) yang di mata kasar tidak bermakna apa-apa. Kerajaan PH masih solid dengan majoriti kukuh di Parlimen sewaktu PRK Tanjung Piai, Johor berlangsung pada 16 November 2019 ekoran kematian penyandangnya dari PH.

Begitupun, majoriti besar 15,086 undi diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng mengalahkan calon PH, Karmaine Sardini, segera menimbulkan keributan.

Keputusan ini ditafsirkan oleh pasukan pemikir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan PH ditolak oleh pengundi Melayu yang akan membahayakan kedudukannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Lantas keputusan segera diambil oleh pimpinan Bersatu untuk menarik diri dari PH bersama 11 ahli Parlimen yang keluar dari PKR sekali gus menumbangkan kerajaan PH.

Ramai berkata mengenai fenomena ‘gelombang hijau’ yang menyaksikan PN menyapu bersih semua kecuali satu kerusi Parlimen di kawasan-kawasan Melayu dalam PRU15. Pandangan objektif saya ialah gelombang hijau merupakan satu fenomena sementara yang tidak dijangka walau oleh PN sendiri. Ia muncul kerana faktor tertentu pada masa tertentu itu.

Gelombang hijau lebih kepada mainan emosi, tindak balas spontan kepada kesilapan tertentu yang dilakukan oleh pemimpin parti tertentu pada waktu itu dan ia sukar untuk berulang. UMNO contohnya, telah kembali stabil. Isu-isu membabitkan hala tujunya telah diselesaikan. Pemimpin-pemimpinnya yang bermasalah juga telah terkeluar dari saf kepimpinan.

TANDA ARAS

Oleh itu, tanda aras perlu digunakan bagi meramalkan keputusan PRN bukan keputusan PRU15 tetapi PRU14 yang berlangsung dalam suasana UMNO stabil. Dalam PRU14, PH dominan di dua negeri. Di Selangor, PH menang 51 kerusi berbanding BN (4) dan Pas (1). Di Pulau Pinang, PH menang 37 kerusi berbanding BN (2) dan Pas (1).

Di dua negeri lain, keadaan lebih seimbang dengan kelebihan kepada PH. Di Negeri Sembilan, PH menang 20 kerusi berbanding BN (16). Di Kedah, PH menang 18 kerusi berbanding BN (3) dan Pas (15).

Di Kelantan, Pas menang 37 kerusi berbanding BN (8). Di Terengganu, Pas menang 22 kerusi berbanding BN (10).

Dengan kerajaan perpaduan yang kukuh dan stabil di peringkat Pusat bersama restu Yang di-Pertuan Agong (Agong) dan raja-raja Melayu, tidak mustahil ‘gelombang perpaduan’ pula akan muncul dalam PRN. Pada masa sama, hubungan PN dengan Seri Paduka dan raja-raja Melayu dilihat semacam bermasalah. Ada dua insiden besar berlaku yang menunjukkan hal ini.

Pertama, bila keluar titah Istana Negara pada 29 Julai 2021 menyatakan rasa amat dukacita Seri Paduka kerana pengumuman pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai 2021 yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen serta membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara.

Kedua, bila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 22 November 2022, beliau menandatangani tidak bersetuju bila dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk PN membentuk kerajaan perpaduan bersama PH sambil menegaskan PN wajar mendapat mandat membentuk kerajaan berdasarkan 115 akuan bersumpah (SD) yang telah dihantar ke Istana Negara.

Begitu juga tindakan pemimpin-pemimpin PN yang terus-terusan mempertikaikan kerajaan perpaduan serta menyatakan hasrat untuk menggulingkannya di pertengahan penggal walaupun telah dinasihatkan secara umum supaya tidak berbuat demikian.

Semua ini memberi imej tidak baik kepada PN. Apa lagi bila laungan mengenai kleptokrasi atau kluster mahkamah yang dipalitkan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO kini tidak lagi boleh digunakan dengan berkesan setelah pemimpin-pemimpin PN juga dihadapkan ke mahkamah.

Gelombang perpaduan tidak terlalu sukar untuk wujud. Bibit-bibitnya juga kelihatan sudah muncul melalui kejayaan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Madani Bersama Perdana Menteri yang mendapat sambutan hangat di enam negeri tersebut.

Ditambah pula kejayaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bertemakan Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia pada 14 Mei lalu, diikuti majlis serupa di negeri-negeri. Satu langkah bijak bagi memaparkan kebersamaan kerajaan perpaduan ialah cadangan supaya calon-calon PH menggunakan logo BN di Kelantan dan Terengganu dalam PRN. Ini selaras dengan realiti semasa politik di dua negeri itu.

Lebih cantik lagi jika dapat dimunculkan poster boy PH-BN di dua negeri berpotensi untuk merampas kembali daripada Pas berdasarkan rekod kejayaan BN lalu, iaitu Kedah dan Terengganu. Malah di Kelantan pun, jika Tengku Razaleigh Hamzah selaku tokoh veteran BN yang berperanan besar menukar kerajaan negeri itu dalam PRN 1978 dan PRU 1990 menahkoda jentera PH-BN kali ini, tidak mustahil Pas akan kecundang menyembah bumi. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN