PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan turut memberi sinar harapan kepada penggerak industri perbukuan dan pencinta karya tempatan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi kepercayaan untuk mempergiat usaha terjemahan karya.
Harapan yang diletakkan adalah agar badan-badan itu bijak memilih karya bermutu supaya memenuhi selera intelek para pembaca. Peruntukan khas RM20 juta diluluskan khusus bagi tujuan itu.
Sebenarnya, tanggungjawab DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan bukan hanya kepada usaha menterjemah karya sastera Melayu klasik kepada bahasa Inggeris, tetapi juga memastikan karya bermutu pelbagai bahasa dari negara-negara luar turut mampu dinikmati pembaca dalam bahasa kebangsaan. Reputasi dan rekod DBP dan ITBM sedia diketahui umum dan tidak perlulah dihuraikan di sini.
Apa yang lebih penting adalah harapan orang ramai, iaitu para pencinta buku supaya mendapat manfaat setimpal dengan dana khas RM20 juta yang disediakan kerajaan. Misalnya, DBP berpegang kepada syarat bahawa hanya penulis yang menghasilkan karya bahasa Melayu layak menerima pengiktirafan menerusi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara.
Hal ini bermakna pengarang Malaysia yang menghasilkan karya bahasa Inggeris, Cina atau Tamil serta menang pelbagai anugerah berprestij peringkat antarabangsa masih tidak layak mendapat apa-apa pengiktirafan daripada DBP. Kita mungkin lupa, walaupun DBP ditubuhkan untuk memperkembangkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan, Akta DBP jelas menyebut salah satu tugasnya termasuk ‘mencetak dan menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain.’
Hakikat ini seolah-olah ‘disembunyikan’ sehingga masyarakat menganggap DBP hanya diberi dana dan kuasa oleh kerajaan untuk mengembangkan bahasa dan sastera Melayu. Memanglah DBP ada menerbitkan buku-buku terjemahan daripada bahasa Cina tetapi segala kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak luar.
Pengarang Malaysia yang mencipta nama di peringkat antabangsa dan menggondol pelbagai anugerah luar negara tidak dipandang, semata-mata kerana menulis menggunakan bahasa Inggeris. Kepincangan dan sikap menganaktirikan penulis Malaysia seperti yang berlaku ini amat perlu didedahkan supaya disedari pihak atasan. Tambahan pula, saya bimbang memikirkan kemungkinan dana RM20 juta itu digunakan secara eksklusif untuk mengangkat karya kelompok tertentu tanpa benar-benar mewakili keseluruhan golongan penulis pelbagai kaum di Malaysia.
Kita ada ramai penulis tempatan yang menghasilkan karya sastera bermutu dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Cina. Malah, di Sabah dan Sarawak pula ada penulis yang mengekalkan penulisan dalam bahasa suku etnik masing-masing.
Sepatutnya, karya-karya mereka diberi keutamaan untuk diterjemahkan ke bahasa kebangsaan seterusnya ke bahasa-bahasa lain. Janganlah kita meneruskan tradisi anak kera di hutan disusui, anak sendiri mati kelaparan.
Kumpulan Sasterawan Kavyan sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan kelompok penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya pelbagai bahasa. Maka, segala kepincangan yang diketengahkan adalah berdasarkan fakta dan realiti.
INDIE
Buat masa sekarang, tanggungjawab menterjemah karya penulis tempatan kepada bahasa kebangsaan diusahakan orang perseorangan atau penerbit bebas (indie). Buku-buku ini pula mendapat tempat jauh lebih baik di hati orang ramai berbanding karya terjemahan DBP.
Sebagai individu yang terlibat dalam sastera kebangsaan sejak 1992, saya amat menggalakkan dan mengharapkan para penulis mampu menghasilkan karya secara asli dalam bahasa kebangsaan. Namun begitu, saya tidak pula menolak hak dan pilihan mana-mana individu untuk menulis dalam mana-mana bahasa. Tidak ada sesiapa yang berhak menafikan hak penulisan dan penerbitan karya bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan sebagainya selagi tidak melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Sebagaimana dinyatakan, memang ada banyak karya selain bahasa kebangsaan oleh penulis Malaysia yang amat bermutu dan wajar diterjemah supaya dapat dinikmati orang ramai. Janganlah pula kelemahan, amalan eksklusif atau agenda tersendiri penerima dana kerajaan membuatkan kelompok penulis Malaysia terpinggir daripada diberi hak karya mereka diterjemah.
Namun begitu, perlu ditegaskan juga, para penulis karya Inggeris, Tamil dan Cina tidaklah terlalu mengharap dan merayu supaya diberi peluang. Begitu juga dengan ramai penulis karya bahasa kebangsaan yang lebih selesa mencari penerbit indie atau menerbitkan sendiri (swaterbit) berbanding terhegeh-hegeh merayu simpati penerbit besar yang ada agenda tersendiri.
Sejak 2000, saya menerbitkan sendiri buku-buku menggunakan konsep ‘modal sosial’ di mana rakan-rakan sama ada penulis atau bukan penulis, tampil membantu menampung sebahagian kos penerbitan. Langkah ini turut membantu saya lebih mengenali khalayak yang berminat menyokong dan membaca karya saya.
Buat masa sekarang, saya sedang mengusahakan projek terjemahan 10 buah cerpen saya ke dalam bahasa Inggeris untuk diterbitkan. Sekali lagi, saya menerima sokongan rakan-rakan yang memang sedia maklum tentang proses swaterbit menggunakan modal sosial.
Bagi kerja terjemahan pula, beberapa rakan turut menawarkan diri untuk membantu. Saya amat berpuas hati dengan kualiti terjemahan mereka.
Malah, apa yang dilakukan bukan sekadar terjemahan tetapi transkreasi. Hasilnya, karya asal saya menjadi lebih sesuai dan selesa untuk dinikmati khalayak pembaca karya bahasa Inggeris.
Sekiranya penerbit bebas dan swaterbit mampu ‘menggegar’ dengan hasil terjemahan bermutu tinggi, jangan pula dana RM20 juta daripada kerajaan dipersia dengan kerja cincai dan ala kadar. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










