BARU-BARU ini, timbul polemik berikutan ada pihak yang mengkritik langkah kerajaan meletakkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Bagi mereka, langkah itu tidak sepatutnya dibuat kerana selama ini ketiga-tiganya dilihat sebagai entiti warisan dan tiada kena mengena dengan agenda untuk mewujudkan perpaduan.
Jika dibaca misi ANM adalah memastikan tadbir urus rekod dan arkib yang efisien serta efektif melalui teknologi terkini demi kepentingan negara dan kemakmuran bersama.
Fungsi JMM pula adalah menyelidik, mengumpul, memelihara warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi negara kita, manakala misi PNM adalah memperkasa perkhidmatan perpustakaan dan maklumat berkualiti serta memelihara khazanah intelek negara bagi membentuk masyarakat berilmu. Tidak ada pun disebut tentang perpaduan!
Dalam erti kata lain, ketiga-tiganya menyimpan rekod sejarah negara yang sudah tentu lebih sesuai ditempatkan di agensi yang menguruskan seni dan budaya.
Perkembangan semasa membuktikan bahawa teguran itu ada benarnya kerana peranan ketiga-tiganya sebagai ‘penjaga’ sejarah negara dan mungkin juga dunia sangat penting berikutan wujud pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencipta sejarah-sejarah palsu yang boleh diakses secara meluas dalam internet termasuk melalui laman web rujukan, Wikipedia.
Kewujudan sejarah palsu bukanlah asing kerana ia telah ada sejak dari awal kewujudan manusia di atas muka bumi ini apabila pihak jahat dijadikan sebagai idola manakala peranan golongan baik tidak pernah diiktiraf.
Jangan terkejut jika didedahkan banyak watak adiwira dan dewa dalam filem Hollywood seperti Thor sebenarnya adalah watak-watak jahat yang telah diputihkan hasil daripada sejarah palsu ini yang dianggap benar oleh kita sekarang.
Rakyat Malaysia juga tidak berasa kekok menghirup kopi berjenama terkenal sedangkan nama terbabit memang cukup jelik sekali kerana ada kaitan dengan watak jahat yang telah membawa kerosakan di atas muka bumi ini.
Sebab itu ada pihak dengan penuh sindiran menyebut history (sejarah) sebenar adalah his story (kisahnya) yang dieja dengan dua perkataan bagi merujuk sejarah yang ditulis oleh pihak menang atau lebih berkuasa yang tidak semestinya betul.
Ini seperti yang pernah disebut oleh penyanyi jaz dari Amerika Syarikat (AS), mendiang Sun Ra, “Sejarah adalah kisahnya. Anda tidak mendengar cerita saya lagi.”
MANIPULASI
Segala maklumat yang disebar dalam internet hanya boleh dipastikan benar atau tidak berdasar rujukan silang dengan dokumen yang dipulihara oleh ANM, barangan yang dipamerkan oleh pihak JMM dan manuskrip lama dan nadir yang disimpan rapi di PNM.
Kerajaan juga perlu memberikan peruntukan khusus kepada syarikat surat khabar untuk memulihara akhbar lama edisi cetak kerana ia adalah sejarah yang boleh dijadikan rujukan paling sahih jika ada pihak yang cuba memalsukan peristiwa yang pernah terjadi. Edisi bercetak tidak senang diubah berbanding versi dalam talian.
Cukup menarik untuk dilihat keratan akhbar yang melaporkan kematian ketua gengster Itali-AS, Al-Capone (1899-1947) yang terkenal sekitar 1920-an hingga 1930-an yang telah diabadikan dalam filem The Untouchables dan Godfather.
Kerana semua maklumat yang boleh diakses dalam internet menyatakan dia meninggal dunia di rumahnya di Florida, AS setelah keluar dari penjara sedangkan ada pendapat menyatakan versi sahih ialah dia meninggal dunia ketika pergaduhan di penjara Alcatraz.
Terbaharu, jangan terkejut jika kita membaca ‘sejarah’ bahawa ada tentera laut negara-negara tertentu pada zaman dahulu yang menggunakan kaedah penyamaran dengan mengecat kapal-kapal perang atau digelar dazzle ships dengan corak seperti kuda belang.
Siapa yang pernah mendengar tentang Letupan Black Tom pada 30 Julai 1916? Dikatakan ini adalah salah satu serangan terbesar di AS. Lokasinya ialah New York dan letupan itu sama dengan gempa bumi lebih lima magnitud.
Ia sangat teruk sehingga menyebabkan kerosakan kekal pada patung Statue of Liberty. Ini dikatakan telah dilakukan oleh Jerman dan menyebabkan AS memutuskan terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Pertama. Ada pihak yang mendakwa fakta itu adalah sejarah palsu yang disebarkan di dalam internet sejak akhir-akhir ini yang kebanyakan berkaitan sejarah Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945).
Adakah ia satu lawak jenaka atau eksperimen psikologi bagi mengetahui masyarakat yang kini terlalu asyik dengan gajet dapat menerima bulat-bulat apa yang dipaparkan di dalam internet, TikTok serta Facebook? Apakah individu terbabit menyedari bahawa mereka telah melalui proses gaslighting (tipu daya mental)?
Di dalam bidang psikologi, istilah gaslighting merujuk kepada satu bentuk manipulasi yang digunakan pihak tertentu hingga mangsa mempersoalkan memori, realiti dan kewarasan mereka sendiri. Manipulasi sedemikian senang dibuat kerana akal manusia mudah keliru dalam mengingati fakta.
Dalam menghadapi situasi ini, nasihat sejarawan negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam, 82, wajar dijadikan panduan apabila mengungkapkan, “Pengalaman mengajar orang yang sudah tua seperti saya mana yang karut dan mana yang betul. Yang karut jangan dibaca. Buang masa saja.”
Bagi kita yang masih muda dan tiada banyak pengalaman, macam mana mahu mengetahui sejarah yang dibaca itu palsu atau tidak? Itulah peranan penting yang perlu dimainkan oleh JMM, ANM dan PNM sebagai ‘penjaga’ sejarah Malaysia dan mungkin juga dunia. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










