Derita kanak-kanak Sudan yang tiada kesudahan

Derita kanak-kanak Sudan yang tiada kesudahan

SUNGGUH menyedihkan kerana sejak 30 tahun lalu, kadar kekurangan zat rakyat Sudan tidak mencapai peningkatan atau perubahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA artikel ini ditulis, pertempuran terus memuncak di Khartoum dan pada masa sama, wakil kedua-dua pihak bertelagah menghadiri rundingan di Arab Saudi. Rundingan berkenaan diharapkan dapat menamatkan konflik lebih tiga minggu.

Inisiatif Amerika Syarikat (AS)-Arab Saudi merupakan percubaan serius pertama bagi menamatkan pertempuran antara tentera dengan kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang menjadikan sebahagian ibu negara Sudan sebagai zon perang. Situasi ini terus mengancam nyawa rakyat apatah lagi Kementerian Kesihatan Sudan melaporkan lebih 500 orang terbunuh dan hampir 5,000 cedera.

Selain kematian dan kecederaan, konflik turut menyebabkan rakyat Sudan khususnya wanita dan kanak-kanak, iaitu sekitar 50,000 orang melarikan diri ke negara-negara jiran. Yang menjadi tumpuan termasuk Chad, Mesir, Sudan Selatan dan Republik Afrika Tengah. Hal ini pastinya menimbulkan kebimbangan terhadap ketidakstabilan serantau.

Kebimbangan lebih lagi terhadap keselamatan kanak-kanak misalnya disuarakan oleh jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak dilaporkan terbunuh dan lebih 50 tercedera.

Selain itu, penjagaan kritikal untuk menyelamatkan nyawa kira-kira 50,000 orang yang mengalami malnutrisi teruk lagi akut telah tergendala. Kebimbangan berkenaan sememangnya berasas kerana kanak-kanak Sudan telah pun terdedah pada masalah kekurangan zat makanan sebelum ini akibat bencana alam dan konflik dalaman. Konflik yang dimaksudkan ialah rampasan kuasa pada Oktober 2021 yang menyebabkan negara tersebut menghadapi krisis dari sudut sosioekonomi, politik dan keselamatan.

Sungguh menyedihkan kerana sejak 30 tahun lalu, kadar kekurangan zat di Sudan tidak mencapai peningkatan atau perubahan. Sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Tahunan UNICEF (2001) berhubung nutrisi di Sudan, jumlah kanak-kanak mengalami masalah tumbesaran seperti bantut semakin meningkat semenjak 1987 terutama di wilayah Darfur dan negeri di bahagian timur. Laporan tersebut juga menekankan, Sudan antara negara memiliki jumlah kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan atau malnutrisi terbesar di dunia.

Kira-kira tiga juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun menderita kekurangan zat dan daripada jumlah ini, lebih setengah juta menghadapi malnutrisi akut. Kanak-kanak ini menghadapi risiko menghidap penyakit yang teruk dan kelewatan perkembangan malah juga kematian jika tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Keprihatinan terhadap perkembangan mutakhir di Sudan turut dizahirkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melalui mesyuarat tergempar yang diadakan pada 3 Mei lalu di Jeddah. Mesyuarat berkenaan antara lain menerima cadangan negara-negara anggota untuk menghantar delegasi peringkat tinggi bagi membincangkan situasi. Langkah yang diambil ini diharapkan berjaya mencapai matlamat disasarkan, iaitu menyelesaikan konflik secara aman dan mewujudkan kedamaian di negara berkenaan sejak sekian lama. Sungguh menyedihkan kerana setiap kali berlaku konflik, pihak yang terlibat tidak mengambil kira kelangsungan hidup dan keselamatan nyawa orang awam.

Hal sama turut berlaku di Sudan sepanjang krisis meletus sejak 15 April 2023. Sebagaimana dilaporkan Program Makanan Sedunia (WFP), penghantaran bantuan makanan untuk 7.6 juta orang penduduk Sudan terpaksa dihentikan akibat pergolakan. Perkara ini sudah tentu mendedahkan penduduk kepada ancaman lebih besar.

Di samping itu, media turut melaporkan penggunaan senjata berat di tempat awam dan penduduk di Khartoum tidak mempunyai pilihan melainkan hidup secara bersama dengan tentera pejuang bersenjata. Dari aspek rawatan kecemasan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, akses masyarakat awam terganggu disebabkan rompakan kemudahan perubatan untuk kegunaan ketenteraan. Begitu juga masalah dihadapi di hospital seperti kekurangan kakitangan dan bekalan perubatan, gangguan bekalan elektrik dan air serta kekurangan bahan api untuk penjana kuasa. Semuanya ini menimbulkan cabaran kepada pekerja kesihatan dan meletakkan banyak nyawa dalam bahaya.

SARJANA ISLAM

Situasi yang menjejaskan keselamatan masyarakat awam ini jelas bertentangan dengan peruntukan dalam Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) juga dikenali Undang-Undang Konflik Bersenjata atau Undang-Undang Perang (ius in bello).

Dalam Certificate Workshop on International Humanitarian Law and Islamic Law related to Armed Conflict anjuran Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Indonesia dan Timor Leste dan Universitas Islam Negeri Mataram yang saya hadiri dari 12 hingga 16 September 2022, peranan penting IHL dan ICRC dibahaskan untuk melindungi masyarakat awam, aktivis kemanusiaan dan pekerja perubatan seandainya tercetus sesuatu konflik.

Turut dibahaskan, sumbangan besar sarjana Islam dalam menghasilkan khazanah berhubung undang-undang antarabangsa Islam seperti al-Syaibani yang terkenal melalui kitab Al-Siyar al-Kabir. Istilah siyar digunakan sesetengah fuqaha Hanafi untuk merujuk peraturan yang mengurus jenis konflik bersenjata dalam negara yang berlaku pada separuh pertama kurun Islam pertama.

Dalam membentuk undang-undang peperangan Islam dalam konflik bersenjata peringkat antarabangsa, fuqaha memberikan tumpuan utama kepada beberapa isu khususnya perlindungan orang awam dan anggota bukan penempur sebagaimana ditegaskan dalam ayat 190 surah al-Baqarah di samping perlindungan harta musuh kecuali bagi tujuan keperluan ketenteraan.

Perbahasan fuqaha tentang peraturan yang ditetapkan dalam undang-undang peperangan Islam berhubung penggunaan kekuasaan termasuk ketenteraan juga bersumberkan al-Quran, hadis serta amalan negara Islam terawal.

Sebagaimana ditegaskan Dr. Ahmed Al-Dawoody, penasihat undang-undang dan perundangan Islam ICRC dalam bengkel berkenaan, penghormatan terhadap IHL merupakan isu mendesak di negara Islam kini. Hal ini disebabkan sebahagian besar konflik berlaku di negara Islam yang antara lain disebabkan faktor sejarah dan penjajahan serta defisit tadbir urus yang baik. Perkara ini pula mengakibatkan ketidakupayaan untuk memenuhi dan menghormati prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Konflik di Sudan diharapkan dapat menemukan penyelesaian yang diimpikan meskipun cabarannya berliku lagi berkelok. Pihak bertelagah diharapkan dapat memberikan keutamaan pada kemaslahatan dan aspirasi rakyat. Selain berpegang pada prinsip setiap mukmin adalah bersaudara sebagaimana ditegaskan al-Quran, pihak bertelagah juga diharap dapat menghayati maksud kata-kata Sayyidina Ali k.w. yang menegaskan, “Terdapat dua kumpulan manusia, iaitu saudara kamu dalam agama (ukhuwah Islamiyyah) atau sahabat kamu dalam kemanusiaan (ukhuwah insaniah).” – UTUSAN

PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×