Antara G7, QUAD dan Liga Arab

Antara G7, QUAD dan Liga Arab

PARA pemimpin yang menghadiri upacara di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima, Jepun sempena Sidang Kemuncak G7, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA pertemuan penting berlaku hujung minggu lalu, iaitu Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh Negara Maju (G7), Dialog Keselamatan Kuadrilateral (QUAD) dan Liga Arab. Memang tidak dinafikan, ketua negara G7 juga terlibat dalam QUAD, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Jepun. Tetapi dua ketua negara QUAD yang lain, iaitu India dan Australia juga dijemput menghadiri mesyuarat G7. Sebab itu dihujahkan, kaitan agenda mesyuarat G7 dan QUAD tidak banyak lari di antara satu sama lain.

Tidak syak lagi, dua ketua negara yang tidak dijemput hadir dalam pertemuan G7, iaitu Russia (yang disingkir dari G7 apabila menjajah Crimea pada 2014) dan China menjadi agenda perbincangan utama bukan sahaja dalam G7 tetapi QUAD.

Perihal Russia berkait Perang Ukraine manakala China berkenaan kemelut Laut China Selatan, Taiwan dan pengaruh ekonomi.

Pintarnya ketua negara G7 merencanakan strategi mengekang Russia dan China, mereka juga menjemput ketua-ketua negara lain bersama-sama di Hiroshima demi memamerkan betapa pemimpin global bersatu hati menentang kerakusan Kremlin dan Beijing.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dijemput sebagai bekas pengerusi kumpulan yang lebih besar, iaitu G20. Begitu jua Pengerusi G20 ketika ini, iaitu India diwakili oleh Perdana Menteri Nerendra Modi turut berada di mesyuarat G7. Malah

Pengerusi G20 untuk 2024, iaitu Brazil juga dihadiri melalui Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

Kritikalnya kehadiran Pengerusi G20 dalam mesyuarat di Hiroshima ialah kerana Russia dan China adalah ahli G20 dan demi mengelak Presiden Vladimir Putin dan Presiden Xi Jinping menguasai setiap mesyuarat G20, maka penting terlebih dahulu G7 mempengaruhi pengerusi G20. Lebih menarik lagi, pengerusi G20 ketika ini iaitu India kerana Modi tidak pernah mengkritik tindak tanduk Putin terhadap Ukraine. Malah India seperti China dianggap sebagai talian hayat Putin demi membiayai perang kerana kedua-dua negara itu adalah pelanggan minyak Russia terbesar dalam senario kesukaran Kremlin menghadapi sekatan ekonomi oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Pada waktu sama, mesyuarat G7 dan QUAD berlangsung di Hiroshima, negara Liga Arab juga bermesyuarat di Jeddah, Arab Saudi. Sidang Kemuncak kali ini agak bermakna kerana dua peristiwa. Pertama, kehadiran Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky demi mempengaruhi negara-negara Arab supaya lebih bersimpati dengan perjuangan rakyat Ukraine berhadapan Russia. Ini kerana kebanyakan 22 negara ahli Liga Arab seperti Arab Saudi dan Kuwait mengambil sikap berkecuali dalam hal Perang Ukraine.

Sebab itu ucapan Zelensky banyak berkisar kepada nasib rakyat Ukraine beragama Islam, iaitu Crimean Tartar terdiri daripada satu peratus penduduk Ukraine yang majoritinya adalah beragama Kristian ortodoks. Sebab itu jua ketua komuniti penduduk Islam Ukraine, Mustafa Dzhemilev turut serta berada di Jeddah bersama Zelensky.

JET PEJUANG F16

Lebih menarik lagi ialah kehadiran Presiden Syria, Bashar al-Assad setelah disisih oleh negara-negara Arab lebih dari satu dekad lamanya. Penerimaan keanggotaan Syria oleh Liga Arab merupakan satu tamparan hebat kepada AS dan EU kerana berjayanya Assad mengharungi perang disebabkan banyak dibantu oleh Russia dan juga Iran.

Penyertaan Assad sekurang-kurangnya dalam dunia negara Arab dari segi persepsinya adalah penting buat Putin kerana Presiden Syria selama ini disisih oleh masyarakat antarabangsa tetapi akhirnya diterima oleh negara Arab akibat geopolitik dunia sudah berubah berbanding sedekad lepas. Kemungkinan Putin yang kini disisih oleh AS dan EU juga menghadapi situasi sama seperti Assad pada masa hadapan, kemungkinannya tetap ada.

Tidak syak lagi selepas mesyuarat G7, QUAD dan Liga Arab, sekatan ekonomi terhadap Russia akan diperkemas kerana selama ini sekatan hanya memberi kesan yang agak minimum terhadap kemampuan Kremlin membiayai operasi perang di Ukraine. Kehadiran Zelensky di Hiroshima itu dianggap isyarat daripada AS dan EU bahawa mereka akan terus membantu Ukraine berhadapan Russia.

Persetujuan beberapa negara membekalkan jet pejuang F16 kepada Ukraine dan Washington pula memberi lampu hijau untuk melatih juruterbang Ukraine mengendalikan F16 memperkuatkan lagi isyarat yang ingin disampaikan kepada Putin.

Begitu jua kenyataan bersama pemimpin G7 dan QUAD yang akan memastikan rantau Indo-Pasifik sentiasa bebas dan membantu negara Asia Tenggara menghadapi tindakan Beijing yang sentiasa membuli negara kecil melalui kekuatan ekonomi dan tentera China adalah sesuatu yang dijangkakan.

Tetapi dalam masa sama, pemimpin G7 dan QUAD menjelaskan mereka mahukan hubungan lebih stabil dan bermakna dengan Beijing dan dasar yang diamalkan tidak bertujuan mengekang kemajuan ekonomi China. Kandungan kenyataan yang boleh dianggap sebagai bertentangan dengan apa yang terkandung dalam penyataan bersama G7 dan QUAD.

Tidak syak lagi kesan daripada mesyuarat G7, QUAD dan juga Liga Arab, tempiasnya juga dirasai oleh kita tetapi Malaysia tetap dengan pendirian bahawa apa jua hal berkait Perang Ukraine atau Laut China Selatan, Kuala Lumpur tetap dengan pendirian berkecuali. Setiap keputusan dasar luar yang dibuat, keutamaannya adalah manfaat kepada Malaysia.

Sebab itu apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan Malaysia bersedia memperluas kerjasama pertukaran pelajar dan pemindahan teknologi dari Russia, itu adalah manifestasi dasar luar Malaysia yang berkecuali. Begitu jua apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyarankan supaya dilaksana perolehan bijirin dari Russia yang dianggap lebih berkualiti tinggi, maka kedua-dua peristiwa ini adalah gambaran dasar luar Malaysia yang berkecuali. – UTUSAN

PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×