Ruginya terlepas malam al-Qadr

Ruginya terlepas malam al-Qadr

Jangan lepaskan 10 malam terakhir Ramadan tanpa sebarang ibadat kerana ganjarannya amat besar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini 16 Ramadan. Sudah banyak stesen radio mainkan lagu raya. Awas, umat Islam jangan terpedaya. Jangan sampai lagu-lagu aidilfitri itu mengganggu fokus kita terhadap ibadat yang makin sampai ke kemuncaknya dalam Ramadan iaitulah lailatul qadr.

Setiap tahun apabila Ramadan, orang beriman tertunggu-tunggu satu malam yang amat istimewa. Malam yang dikurniakan hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW iaitulah lailatul qadr atau malam al-qadr. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Lailatul Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)

Kelebihan malam ini acapkali kita dengar. Namun, bukan semua kita memberi perhatian kepada menghidupkan malam al-qadr akibat disibukkan dengan hal-hal dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun Allah SWT merahsiakan bilakah sebenarnya berlaku malam al-qadr, Nabi SAW ada memberi panduan tentangnya. Ia berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: Carilah lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir (Ramadan). (Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain, baginda SAW memberi perincian lagi iaitu: Carilah kalian lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari 10 malam yang terakhir bulan Ramadan. (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan kedua-dua riwayat hadis di atas, fahamlah kita lailatul qadr itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan dan ia berlaku pada salah satu daripada malam yang ganjil 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Semua ini dijelaskan oleh Nabi SAW agar kita dapat merebut peluang keemasan yang dikurniakan Allah sekali setiap tahun. Lebih istimewa, ganjaran ini tidak ada had. Maksudnya, kalau ‘A’ dapat maka si ‘B’ dan ‘C’ tidak boleh dapat.
Sebaliknya, Allah berikan pahala berlipat-ganda itu kepada mana-mana hamba-Nya yang ikhlas beribadat dan mencari malam al-qadr.

Antara hikmahnya adalah untuk mengimbangi pahala dan ibadat kita dengan umat-umat nabi terdahulu. Sebabnya, umur umat Nabi Muhammad SAW relatifnya singkat iaitu umumnya 60 hingga 70 tahun. Mereka tidak seperti umat terdahulu yang memiliki usia 1,000 tahun.

MENGHIDUPKAN MALAM AL-QADR
Rasulullah SAW telah menunjukkan umatnya apakah bentuk ibadat yang boleh dilakukan dalam misi pemburuan kita mencari lailatul qadr. Perlu diingat, manusia biasanya menghargai nikmati semasa ia berada di depan mata.

Apabila nikmat itu sudah berlalu, baru hendak menyesal. Ringkas kata, semasa hidup tak pedulikan ibadat mencari malam al-qadr, setelah mati kelak mohon supaya Allah kembalikan ke dunia untuk buat amal soleh.

Ia ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabbnya, (mereka berkata), “Wahai Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia. Kami akan mengerjakan amal soleh. Sesungguhnya kami adalah orang yang yakin. (as-Sajdah: 12)

Lebih malang, dalam kalangan kita lebih ramai yang sibuk mencari tanda-tanda malam al-qadr keesokan harinya berbanding melakukan ibadat untuk mencapainya. Amat rugilah golongan yang sebegini.

Sebabnya, sudah diberi kesempatan oleh Allah berada dalam tempoh malam al-qadr tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menggapainya.

KELEBIHAN LAILATUL QADR
Antara kelebihannya adalah diampunkan dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah iaitu: Sesiapa yang melakukan qiam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran beserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu. (Riwayat Bukhari)

Qiam (menghidupkan) di sini bermaksud menghidupkan malam al-qadr dengan pelbagai ibadah seperti solat tarawih, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan amalan soleh yang lain.

Jangan kita lupa bahawa Nabi SAW, insan maksum yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT pun melipat-gandakan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan. Inikan pula kita, hamba Allah yang amat daif dan banyak buat maksiat dan dosa.

Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda SAW lakukan pada 10 malam terakhir Ramadan adalah seperti berikut:

Pertama: Mengetatkan ikatan di pinggang baginda. Imam al-Hafiz Ibn Rajab r.h berkata, yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat.

Pertama, ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah.

Maksud yang kedua pula, Nabi SAW meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada 10 malam terakhir Ramadan.

Menurut Ibn Rajab, pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. (Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab, Hlm. 332).

Kedua: Menghidupkan malam.

Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:
• Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.
• Menghidupkan kebanyakan malam dengan ibadah. Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. (Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab, hlm. 329)

Sebahagian fuqaha dalam kalangan Syafi’eyyah berkata: “(Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat subuh secara berjemaah.”
Begitu juga kata Imam al-Syafie iaitu sesiapa yang solat Isyak dan subuh (secara berjemaah) pada lailatul qadr maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). (ibid, Hlm. 329).

Ketiga: Mengejutkan kaum keluarga untuk beribadah. Ketika masuknya 10 malam terakhir Ramadan, Nabi SAW mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. (Sumber: Bayan Linnas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Dalam melakukan solat tarawih, jangan kita melupakan solat witir. Solat sunat witir adalah sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya. Rasulullah SAW sentiasa melakukan solat witir baik ketika bermukim ataupun ketika bermusafir.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menganugerahkan kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu solat witir.” (Riwayat al-Tirmidzi dan al-Hakim )

Solat witir dilakukan setelah solat isyak hingga menjelang fajar (waktu subuh). Ia dikerjakan sebagai pelengkap solat tahajjud atau solat tarawih. Ia sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang subuh.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Akhirilah solat malammu itu dengan solat witir. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah kita berazam menghidupkan malam al-Qadr. Amat besar kerugian jika kita biarkan ia berlalu begitu sahaja.-UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×