KOPI Hainan merupakan satu budaya makanan dan minuman yang unik lagi popular di Malaysia dan Singapura. Kopi Hainan boleh dikatakan menjadi minuman kegemaran harian pelbagai kaum di kedua-dua negara ini.
Pada pertengahan abad ke-19, ramai orang Cina keturunan Hainan berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari penghidupan baharu. Disebabkan kekurangan peluang pekerjaan, ramai dalam kalangan mereka bekerja sebagai tukang masak atau pembantu dapur di rumah orang British atau keluarga Baba dan Nyonya.
Lama-kelamaan, orang Hainan berjaya menghimpunkan dan menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran tentang penyediaan makanan dan minuman orang putih. Mereka mahir sekali membuat roti, kek dan biskut ala Barat.
Sesungguhnya pendedahan dan pengalaman meluas orang Hainan dalam bidang kulinari Barat dan lokal pada hari-hari awal sangat membantu mereka dalam membuka perniagaan sendiri selepas negara mencapai kemerdekaan.
Selepas zaman penjajahan British berakhir, ramai tukang masak keturunan Hainan membuka restoran atau kedai kopi sendiri untuk menjual sarapan ala Barat. Di seluruh negara, baik di pekan mahupun bandar, hampir semua kedai kopi dimonopoli etnik Hainan. Bahkan kedai kopi sudah menjadi sinonim dengan orang Hainan. Di mana tempat adanya orang Hainan, sudah tentu wujud kedai kopi yang dikendalikan oleh mereka.
Melalui tinjauan, terdapat satu persamaan yang nyata dalam kedai-kedai kopi Hainan di negara ini, yakni selain menawarkan minuman dan makanan ala Hainan, mereka turut menghidangkan nasi dan mihun bungkus serta kuih-muih Melayu sebagai daya tarikan perniagaan.
Dengan itu, pelanggan-pelanggan Melayu-Islam boleh mengunjungi kedai kopi Hainan dengan tenang. Pelanggan-pelanggan bukan Melayu juga sangat suka menikmati makanan Melayu di kedai kopi Hainan.
Di Muar, Johor terdapat sebuah kedai kopi Hainan yang bersejarah dan terkemuka. Kedai kopi tradisional itu diberi nama Heng Mui, terletak di Jalan Abdul Rahman, Taman Khalidi Baharu.
Kedai Kopi Heng Mui diasaskan oleh mendiang Tan Tak Moh pada 1968. Tak Moh berasal dari Pulau Hainan, China datang ke bandar Muar sewaktu usia muda. Pada asalnya, beliau seorang tukang jahit. Disebabkan permintaan pelanggan terhadap pakaian jahitannya semakin merosot, maka Tak Moh terpaksa mencari rezeki baharu.
Heng Mui ialah nama isteri Tak Moh. Beliau menamakan kedai kopi itu sempena nama isterinya sebagai tanda cinta dan sayang.
KAYA SEGAR
Beliau memulakan perniagaan dengan lima meja dan kerusi-kerusi di halaman rumah sewanya untuk menjual kopi dan kuih-muih Melayu kepada orang ramai. Tanpa disangka, setiap hari kedai itu dipenuhi pelanggan-pelanggan Melayu dari kawasan berdekatan untuk mengecap secawan kopi Hainan panas.
Ekoran pembangunan pesat di kawasan itu, perniagaan Kedai Kopi Heng Mui makin hari makin berkembang maju. Kemudian, ia dipindahkan ke sebuah rumah kedai berdekatan bulatan persimpangan Jalan Khalidi pada 1987. Selama beberapa dekad, Kedai Kopi Heng Mui menyediakan perkhidmatan terpuji buat pelanggan pelbagai kaum di bandar Muar.
Kehandalan pekedai membancuh kopi beraroma merupakan kunci kejayaan Kedai Kopi Heng Mui. Hal ini bukan sahaja menyebabkan pelanggan setia kekal menyokongnya, bahkan kedai ini turut berjaya menarik ramai pelanggan baharu dari jauh dan dekat.
Leo Poh Poh, anak sulung Tak Moh yang kini menerajui kedai kopi tua itu menambah, makanan tradisi ialah kaya segar yang disediakan setiap hari. Kaya Hainan buatan tangan itu dihasilkan berpandukan resipi asli dan tidak mengandungi sebarang pengawet atau pewarna.
Adik Poh Poh, Sing Kuang dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan kaya setiap hari bagi menjamin kesegarannya.
Roti bakar dipanggang dengan arang kayu di kedai kopi itu akan disapukan dengan kaya yang baru siap dikukus dari dapur. Maka, patutlah semua pelanggan tertarik untuk menikmati secawan kopi asli Hainan bersama set roti bakar di kopitiam itu.
Kini, Kedai Kopi Heng Mui masih mempertahankan budaya dan strategi perniagaan seperti diamalkan sejak pembukaan kedai itu. Setiap hari, terdapat keluarga Melayu yang membekalkan kuih-muih dan makanan untuk kedai ini. Antaranya kuih lapis, karipap, mihun goreng, mi siam dan nasi lemak.
SULTAN
Pelanggan tetap terdiri daripada kaum Cina, Melayu dan India berkunjung ke Kedai Kopi Heng Mui dari generasi ke generasi. Sehubungan itu, Kedai Kopi Heng Mui secara tidak langsung memainkan peranan sebagai tempat pertemuan pelbagai kaum untuk berkenalan dan bersosial.
Pelanggan-pelanggan berbeza kaum dan latar belakang sanggup berkongsi meja dan berbual mesra sambil menikmati makanan. Inilah satu-satunya ciri keharmonian yang sukar dicari di kedai-kedai makan lain.
Kini, keempat-empat generasi keluarga Tak Moh berganding bahu memartabatkan legasi nenek moyang mereka. Operasi perniagaan kedai kopi Hainan tersebut bukan sahaja mengeratkan ikatan keluarga itu, malah menyimpan memori bersama segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum di bandar Muar sejak dahulu hingga sekarang.
Menurut Poh Poh, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pernah mencemar duli berkunjung beberapa kali ke kedai berkenaan. Katanya, kunjungan baginda sangat mengujakan mereka sekeluarga untuk menyambung warisan perniagaan kedai kopi Hainan milik ayah. – UTUSAN
PENULIS ialah graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Cina dari Universiti Xiamen Malaysia.










