RANGKAIAN telekomunikasi generasi kelima (5G) di Malaysia sering diperdebatkan dalam kalangan masyarakat khususnya pembuat dasar berhubung pelaksanaan pihak mengendalikan usaha itu agar capaian internet dapat dirasai seluruh rakyat Malaysia.
Hal ini berlaku setelah wujud dakwaan Malaysia antara negara terlambat untuk pelaksanaan 5G meskipun hasrat menembusi rangkaian itu sudah lama dirancang kerajaan. Dua persoalan yang sering ditimbulkan adalah penglibatan Digital Nasional Berhad (DNB), sama ada syarikat itu benar-benar telus dalam mengendalikan pelaksanaan 5G. Isu kedua adalah monopoli.
Namun, kita boleh berbangga kerana pelaksanaan 5G berada di landasan sebenar kerana DNB telah berjaya mencapai sasaran liputan sebanyak 55 peratus dalam tempoh lebih setahun berbanding 4G yang mengambil masa tujuh tahun bagi mencapai liputan 80 peratus kawasan penduduk.
Malah syarikat infrastruktur 5G kerajaan itu menyasarkan liputan 5G 80 peratus dijangka selesai pada tahun ini dan capaian itu merangkumi seluruh kawasan termasuk luar bandar.
Sejauh mana DNB berjaya atau tidak, ia bergantung kepada lima objektif syarikat iaitu memastikan pelaksanaan paling pantas di dunia, kedua mengelakkan pertindihan, seterusnya menggunakan spektrum terbaik. Selain itu, menjana ekonomi dan mencipta pekerjaaan serta terakhir, persaingan berdasarkan perkhidmatan.
ISU KETELUSAN
Bila berlaku peralihan kerajaan, pelaksanaan 5G sering disemak semula bagi memastikan usaha murni itu menepati piawaian pihak berkuasa. Namun, dalam soal ini, ketelusan sering menjadi persoalan adakah ia dilakukan mengikut proses yang betul atau sebaliknya.
Bagi menilai perkara ini, antara perkara perlu dilihat adalah sejauh mana pelaksanaan 5G menepati sasaran termasuk harga dan kepuasan pengguna untuk menggunakan internet dalam kehidupan seharian.
Kejayaan capaian 55 peratus dan sasaran 80 peratus menjelang hujung tahun ini menjadi indikator untuk menjawab persoalan berkenaan.
Keduanya adalah harga borong 13 sen setiap gigabait (GB) adalah antara kadar terendah untuk perkhidmatan 5G di seluruh dunia dan perkara ini pernah dilaporkan oleh media massa sebelum ini.
Malah, agihan tender dikatakan berlaku mengikut proses yang telus. Perkara ini perlu dijawab oleh kerajaan sama ada berlaku ketirisan atau sebaliknya memandangkan tidak mungkin ia terjadi sekiranya dilaksanakan harga borong berkadar rendah di samping sasaran liputan 80 peratus menjelang tahun ini, iaitu tempoh paling singkat berbanding capaian 4G.
DAKWAAN MONOPOLI
Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, monopoli bermaksud penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan, perdagangan, perkhidmatan oleh seseorang atau firma.
Tohmahan ini terpalit kepada syarikat DNB yang dikatakan memonopoli 5G tanpa penglibatan syarikat telekomunikasi lain. Sejauh mana monopoli berlaku perlu melihat adakah wujud salah guna kuasa sehingga menjejaskan perkhidmatan internet dan kurangnya kualiti di samping harga terlalu membebankan rakyat.
Seperti elektrik dan bekalan air, tiada pihak lain menguruskan perkhidmatan berkenaan selama ini atau turut dikatakan sebagai monopoli kawalan. Hal ini kerana tawaran perkhidmatan ini dikawal ketat oleh kerajaan seperti harga dan kualiti perkhidmatan.
Begitu juga dengan 5G, meskipun wujud dakwaan monopoli namun harga internet masih rendah, di samping syarikat terlibat adalah kepunyaan kerajaan. Monopoli menjadi sesuatu yang negatif jika harga terlalu tinggi di samping kualiti internet gagal dilayari dengan baik oleh rakyat.
Terpulang kepada orang ramai untuk melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif atau negatif.
TERSERAH KEPADA KERAJAAN
Akhirnya, perkara ini terserah kepada kerajaan yang kini sedang menyemak semula pelaksanaan 5G oleh DNB sama ada ia perlu atau tidak. Bagaimanapun, sebarang tindakan perlulah melihat kepada kejayaan liputan dan harga 5G pada setakat ini.
Sebelum ini Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pernah memaklumkan kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung pelancaran rangkaian mudah alih teknologi 5G yang dikatakan dimonopoli dalam masa terdekat.
Katanya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Malah, kerajaan sebelum ini telah menyatakan akan memastikan kos pelaksanaan perkhidmatan 5G terus kekal pada RM16.5 bilion bagi membolehkan pengguna menikmati internet pada harga munasabah.
Tiga perkara yang perlu dilihat kerajaan dalam melakukan semakan iaitu kesan kepada kontrak pernah dimeterai dan tawaran harga serta capaian internet yang hampir meluas di seluruh negara.
Sebarang tindakan jangan sehingga menyusahkan rakyat termasuk daripada segi harga dan capaian internet yang masih dipersoalkan dalam kalangan rakyat dengan kualiti internet untuk kegunaan perniagaan, pendidikan dan peribadi.
Janganlah kita terus menjadi negara terlambat dan ketinggalan di dalam pelaksanaan 5G sedangkan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina sudah ke hadapan dalam soal ini dengan melakukan semakan yang boleh menyebabkan pelaksanaan tertangguh. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











