TIDAK syak lagi pertemuan di antara Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dengan Presiden China, Xi Jinping menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana ini adalah pertemuan Jinping dengan pemimpin barat setelah beliau bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin beberapa hari lepas.
Tidak mengejutkan apabila perang Ukraine menjadi agenda perbincangan utama antara Sanchez dan Jinping. Rantau Indo-Pasifik pula memerhatikan dengan penuh minat hasil pertemuan Jinping dengan dua perdana menteri negara ASEAN iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong.
Singapura umpamanya begitu bangga mengumumkan pertemuan Hsien Loong dengan empat pemimpin tertinggi paling berpengaruh di China iaitu Jinping; Perdana Menteri, Li Qiang; Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji dan Wang Huning yang merupakan tokoh keempat paling berpengaruh dalam politik China.
Di Malaysia pula apabila Anwar mengumumkan pelaburan berjumlah RM170 bilion iaitu pencapaian terbesar dalam sejarah pelaburan asing negara, pertemuan dengan Jinping yang tiga minggu lepas mendapat mandat buat penggal ketiga dan pertemuan dengan Qiang yang baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri, memang agak sukar untuk menuduh lawatan Anwar membazirkan wang rakyat, yakni matlamat lawatan tidak tercapai.
Bukan sahaja jumlah pelaburan yang besar dari pelabur China itu menarik perhatian tetapi hakikatnya adalah itu tanda keyakinan pelabur asing terhadap iklim pelaburan di Malaysia yang antara lain menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia dan paling penting kestabilan politik.
Amat kritikal Malaysia berada dalam radar pelabur China kerana mereka pada ketika ini berusaha mencari peluang di luar negara itu ekoran kesan perang dagang dengan Amerika Syarikat (AS).
Berbeza dengan sebelum ini, lawatan Anwar ke Arab Saudi dilabel sebagai tidak berjaya hanya kerana tiada pertemuan tercetus dengan Raja Salman ataupun Putera Mahkota, Mohammed Bin Salman.
Tetapi paling mencuri perhatian adalah syarahan umum Anwar di Universiti Tsinghua yang merupakan salah satu universiti terkemuka China. Antara lain Anwar menegaskan, Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju masa depannya.
Memang betul kenyataan sedemikian rupa adalah yang lazim diungkapkan oleh pemimpin global lain terutama sekali negara kecil seperti Malaysia dan oleh itu ada yang menganggap tiada yang luar biasa kenyataan tersebut.
Apabila disoal mengenai pendirian Malaysia dalam hal sengketa dagang di antara AS dan China, Anwar menegaskan Kuala Lumpur akan membuat keputusan berlandaskan kepentingan negara. Tambah beliau lagi, ASEAN yang ditubuhkan sebagai zon bebas dan berkecuali perlu mengekalkan prinsip ini dengan satu suara.
HEGEMONI
Mengapa kenyataan Anwar dianggap menarik adalah jika dikaitkan pertemuan Jinping dan Hsien Loong, Presiden China itu antara lain menegaskan hubungan China dengan Singapura dianggap sebagai tanda aras kepada negara lain bukan sahaja di rantau ASEAN tetapi juga Indo-Pasifik.
Jinping menegaskan sikap hegemoni (dominasi sesebuah negara) dan membuli tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sehingga penduduk Asia tidak mempunyai peluang untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Tanpa menyebut nama kuasa besar itu tetapi besar kemungkinan Jinping bermaksud negara itu adalah AS. Kenyataan ini sebenarnya selari dengan kenyataan Anwar dalam syarahan umum di Universiti Tsinghua sebelum ini.
Menarik dibuat kaitan kerana Anwar dan Hsien Loong selama ini dianggap pemimpin yang lebih selesa dengan pemimpin barat yang lain iaitu dasar luar negara masing-masing mungkin akan lebih cenderung menyokong kuasa barat.
Pendirian Anwar adalah jelas bahawa Malaysia tidak akan memilih untuk menyebelahi antara dua kuasa besar sama ada China atau AS.
Lebih spesifik lagi berkait persefahaman pertahanan antara Washington, London dan Canberra iaitu AUKUS, Kuala Lumpur dari awal menyuarakan kebimbangan AUKUS jika tidak ditangani oleh ASEAN sebagai satu suara, mampu menggugat kestabilan rantau ini.
Ketika pertemuan dengan Jinping, Anwar menegaskan ASEAN tidak mampu untuk berpecah dan mesti mengambil sikap berkecuali dalam hal persengketaan dua kuasa besar China dan AS.
Dalam hal ini, Jinping akur dengan pendapat Anwar yang ASEAN perlu mengamal sikap berkecuali. Mungkin jua ada maksud yang dalam bila Jinping menyifatkan hubungan China-Singapura adalah tanda aras hubungan negara lain dengan China di rantau Asia.
Anwar sering menyatakan beliau tidak mahu hubungan Kuala Lumpur – Beijing kekal dalam keadaan status quo tetapi mahu melihat ia melonjak ke paras yang lebih aktif.
Beliau bukan sahaja telah menterjermahkan melalui hasil lawatan ke China tetapi mempunyai beberapa mekanisme bagaimana untuk mencapai lonjakan ini.
Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China telah memasuki satu dekad lamanya dan perkongsian sebegini yang membuatkan peningkatan aktiviti dagang antara dua negara melonjak walaupun menghadapi tekanan pandemik, alam sekitar dan perang Ukraine.
Anwar juga menilai perjanjian perdagangan terbesar dunia iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang mana Malaysia dan China turut sertai adalah pemangkin hubungan dagang lebih aktif antara dua negara ini.
Mungkin jua lawatan Anwar ini boleh disimpulkan hanyalah pemula kepada hubungan yang lebih baik bukan sahaja dalam hal ekonomi, tetapi merangkumi jua hal geopolitik dan sosial. – UTUSAN
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).











