DALAM pilihan raya umum antara 1995 hingga 2004, MCA dan Gerakan pernah mengalahkan DAP dengan cemerlang di banyak kawasan tumpuan pengundi bukan Melayu. Parti komponen Barisan Nasional (BN) pada masa itu, iaitu MCA, Gerakan dan MIC pernah mencatatkan kemenangan yang membanggakan di kawasan undi campuran dan kawasan undi Melayu.
Lebih-lebih lagi pada 1999 ketika UMNO dilanda arus lawan daripada pengundi Melayu, kerusi yang dikutip oleh MCA, Gerakan dan MIC berjaya mengukuhkan semula tampuk pemerintahan BN.
Kemudian, perubahan fikiran rakyat dan kemerosotan kemakmuran parti menyebabkan situasi berubah. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, MCA masing-masing hanya memperoleh satu dan dua kerusi, Gerakan terkandas sama sekali manakala MIC tinggal satu kerusi sahaja.
Pada masa dahulu, parti-parti komponen BN mudah mendapat sokongan di kawasan majoriti pengundi Melayu. Akan tetapi, lain keadaannya pada masa ini. Dalam dua PRU lepas, pengundi Melayu sudah berani menolak UMNO, apatah lagi dengan MCA, Gerakan dan MIC yang dianggap sebagai penumpang sahaja.
Kenapakah parti-parti orang Cina dan India terus kecundang dalam keempat-empat PRU lepas? Mengapakah pengundi Cina dan India sudah tidak lagi menyokong mereka?
MIC ditubuhkan pada Ogos 1946. Pada mulanya mereka memperjuangkan kemerdekaan negara asal mereka di India. Kemudian mereka menyertai gagasan yang dibentuk oleh UMNO dan MCA pada 1954 untuk memperjuangkan kemerdekaan negara. Selepas merdeka, MIC memainkan peranan sebagai wakil masyarakat India dalam kerajaan.
Akan tetapi disebabkan masalah kemiskinan golongan bawahan masyarakat India tidak mendapat penyelesaian berkesan dalam jangka masa panjang, maka banyak kritikan dilemparkan terhadap parti itu. Kemudian wujudnya satu kuasa politik kaum India yang diasaskan oleh gabungan 30 organisasi bukan kerajaan dengan matlamat melindungi hak dan warisan masyarakat India beragama Hindu di Malaysia. Disebabkan ketidakpuasan masyarakat India terhadap MIC, lalu mereka mengundi parti pembangkang dalam PRU12.
MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949 di bawah sokongan kerajaan British. Pada 1948, Tanah Melayu diisytiharkan darurat oleh British kerana ancaman Parti Komunis Malaya (PKM). Fungsi awal MCA lebih bertujuan kebajikan. MCA membantu dalam penempatan semula masyarakat Cina yang tinggal di pinggir hutan ke kampung baharu. Kemudiannya di bawah bantuan MCA, banyak orang Cina berjaya mendapatkan kewarganegaraan.
Selepas itu, MCA bertukar peranan menjadi sebuah parti politik untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina. Pada awal kemerdekaan, MCA mendapat sokongan kuat daripada pengundi Cina dalam PRU kerana sumbangan mereka.
UNIVERSITI MERDEKA
Namun, mulai pertengahan 1960-an, ketidakpuasan terhadap MCA tercetus dalam kalangan masyarakat Cina kerana dianggap tidak dapat mempertahankan hak-hak kaum tersebut seperti diharapkan. Pada masa itu, Tun Tan Siew Sin yang dilantik menjadi Presiden baharu MCA cenderung menyokong Laporan Rahman Talib yang mendukung dasar pendidikan kebangsaan. MCA juga menyokong dasar menukarkan sekolah menengah Cina menjadi sekolah menengah jenis kebangsaan serta membantah penubuhan Universiti Merdeka yang disyorkan oleh masyarakat Cina. Tindakan Siew Sin dan pemimpin-pemimpin MCA kelihatan mengingkari kehendak masyarakat Cina dan dikecam hebat oleh parti pembangkang.
Gerakan dibentuk pada 1968. Pada 1969, Gerakan sebagai parti pembangkang berjaya memegang tampuk pentadbiran di Pulau Pinang. Pada masa sama, Gerakan turut mencapai prestasi menyerlah di Perak, Kedah, Selangor dan Melaka. Pada 1972, Gerakan diserap menjadi salah satu anggota BN. Walaupun Gerakan kelihatan kuat dan gagah, namun parti ini masih tersekat oleh dominasi UMNO dalam BN. Gerakan didapati sukar untuk menyuarakan pendapat dan mempertahankan pendirian dalam banyak isu. Impian dan strategi politik yang dirancang oleh parti itu juga tidak terlaksana.
MCA dan Gerakan didapati sering berhasad dengki sesama sendiri. Perbuatan ini menimbulkan perasaan jemu pengundi Cina terhadap kedua-dua parti berkenaan.
Pada PRU14, Gerakan bertanding di bawah gagasan BN. Namun, Gerakan kalah kesemua kerusi dipertandingkan dan keluar dari BN.
Sejak berdekad-dekad, UMNO kukuh sebagai parti terbesar dalam BN. Malangnya, sesetengah pemimpin sering kali menyuarakan kenyataan radikal yang menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu.
Walaupun MCA dan Gerakan sebagai anggota BN tetapi mereka gagal memujuk anggota dalam BN untuk mengamalkan satu dasar politik yang inklusif dan sederhana.
Punca pokok MCA dan Gerakan semakin ditolak pengundi bukan Melayu ialah mereka tidak dapat menunaikan kehendak masyarakat bukan Melayu dari segi politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Sejak 1990, masyarakat Cina acap kali berusaha untuk melakukan sesuatu pembaharuan ke atas politik Malaysia. Mereka mencadangkan sistem politik dua parti, yakni terdapat kuasa politik pembangkang yang dapat mengimbangi kuasa dominasi BN (UMNO). Mereka menghantar wakil untuk bertanding di bawah panji parti pemerintah dan pembangkang. Bahkan, mereka sanggup menyokong Pas dalam PRU. Akan tetapi, kesemua usaha mereka sia-sia.
Sesungguhnya, pengundi Cina dan India telah lama sedar kedudukan mereka yang dipinggirkan. Akhirnya, mereka berubah haluan dengan menyokong parti pembangkang menyebabkan tsunami politik ‘meletup’ pada 2008.
Walaupun begitu, UMNO selaku ketua utama parti tidak memperlihatkan usaha untuk melakukan perubahan, malah perselisihan faham antara pemimpin kekal berlaku. Pada 2018, BN kehilangan kuasa pentadbiran kerajaan Pusat. Parti-parti komponennya turut menerima kesan buruk.
Kesimpulannya, MCA, Gerakan dan MIC tidak mungkin dapat bangkit semula dalam jangka masa pendek. Pada dasarnya, ketiga-tiga parti ini dilihat kekurangan pemimpin yang berkaliber dan kesungguhan untuk melakukan pembaharuan. – UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.











