Mampukah Amirudin ulangi kejayaan PRU15? - Utusan Malaysia

Mampukah Amirudin ulangi kejayaan PRU15?

AMIRUDIN Shari mempunyai masa depan sangat cerah lagi bercahaya jika dapat memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri pertengahan Julai atau awal Ogos ini. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI mengharapkan Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar merupakan wanita pertama menjadi Perdana Menteri (PM). Ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Bapanya pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ‘PM Menunggu’ paling lama dalam sejarah negara sebelum tercapai cita-citanya menjadi PM ke-10. Adakah Nurul Izzah mewarisi kegigihan ibu dan bapanya dalam perjuangan menuju ke puncak?

Kedudukan dalam parti, beliau di belakang Datuk Seri Amirudin Shari, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Rafizi Ramli. Beliau ialah Naib Presiden PKR yang dilantik sepertimana Awang Husaini Sahari dan Saraswathy Kandasamy.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan yang boleh sebaris dengan Amirudin dan Nik Azmi. Oleh kerana beliau anak kepada PM dan Presiden PKR, maka terlalu sukar untuknya mendapatkan bantuan daripada bapanya.

Anwar tidak boleh begitu ketara cuba menjinjing Nurul Izzah naik ke atas. Tentu sekali isu nepotisme boleh menggugat kedudukan Anwar. Jadi, Puteri Reformasi mempunyai liku-liku serta rintangan yang menyukarkannya untuk mencapai puncak kuasa.

Fahmi Fadzil yang kini Ahli Parlimen Lembah Pantai buat penggal kedua dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri Komunikasi dan Digital. Dalam parti, beliau sebagai Ketua Pengarah Komunikasi PKR. Jawatan yang dipegang menampakkan beliau orang Presiden, namun itu belum cukup membuka ruang untuknya memanjat dalam parti.

Dari segi kemampuan dan kebolehan membawa perubahan di kementerian tersebut, agak kurang menyerlah. Tiada sesuatu boleh dibanggakan sejak beliau berada di kementerian tersebut. Berdasarkan prestasi ini, nampaknya beliau bukanlah material untuk jawatan PM. Sekurang-kurangnya untuk setakat ini.

Persaingan yang sebenarnya antara tokoh muda dalam PKR ialah Amirudin dan Nik Nazmi. Kedua-duanya Naib Presiden PKR yang dipilih oleh perwakilan. Dan kedua-duanya mempunyai kedudukan dalam kerajaan. Seorang menjadi menteri manakala seorang lagi memimpin kerajaan negeri terkaya di Semenanjung.

Kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan tersendiri. Sama-sama mempunyai karisma dan berkebolehan dalam berpidato. Mudah didekati dan mempunyai daya fikir yang mampu mengatasi permasalahan.

Sama-sama memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan bertahan sehingga 2013. Pada PRU15, Amirudin mempertahankan kerusi DUN manakala Nik Nazmi memenangi kerusi Parlimen.

Nik Nazmi pernah menjadi setiausaha politik, timbalan speaker, Exco dan kini menteri. Begitu juga Amirudin, pernah menjadi Exco dan kini Menteri Besar Selangor. Ramai meramalkan Amirudin mempunyai peluang lebih baik untuk melangkah lebih jauh dalam parti dan kerajaan.

STRATEGI

Terdapat pihak yang cuba mencalarkan imej beliau dengan mengaitkan isu Selangor Maritime Gateway. Begitupun, jelas tiada apa-apa penyelewengan dan isu itu padam dengan sendirinya. Amirudin telah membuktikan kepada PKR bahawa beliau adalah ‘orang parti’ kerana bersedia menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak pada PRU15. Amirudin menang dengan majoriti 12,729 undi.

Sedangkan pada PRU14, Mohamed Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi. Kemenangan Amirudin ini boleh dianggap sebagai giant killer kerana menumbangkan Mohamed Azmin di kubu kuatnya. Sekiranya

Amirudin mampu memimpin pasukan pilihan raya menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada pertengahan Julai atau awal Ogos ini malah dapat mempertahankan Selangor, maka kepemimpinannya terbukti hebat serta berpengaruh.

Terdapat ramalan dan dapatan penganalisis yang meyakini Perikatan Nasional (PN) mampu memberi kejutan kepada Pakatan Harapan (PH)-UMNO di Selangor pada PRN nanti. Di sinilah ujian terbesar buat Amirudin dalam membuktikan kemampuannya memimpin sebuah negeri serta mengatur taktik dan strategi dalam menumbangkan lawan.

Mampukah beliau menjadikan kekuatan itu sebagai bebola api bagi membakar hangus musuhnya dalam PRN nanti? Memang kalau melihat kepada demografi jumlah pengundi Melayu di Selangor, boleh menimbulkan kerisauan bagi aktivis PH-UMNO.

Terdapat lima kerusi pengundi Melayu melebihi 80 peratus dan 13 kerusi melebihi 70 peratus pengundi Melayu menjadikan jumlahnya 18 kerusi. Inilah kerusi yang menjadi idaman PN.

Begitupun, kedudukan tersebut diseimbangkan kerusi majoriti bukan Melayu yang menjadi kubu DAP. Kekuatan serta kemampuan Gerakan yang sangat terhad tentulah tidak mampu menggugat pengaruh DAP di kerusi-kerusi tersebut. Ini memberi gambaran Amirudin sudah pun mempunyai modal 25 kerusi.

Pertempuran yang akan berlaku sama ada sengit atau sebaliknya adalah di kerusi-kerusi di mana pengundi Melayu terdapat 60 hingga 69 peratus. Misalnya, Hulu Bernam (69.97%), Semenyih (67.71%), Taman Medan (67.38%), Batang Kali (65.96%) dan Pelabuhan Klang (65.43%).

Kelima-lima kerusi tersebut sebagai petanda sama ada pengaruh Amirudin mampu mempertahankannya daripada ‘gelombang hijau.’ Sekiranya Amirudin mampu memenangi 38 kerusi DUN Selangor, bermakna beliau dapat mengekalkan kemenangan dua pertiga sepertimana kemenangan PH pada PRU14.

Sebagai kesimpulan, jelaslah, Amirudin adalah bintang yang sedang bersinar. Tokoh muda, ahli politik dari PKR ini mempunyai masa depan sangat cerah lagi bercahaya. Mampukah beliau mencapai puncak kuasa dan menjadi PM pada masa depan? Masa akan menentukannya. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×