NIKOTINA ialah bahan atau sebatian kimia semula jadi berasal daripada daun tembakau. Ia tergolong dalam kumpulan sebatian organik alkaloid piridina serta mempunyai sistem tatanama IUPAC, 3-(1-metil-2-pirrolidinil) piridina dan formula kimia C10H14N2. Bahan kimia ini dikenali dengan sifat-sifat cecair berwarna kuning pucat, bau kuat dan tidak menyenangkan serta memberi ketagihan.
Molekul nikotina boleh dijumpai dalam pelbagai bentuk, biasanya dalam bes bebas dan terprotonasi. Kedua-dua bentuk ini dijadikan bahan utama dalam produk tembakau dan cecair vape (rokok elektronik) bernikotin yang banyak digunakan oleh masyarakat negara ini.
Vape menggunakan formulasi bahan mengandungi gliserin sayuran, propilena glikol, bahan perisa, pewarna dan nikotina. Pada waktu ini, pengguna boleh memilih e-cecair bernikotin dengan peratusan formulasi mengikut pilihan mereka seperti kepelbagaian dalam nisbah gliserin kepada propilena glikol, peratusan nikotina serta penambahan pewarna dan pemanis. Bagaimanapun, ini memberi cabaran kepada saintis kerana nikotina mungkin sukar dikesan di dalam sampel e-cecair bernikotin yang dikaji kerana kerumitan kandungannya.
Ketiadaan peraturan e-rokok dan formulasi e-cecair bernikotin di sesetengah negara dipercayai akan memberi potensi risiko kesihatan kepada pengguna. Bagaimanapun, beberapa negara mempunyai peraturan nikotina di dalam e-cecair.
Berdasarkan analisa spektroskopi dilaksanakan oleh kumpulan penyelidikan saya, beberapa e-cecair bernikotin telah dilabel secara palsu oleh peruncit dan dijual kepada komuniti. Didapati pengilang melabelkan kepekatan nikotina dalam lingkungan 3 mg/ml hingga 50 mg/ml. Namun, setelah analisa dilaksanakan, kepekatan lebih tinggi ditemui.
Peraturan berkenaan kepekatan nikotina dalam e-cecair bernikotin diperlukan segera untuk memastikan keselamatan pengguna dan menangani kebimbangan terhadap peningkatan penggunaannya.
Di Malaysia, nikotina yang tersenarai sebagai racun adalah bahan terkawal di bawah Akta Racun Malaysia 1952 dan hanya boleh dikendalikan oleh orang yang diberi kuasa seperti doktor dan ahli farmasi berdaftar. Akan tetapi, berkuat kuasa 1 April lalu, Menteri Kesihatan mengecualikan e-cecair bernikotin daripada kawal seliaan Akta Racun 1952 melalui Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023.
Sungguhpun demikian sehingga penulisan ini, kementerian terbabit gagal mengemukakan sebarang peraturan terhadap kepekatan nikotina yang dibenarkan dalam e-cecair bernikotin serentak dengan pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 tersebut.
PEWARNA. PEMANIS
Tambahan lagi, pihak berkuasa juga gagal mewartakan peraturan-peraturan khusus untuk mengawal kandungan dan bahan terlarang dalam e-cecair bernikotin. Adalah penting untuk mengawal kandungannya seperti tahap kepekatan nikotina yang selamat dan penyalahgunaan perisa mengandungi bahan-bahan berbahaya seperti diasetil atau lain-lain bersifat karsinogenik, mutagenik dan toksik sebagaimana wujud di negara-negara maju.
Tanpa peraturan berkenaan, kandungan e-cecair bernikotin, bahan perisa mengandungi kimia diasetil boleh digunakan secara bebas dan dijual di negara ini. Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa peraturan e-cecair bernikotin di Asia Tenggara masih berkembang dan garis panduan mungkin berubah pada masa hadapan.
Oleh itu, disyorkan individu dan syarikat perniagaan dalam industri vape sentiasa mengemaskini aktiviti berlandaskan peraturan dan garis panduan semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Sebagai ahli kimia, saya menyokong penuh tindakan kerajaan menyahsenaraikan nikotina daripada Akta Racun Malaysia 1952 untuk tujuan percukaian e-cecair. Ini kerana ia dapat membuka dimensi baharu dan menjamin penyelidikan di peringkat molekul dalam bidang e-cecair.
Kaedah terkini untuk menganalisis e-cecair bernikotin boleh dikategorikan kepada dua jenis – kromatografi dan spektroskopi. Kromatografi masih dianggap sebagai pilihan utama untuk menganalisis nikotina dalam sampel e-cecair bernikotin.
Seiring kemajuan teknologi kimia pembuatan, formulasi e-cecair bernikotin akan menjadi lebih kompleks kerana bahan homogenus yang dilarang seperti larutan kanabis atau dadah generasi baharu boleh dicampur. Secara tidak langsung, ia akan membuka pasaran baharu dan dinamik. Walaupun terdapat kaedah pengesanan langsung tersedia, ia tidak dapat mengenal pasti semua bahan yang dilarang dalam matriks disebabkan oleh persamaan dalam struktur kimia, perbezaan kekutuban dan kurangnya pangkalan data.
Terdapat beberapa syor boleh dilakukan oleh pihak berkuasa:
Mewujudkan peraturan lengkap tentang bahan dibenarkan seperti nikotina dan tidak dibenarkan (pewarna, pemanis dan lain-lain) di dalam e-cecair bernikotin.
Menyediakan direktori lengkap makmal sains di pihak kerajaan dan swasta yang boleh menguji kandungan bahan kimia mengikut piawaian antarabangsa.
Kutipan cukai e-cecair bernikotin tidak boleh berdasarkan kepekatan tetapi berdasarkan kadar rata per mililiter. Kadar cukai rata setiap mililiter boleh diwujudkan untuk mengelak salah deklarasi dan memastikan sistem percukaian yang adil. Pada masa sekarang, kadar cukai yang diperkenal untuk nikotina untuk e-cecair di Malaysia ialah 40 sen per mililiter.
Mempunyai peraturan sewajarnya untuk menyekat penjualan kepada mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, memantau penjualan dan pemasaran dan memantau dengan teliti kandungan dan bahan dilarang di dalam e-cecair bernikotin.
Makmal penyelidikan harus mempunyai pangkalan data dan sentiasa dikemaskini kerana varian baharu muncul dengan cepat untuk mengelak pengesanan secara analisa dan undang-undang.
Kaedah pengesanan semasa adalah perlahan dan mahal. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan dana penyelidikan khas kepada ahli kimia untuk penyelidikan asas dalam e-cecair sama ada bernikotin atau tidak yang dipasarkan di negara ini. – UTUSAN
Dr. Mohd. Rashidi Abdull Manap ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM).











